CAQ → 11

160 4 0
                                    


Aku tersenyum apabila upacara pernikahan berjalan lancar tanpa ada apa-apa masalah. Jejaka pilihan aku juga lancar melafazkan akad nikah tadi dengan sekali lafaz saja. Aku mengintai wajah mak yang berseri melihat aku tersenyum. Aku mengintai pula ke arah nenek aku. Wajahnya sangat bahagia.

Kini aku menunduk apabila upacara pembatalan air sembahyang sudah bermula. Senyuman tidak lekang dari bibir aku dan bibir si dia. Masing-masing melakar rasa bahagia melalui senyuman.

Pandangan aku jatuh ke pahanya yang elok bersimpuh di hadapan aku. Mak mengambil tangan aku lalu dihulurkan kepadanya, bakal imamku. Cincin bertatahkan berlian itu tersarung kemas di jari manis. Nenek menghulurkan aku satu kotak berbaldu merah di luarnya. Aku buka lalu mengambil cincin itu.

Tangan yang berurat itu aku sentuh lalu jari manisnya aku sarungkan cincin. Sempat jari nakal aku membelai permukaan tangan berurat dia. Terdengar dia tergelak kecil sebelum tangan kanannya meraih dagu aku untuk menghadap matanya yang berwarna hazel jernih.

Bibirnya melekap perlahan di dahi luas milik aku. Mata aku terpejam menahan detak jantung yang mula menggila dek sentuhan secara langsung itu. Aku tahu detak jantungnya sehaluan dengan aku. Kami punyai perasaan yang sama. Yang penting, kami punyai cinta yang sama. Dipupuk sejak mula perkenalan hingga sah menjadi isterinya yang mutlak.

Perlahan bibirnya menjauh dari dahi aku. Mata aku terbuka semula lalu memandang wajah cerianya. Senyuman itu membunuh segala sel-sel di otak untuk cerna dengan mudah. Aku terpaku melihat senyumannya.

Furqan Al-Qamar kini sudah tertanam dalam benak hati. Tiada siapa mampu menimbusnya semula.

Seminggu yang lalu adalah hari di mana aku memilih antara Zikri mahupun
Furqan. Aku sedar Zikri tiada di majlis pernikahan ini. Mungkin masih marah pada aku. Kalau boleh, aku tidak mahu ada persengketaan antara mereka adik beradik. Aku ingin meminta maaf kepadanya hari ini, tetapi dia tidak hadir.

Sama juga dengan Tuan Zahid. Hanya mamanya saja. Aku jadi serba salah pula jadinya. Aku masih tertanya-tanya, kenapa Furqan dilayan seperti itu dengan Tuan Zahid. Sangat kasar layanannya.

“Assalamualaikum.”

Aku menoleh ke arah pintu masjid yang terbuka luas itu. Melihat senyumannya membuatkan aku tersenyum kecil. Wajah dia tenang setenang wajah dia ketika aku menghalau dia sebelum aku membuat keputusan seminggu yang lepas.

“Sorry lambat. Majlis dah berlangsung ke?”

“Dah habis dah, bang.”

Aku memandang ke arah Furqan yang tersenyum ke arah abangnya. Terus dia bangun dan menyambut Zikri dengan ramah. Aku bangun dari dudukku apabila kaki terasa kebas. Kak Nisa’ yang berada di belakang aku terus dia memeluk erat.

“Selamat datang ke keluarga kami, Maya.”

Aku membalas pelukannya. Sudah lama juga aku tidak memeluk tubuh comel kakak iparku ini.

“Terima kasih, kak.”

Dia melepaskan pelukan. Tangan kecilnya mengesat sesuatu di pipi aku. Tanpa sedar rupanya aku menitiskan air mata. Air mata bahagia dan gembira.

“Jangan nangis. Buruk make up nanti.”

Aku tergelak kecil. Aku membersihkan air mata yang menodai pipi aku. Sesekali aku memandang Furqan dan Zikri yang sedang duduk di bahagian luar masjid sambil bersembang. Wajah tidaklah tegang. Mungkin bersembang tentang hal mereka yang tak penting untuk aku tahu.

