11

22.4K 978 21
                                    

"Ya Allah, kalau aku tahu, aku tak tinggalkan kau masa tu. Aku betul-betul minta maaf, Sufi. Sekarang ni macam mana keadaan kau? Kau okay tak?"

Husna memohon maaf berulang kali sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian tersebut. Sufi  hanya tergelak kecil. Inilah antara sebab kenapa dia tidak mahu menceritakan hal itu kepada Husna. Dia tidak mahu membuat Husna berasa serba salah seperti sekarang sedangkan semua itu tiada kaitan langsung dengan sahabat baiknya.

"Janganlah macam tu, Una. Aku sekarang dah okay. Nasib baik Noah dengan sepupu dia sampai awal. Kalau tak, aku rasa nyawa aku dah melayang agaknya masa tu." Sufi berseloroh. Namun, ianya mengundang amarah Husna menyebabkan Sufi terdiam seketika.

"Mulut tu kalau tak celupar memang tak tenang ya hidup kau? Ada ke cakap pasal nyawa macam tu? Ha, ni sempat pula kau call suami kau?"

Sufi sempat mengerling ke arah Noah yang sedang ralit menyiapkan kerja di meja kerja. Walaupun sudah masuk hampir seminggu sejak kejadian itu berlalu namun Noah masih lagi menemani dirinya sehingga gadis itu melelapkan mata. 

"Aku cuma sempat call tapi tak sempat bercakap. Handphone aku tercampak masa tengah bergelut dengan si gila tu."

Seram sejuk tubuh Sufi apabila dia mengenangkan kembali kejadian tempoh hari. Semasa sedang bergelut dengan Nazrul, Sufi sempat mencapai telefon pintarnya lalu mendail nombor Noah. Tapi belum sempat dia bercakap, Nazrul telah pun mencampak telefon pintar tersebut lalu mencekik leher gadis itu.

Mujurlah dari awal lagi dia patuh akan arahan Noah yang menyuruhnya untuk menghantar live location kepada lelaki itu. Disebabkan itu juga, Noah sempat datang untuk menyelamatkan dirinya.

"Aku tak sangka Nazrul boleh jadi psychopath. Mujur semuanya dah selesai. Aku harap dia dapat hukuman yang setimpal dengan perbuatannya."

Sufi mengangguk tanda setuju. 

"Emm, aku harap lepas ni dia tak muncul lagi dalam hidup aku. Risau juga kalau dia masih belum serik walaupun dah dikenakan hukuman."

"Alah, kau tak perlu risau. Kau kan dah ada cik abang yang boleh melindungi kau sekarang ni."

Sufi terus membuat mimik muka meluat. 

"Ish, kau ni. Mulalah tu nak merapu meraban."

Kedengaran suara Husna tergelak besar di hujung talian membuatkan Sufi bertambah meluat. Husna ni kalau tak mengusik tak sah.

"Eh, ni aku nak ingatkan kau. Jangan lupa datang nanti. Kau datang tak payah bawa apa-apa. Cuma bawa diri aje. Ingat tu." pesan Sufi sambil mengingatkan Husna tentang janji mereka itu.

"Iyalah, Puan Sufi Nur Humaira. Kau jangan risau. Aku bab makan ni memang aku takkan lupa.  Okaylah, kalau macam tu aku off  dulu. Aku nak masuk tidur dah ni."

Lantas panggilan itu dimatikan.

Tiba-tiba suasana bilik itu menjadi sunyi sepi selepas Sufi mematikan panggilan itu. Noah dari tadi hanya memasang telinga sepanjang gadis itu berbual di telefon. Sekali sekali dia menggeleng perlahan jika Sufi melepaskan tawa secara tiba-tiba. Bukannya sekali, tapi berkali-kali. Namun adakalanya dia turut tersenyum kecil jika ada yang mencuit hati sepanjang perbualan gadis itu bersama rakan baiknya.  

"Is, mata kau tak penat ke asyik hadap laptop sejak dari siang tadi?" soal Sufi sambil duduk berlunjur di atas katil. 

Pada waktu siang, Noah akan melakukan kerjanya di home office miliknya namun selepas selesai menunaikan solat isyak, lelaki itu berpindah pula ke bilik Sufi dan menyambung semula tugasnya yang tergendala. Begitulah rutin Noah sepanjang seminggu ini.

Kau, Takdir Terindah (C)Where stories live. Discover now