Memang benar, kehidupan ini adakalanya manis dan kadangkala pahit. Tiada kehidupan yang manis dari awal hingga ke pengakhiran cerita. Jika ada pun, pastinya tidak lengkap.
Mengapa?
Kerana dugaan yang didatangkan kepada setiap insan itu menjadikan kita lebih matang dalam memutuskan sesuatu perkara. Dugaan juga mengajar kita erti sebuah pengorbanan, penghargaan dan kesabaran. Kuncinya adalah terus melangkah dengan yakin tanpa perlu menoleh ke belakang semula.
Alhamdulillah, kini perkahwinan mereka hampir mencecah usia dua tahun. Dengan kehadiran puteri sulung mereka, hari-hari semakin bertambah ceria. Teringat kembali episod yang takkan dia lupakan sampai bila-bila iaitu ketika melahirkan anak yang dikandungkan hampir 9 bulan 10 hari. Anak yang sering bermain-main dalam perut akhirnya telah melihat dunia pada 24 Februari. Tarikh itu amat bermakna buatnya kerana dua hari sebelum itu merupakan hari lahir syurganya.
Bangunan gah di hadapannya saat ini dipandang redup bersama perasaan yang bercampur baur. Di sinilah dia bertemu dengan suaminya, di sini juga segalanya bermula. Pahit manis, suka dan duka semuanya bermula di sini. Siapa sangka pada awalnya bergelar pensyarah kini sudah menjadi suami dan ketua keluarga buatnya? Bermula ketika dia masuk lewat ke kelas suaminya, bibit-bibit manis mula timbul tanpa sedar.
Dia pejamkan mata. Tidak dihiraukan jika ada mata yang memandang. Saat ini semua kenangan menerjah rakus minda tenangnya. Sungguh, dia rakam setiap detik yang berlaku dalam hidupnya tanpa tertinggal satu pun.
"Mama." Mata dibuka perlahan. Suara halus itu menerbitkan rasa gembira di hati. Kepala ditunduk sedikit untuk memandang figura kecil yang memakai gaun seakan-akan bidadari bersama cekak di atas kepala.
"Sayang mama ni." Tubuh itu didukung walaupun sedikit susah memandangkan dia memakai jubah konvokesyen. Bibir Hara menguntum senyum saat tangan montel itu bermain dengan mortarboard di atas kepalanya. Bibir itu pula kelihatan sedang membebel dengan bahasa yang tidak difahami.
Alahai!
"Hara."
Hara menoleh.
Laju dia memeluk batang tubuh itu dengan erat bersama sebelah tangannya. Kasihan anaknya tersepit di tengah.
"Hara ingatkan mummy dengan daddy je ada. Rupanya mama dengan papa pun ada sekali!" Hara ketawa kecil.
Senang hatinya apabila melihat raut wajah yang membesarkan dia daripada dia sebesar telapak tangan hingga berjaya menjadi orang yang berguna. Hatinya lagi teruja dan terharu saat kedua-dua mentuanya turut ada bersama. Namun jauh di sudut hati dia agak terkilan apabila suaminya tiada di samping dia saat ini. Ramai yang bertanya sejak tadi dan banyak kali juga dia menjawab...
'Sir Eian ada seminar dekat Hulu Langat. Esok baru balik.'
Haih, hampa! Dia mahu menangkap gambar bersama suaminya.
"Hara dah tangkap gambar ke? Kalau nak daddy tolong tangkapkan." Dr.Jamaluddin siap mengeluarkan telefon pintar miliknya.
Hara menggeleng lemah. Senyuman paksa dipamerkan.
"Kan seronok kalau Eian pun ada sekali dengan Hara." Tanpa sedar keluhan mula terbit.
"Kan seronok kalau abang dapat tengok Hara senyum hari ni."
Suara itu membuatkan mata Hara membuntang. Saat kepala ditoleh, muncul seraut wajah kacak di hadapannya. Tanpa tunggu lagi anaknya diserahkan kepada Datin Kirana dan dia segera mendakap tubuh tegap itu.
"Happy graduation, sayang! Tercapai juga impian sayang nak sambung degree. After this continue dengan master pula ya sayang." Eian berseloroh sambil mengusap kepala isterinya.
YOU ARE READING
𝐁𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐚𝐦𝐚
Short Story"𝙈𝙤𝙜𝙖 𝙖𝙠𝙪 𝙬𝙖𝙣𝙞𝙩𝙖 𝙘𝙞𝙣𝙩𝙖 𝙩𝙚𝙧𝙖𝙠𝙝𝙞𝙧𝙣𝙮𝙖." - 𝒷𝓎 𝒜𝓈𝓊𝓃𝓃𝒶𝓇𝒶𝒶 Eian Wazif | Ledy Hara