Aku memandang mak yang sudah duduk di atas kerusi rodanya. Wajahnya terukir senyuman bahagia. Ini yang dia mahukan. Dia mahu aku kahwin dengan Furqan secepatnya. Mungkin dia tidak sabar menimang cucu. Maklumlah, usia sudah lanjut.

Aku melutut di hadapan mak lalu tangannya aku kucup lama. Terasa tangannya mengusap kepalaku.

“Jadi isteri yang solehah. Taat pada suami dan jangan melawan cakap suami.”

Aku melentokkan kepala ke pehanya. Dia mengesat air mata aku yang membasah di pipi. Sudah lama juga air mata aku tidak diseka oleh tangan tuanya. Sangat lama.

“Kalau dah kahwin tu... jangan lupa nenek ngan mak kau ni, hah! Kang kena pelangkung dua orang ni kalau tak reti nak balik.”

Aku dan mak tergelak kecil melihat nenek yang sedang bercekak pinggang. Walaupun nenek sudah tua, tetapi kesihatannya terjamin. Pakai apa agaknya orang tua dulu-dulu ni, ya?

Aku bangun dari duduk lalu melihat ke sekeliling mencari kelibat seseorang. Aku tersenyum kepada mama apabila dia juga sedang memandang aku. Aku mendekati mama dan Kak Nisa’ yang sedang bersembang.

“Haih... cantiknya menantu mama.”

Aku tersipu malu apabila dia memuji. Dengan sopan aku duduk bersimpuh di hadapannya lalu mengucup tangannya. Harap doa restu darinya.

“Ermm... mama. Papa mana?”

Mama terdiam seketika. Pandangannya beralih pada Kak Nisa’ lalu beralih ke arah aku pula. Kemudian, dia tersenyum kecil.

“Papa kamu tu. Biasalah sibuk sikit semenjak dua ni. Jadi, dia tak dapat nak datang.”

“Tapi... hari ni kan hari penting anak dia? Kenapa tak skip dulu meeting tu?”

Mama terdiam. Masih lagi aku tertanya-tanya sebab apa. Sebab yang menikah ni Furqan ke? Sebab dia tak rela tengok anak ketiga dia tu sakit hati ke? Macam mana ni? Pelik.

“Mama, kak, Chahaya. Jom balik rumah. Makan dulu.”

“Oh ya. Mari Chahaya.”

Di rumah aku hanya buat kenduri kecil-kecilan. Hanya kenduri kesyukuran saja. Furqan tahu keluarga aku tidak mampu buat yang besar-besar. Jadi, segalanya diatur oleh dia. Pernikahan kami sekali gus dengan persandingan. Bagi pihak perempuan.

Bagi pihak lelaki, dia kata minggu depannya akan buat di rumah mama dan papanya. Jadi, aku hanya ikut saja apa yang diaturkan.

Aku keluar dari masjid lalu mencari kasut tumit yang aku pakai tadi. Mata aku memandang seluruh pelosok tangga itu. Tadi, aku rasa ada kat sini. Ke mana pula perginya ni? Setahu aku kampung aku takda ayam nama Rembo.

“Cari apa tu Chahaya?”

“Kasut Chahaya hilang, kak.”

“Laa... macam mana boleh hilang pula ni?”

“Kenapa ni?”

Aku memandang Furqan yang baru saja muncul.

“Kasut saya hilang la awak. Macam mana nak balik ni?”

Aku tersentak apabila melihat huluran tangan dari Furqan. Senyumannya penuh makna. Tapi sayangnya aku tak boleh nak tebak.

“Saya dokong awak sampai kereta.”

“Pergilah Chahaya.”

Aku memandang Kak Nisa’ yang tersenyum mengusik. Ishh... sabar je la. Tangan aku yang sejuk aku ramas. Jantung aku berdegup kencang. Aku melihat keliling Masjid. Semakin berkurang orang yang datang tadi.

Dengan keterpaksaan aku relakan diri untuk dia mengendong aku masuk ke kereta. Aku mengangguk perlahan menandakan setuju.

Dia menunduk lalu belakang lutut aku ditolak. Aku menutup mata rapat. Tangan aku meraba udara di sekeliling.

“Open your eyes.”

Perlahan aku buka. Aku terus memeluk leher Furqan. Takut jatuh. Dia terus membawa aku ke arah kereta.

“Bye, Chahaya!”

Aku memandang ke arah Kak Nisa’ yang melambai ke arah aku dengan sepasang kasut berkilau di tangannya yang aku pakai tadi. Aku juga membalas lambaiannya dengan senyuman di bibir... eh kejap...

Senyuman aku mengendur.

Ka... ka... kasut aku... kasut aku tu...

Aku tergamam dalam gendongan Furqan.

“Kasut saya, awak.”

“Hmm? Kenapa dengan kasut?”

“Kasut saya dekat Kak Nisa’.”

“Pandai juga kakak saya kenakan awak, ya?” Dia tergelak kecil lalu memandang wajah aku dengan senyuman mengusik. Hmm... ni merancanglah ni, kan?

“Tu la. Macam first time je dia gitu.”

Sejujurnya aku memang tergamam. Masih tergamam yang rupanya Kak Nisa’ jenis menyakat macam husby aku ni. Habislah kau, Aya. Kenalah menyakat tiap hari nanti.

Sesampainya di hadapan pintu kereta bahagian penumpang hadapan, dia berhenti melangkah.

“Sayang, bukakan pintu.”

Aku terkebil dalam gendongannya.

“Apa? Dah nikah, kan?”

Aku mengecilkan mata. Aku kena tekad dan berhati-hati dengan lelaki ini. Bila-bila masa saja dia boleh menyakat aku. Perlu berwaspada!

“Bukalah sendiri.”

Furqan memandang aku lama. Lama kelamaan senyuman nakalnya semakin kelihatan. Apalah rancangan dia agaknya?

“Boleh, tapi saya kena dukung awak dengan sebelah tangan aje.”

“Huh?”

Aku mengerut dahi. Terasa tubuh aku ditolak paksa ke atas lalu perut aku menghempap kuat di bahunya tubuh aku terjulur ke bawah. Tangannya memeluk peha aku erat. Dia fikir aku guni beras... ke?

“Furqan!”

Aku menepuk belakang tubuh tegapnya. Dia masih lagi bersantai di situ membuka pintu. Terasa tubuhnya menunduk lalu punggung aku menyentuh kusyen kerusi keretanya perlahan.

Air wajah aku yang cemberut membuatkan dia tergelak kecil.

“Senyum sikit... hari nikah, kan?”

“Tumbuk kang.”

Aku menjeling tajam. Tangan aku galak membetulkan duduk aku tanpa mengalihkan jelingan tajam aku pada Furqan.

° ° °

“Marah lagi?”

Pertanyaan dari Furqan tidak aku jawab. Dia tergelak kecil lalu keluar dari perut kereta. Aku hanya memandang dia tanpa lepas sehinggalah dia berada di pintu tempat aku duduk. Dia buka lalu menghulurkan tangannya ke arah aku.

“Tak nak dokong. Ambil seliper.”

Tanpa mengendahkan arahan aku dia terus mengendong aku lagi. Terjerit kecil aku apabila tubuh aku sudah ada di dalam gendongannya. Lehernya aku peluk lagi.

“Senyum sikit.”

“Tamau. Tumbuk kang.”

“Ni kenapa dukung-dukung ni?”

Furqan menutup pintu kereta lalu dia tersenyum ke arah nenek yang merapati kami.

“Tadi ada Rambo, nek. Si ayam yang suka curi kasut tu.”

“Laaa... ayam siapa pula tu? Kesian cucu aku ni. Ni mesti ayam Pak Mat kau ni.”

“Saya masuk dulu ya, nek. Cucu nenek berat.”

Aku membulatkan mata apabila telinga aku mendengar apa yang dikatakan Furqan tadi.

“Haa, pergi-pergi. Kang muda-muda dah sakit pinggang.”

Mata aku memandang nenek pula.

“Nenek....”

“Saya naik dulu, nek.”

Furqan terus jalan naik ke rumah. Dia meletakkan aku pada sofa kayu di ruang tamu. Aku menyilang tangan ke dada tanda protes. Dia menunduk menyamai wajah aku lalu menyinggahkan ciuman ringkas di dahi. Mata hazelnya memandang mata hitam bundar milik aku.

“Sayang nak makan apa? Biar abang ambilkan dekat luar.”

Lembut tuturnya membuatkan jantung aku berdegup kencang. Wajah tegang aku tadi sedikit mengendur. Dia membetulkan tudung aku yang senget dan wajah aku yang sedikit comot dia seka dengan jari ibunya.

Spontan senyuman kecil terlakar di bibir aku.

“Ambilkan makanan yang abang makan je la.”

Entah kenapa terasa selesa pula memanggil Furqan dengan panggilan itu. Dia tersenyum lalu puncak hidung aku pula yang jadi mangsa kucupan ringkasnya.

“Tunggu ya, sayang?”

Aku mengangguk perlahan. Dia keluar dari kawasan itu sambil tersengih ke arah aku. Aku menggeleng lalu menunduk memandang jari. Hari ini adalah hari terbahagia yang aku pernah rasa. Cincin ini tanda bersatunya dua jiwa, dua jasad dan dua dunia.

“Chahaya?”

Aku mendongak memandang ke arah figura yang menyebut nama aku tadi. Aku tersenyum tawar padanya. Tangan aku urut seketika menghilangkan rasa kekok aku kepadanya.

“Boleh I duduk?”

Aku hanya mengangguk. Mata aku menunduk ke lantai apabila dia sudah melabuh punggungnya di sofa sebelah kanan.

“Kenapa Furqan dukung you tadi?”

Aku tergelak kecil menghilangkan rasa kekok lagi.

“Ermm... kasut saya. Ke mana entah. Papa awak tak datang?”

“Dia sibuk hari ni. I takda hak nak halang kerja dia.”

“Ermm... Zikri.”

“Hmm?”

“Saya nak... minta maaf sebab...”

“Takpa. Kenapa you risau sangat? Jodoh you memang dengan Furqan.”

Manalah aku tak risau, pada hari ahad itu dia tidak datang ke rumah. Semenjak itu aku rasa tak senang duduk dan rasa serba salah.

“Sayang...”

Aku dan Zikri serentak memandang Furqan yang membawa dua pinggan nasi berlauk itu. Aku tersenyum pada dia apabila dia terkejut melihat Zikri di sini.

“Abang. Tak makan?”

“Aku dah makan. Kau orang makanlah. Aku nak call orang jap.”

“Okey.”

Pinggan plastik berisi nasi dan lauk itu dipandang berselera. Hari ini, hanya buat jamuan ringkas untuk orang yang datang untuk mengiring aku dan Furqan bernikah.

Minggu depan adalah majlis persandingan belah lelaki dan perempuan di hotel. Semuanya dirancang rapi. Semuanya rancangan Furqan. Pihak aku hanya bersetuju. Pihak aku pula tidak sediakan banyak barang kerana perkahwinan ini terlalu cepat.

Furqan kata, benda elok, jangan dilambat-lambatkan.

“Nak ambil air, kejap.”

Aku mengangguk lagi. Dia keluar semula.

“Mana Furqan?”

“Dia ambil air.”

Zikri melabuh punggungnya di tempat dia duduk tadi sambil tangan dan mata membelek telefon pintarnya. Suasana kembali kekok. Aku memandang makanan aku dan Furqan. Dikibas-kibas tangan di situ menghalau lalat yang mahu hinggap.

“Awak sepatutnya tak kerja ke hari ni?”

Dia yang memandang telefonnya dari tadi terus memandang aku.

“Tak, memang I ambil cuti hari ni. Adik I nikah kan, I kena ada.”

“Papa awak?”

“I la wakil dia. Dia tak sempat.”

Dia memandang ke skrin telefon pintarnya semula selepas memandang reaksi aku tadi. Nampaknya, dia nampak tidak kisah. Wajahnya yang tiada secalit dendam pun pada aku membuatkan aku sedikit lega. Mungkin yang nak sangat aku kahwin dengan dia tu, bukan dia tapi papa dia.

Sedar tidak sedar, petang sudah tiba. Aku pun sudah menukar baju untuk menolong mereka membasuh periuk belanga. Malam ini, rumah nenek bakal dihuni ramai orang. Adik beradik Furqan turun padang di sini kecuali abang-abangnya yang sudah berkahwin. Sangat meriah. Aku sudah lama tidak rasa beramai-ramai seperti ini.

Maklumlah, aku anak tunggal keluarga. Jadi, aku tidak tahu bagaimana mahu mencari kawan.  Aku bersyukur ditemukan Kak Nisa’ yang ramai adik beradik. Walaupun, konflik antara adik beradik itu aku kurang tahu.

“Cayang...”

Aku tersenyum melihat Furqan yang masuk ke bilik aku. Dia duduk di sebelah aku lalu membalas senyuman aku. Matanya yang lembut memandang aku membuatkan mata hitam pekat aku membalas renungannya. Jelas matanya menjamah wajah aku. Malam ini, aku tidur di bilik aku. Bilik yang Furqan pernah tidur. Cuba teka dengan siapa? Dengan...

“Haa... kau buat apa kat dalam bilik ni Furqan?”

Aku dan Furqan serentak memandang Kak Nisa’ yang bercekak pinggang di pintu. Aku memandang Furqan pula yang sudah mencebik.

“Keluar-keluar. Darah manis tak boleh jumpa selalu.”

Aku mencapai bantal dan selimut lalu menghulur pada Furqan. Furqan menyambut lalu dipeluk selimut itu erat. Dia menghidu selimut itu sedalam-dalamnya. Lalu dihela berat.

“Wangi. Aums!”

“Eh, bertuah punya adik. Pergi keluar sana. Hish, dia ni.”

Furqan menjuih perlahan. Dia terus keluar dari bilik itu. Sempat dia mengenyit mata ke arah aku lalu bahunya dipukul dengan Kak Nisa’. Kak Nisa’ menutup pintu lalu menghampiri aku.

“Adik siapa gatal sangat tu?”

“Entah, tak mengaku akak.”

Aku tergelak kecil. Dia duduk sebelah aku. Dia tak pakai tudung sebab dalam rumah ni tiada lelaki yang dia boleh kahwini. Jadi, dia tidak memakai tudung. Hanya aku, mak dan nenek saja yang pakai tudung. Disebabkan keluarga Tuan Zahid ramai anak lelaki, jadi menantunya semua perlulah memakai tudung. Cincin di jari, aku belek lagi.

“Tak sangka...”

“Tak sangka apa?”


“Macam... tak sangka. Betullah orang kata, benda yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tak sangka saya jumpa akak kemudian saya berjodoh dengan adik akak. Waktu berlalu dengan pantas.”

“Itu pun namanya jodoh tak salah alamat.”

Dia memeluk bahu aku erat. Aku memeluk tubuhnya. Aku memang dah anggap dia seperti kakak aku sendiri. Memandangkan aku tiada kakak dan abang, aku akan menganggap keluarga itu seperti keluarga aku sendiri selepas ini.

“Kak.”

“Hmm?”

Aku mengangkat wajah lalu aku memandang anak matanya. Jelas kerutan di dahinya apabila melihat aku yang terus menerus menilik wajahnya.

“Sebenarnya, seminggu sebelum nikah hari tu, ada sedikit konflik.”

“Konflik? Apa dia?”

“Ermm... kenapa... kenapa papa layan Furqan teruk? Saya... saya tengok pun hari tu. Ermm... no comment. Kenapa? Saya tak faham.”

Dia mengeluh perlahan. Bahu aku dipegang seperti sedang cuba mengalirkan harapan kepada aku. Matanya aku pandang lagi mencari apa maknanya. Wajahnya seperti mengharap sesuatu.

Dia membelai kepala aku lembut. Aku masih merenung wajahnya yang tersenyum kelat.

“Bukan sekarang waktunya. Bila-bila nanti, biar Furqan sendiri yang Maya, ya?”

Mulut aku yang separa terbuka tadi terus merapat. Perlahan keluhan aku keluar menahan desakan persoalan yang bermain di dalam fikiran. Mungkin aku perlu bersabar lebih waktu lagi untuk aku tahu semua tu. Mungkin Kak Nisa’ tak nak rosakkan hari bahagia aku yang akan datang ni. Jadi, aku pun tidak mahu merosakkannya.

CHAHAYA AL- QAMAR  [C]Where stories live. Discover now