Bab 15

1K 76 32
                                    

Mata Yasmin meliar memandang rak-rak makanan segera di hadapannya itu. Dia mencari ramen halal untuk dibuat stok sekiranya dia lapar dan malas untuk memasak. Dia terus meletakkan ramen yang dipilihnya ke dalam troli yang juga penuh dengan barangan basah.

Kemudian, dia menolak troli itu ke kaunter pembayaran. Sambil menunggu gilirannya, dia teringat kembali perbualannya dengan Ayden dan Zaquan sebentar tadi. Dia tarik nafas panjang.

Dia langsung tidak menyangka bahawa dia boleh terlibat sama dalam kes itu. Sedangkan dia datang ke Jepun untuk menyambung pelajaran dan mencari rakannya sewaktu dia masa kecil.

Namun, usahanya mencari rakannya gagal. Dia masih tidak berjaya bertemu dengan rakan yang merupakan jiran keluarganya. Dia hanya mengetahui nama pendek kanak-kanak lelaki itu. Mahu ditanya pada ibu bapanya, dia malu. Dia juga takut ibu bapanya tidak memberi kebenaran kepadanya untuk sambung pelajarannya di Jepun hanya kerana mahu mencari rakannya.

Sudah puas dia mencari rakannya yang hanya nama Ren menjadi klu. Namun, hampa. Bukan seorang dua yang bernama Ren di Jepun. Nama keluarganya juga tidak diketahui. Yang hanya dia tahu, pekerjaan ibu bapa Ren yang merupakan Duta Jepun ke Malaysia. Dia cuba mencari nama keluarga duta itu. Namun, tidak berjumpa. Seolah-olah rekod keluarga itu dihapuskan.

Yasmin mengeluh. Dia hanya punya 8 bulan untuk mencari rakannya itu. Ibu bapanya sudah menetapkan bahawa dia perlu pulang ke Malaysia selepas majlis graduasinya. Nampaknya, hasratnya untuk berjumpa dengan rakannya itu tidak kesampaian.

Dan sekarang ni, masalah lain pula yang muncul. Dia pula terpaksa duduk di penthouse milik Ayden. Macam-macamlah yang terjadi. Yasmin mengeluh sambil tangannya ligat meletakkan barang-barangnya di kaunter pembayaran.

Setelah selesai membuat pembayaran, Yasmin terus melangkah keluar daripada konbini itu. Udara sejuk menyapa badannya yang dibaluti cardigan lengan panjang. Tudung yang dipakainya beralun-alun mengikut rentak angin malam itu.

Yasmin segera mempercepatkan langkahnya memandangkan hari sudah lewat. Selepas perbincangannya dengan Ayden selesai, dia terus keluar mencari barang-barang dapur. Kebetulan kawasan penthouse itu berdekatan dengan konbini.

Sambil Yasmin berjalan, dia memerhati sekeliling kawasan itu. Sememangnya, kawasan itu merupakan kawasan orang berada. Hanya beberapa orang sahaja kelihatan di sekitar kawasan itu. Suasana sunyi malam itu membuatkan Yasmin berasa resah. Apatah lagi apabila dia mendengar penjelasan daripada Zaquan dan Ayden mengenai situasinya itu.

Langkah Yasmin dipercepatkan. Namun, dia dapat mendengar beberapa derap langkah mengikutnya di belakang. Dia tidak berani memusingkan dirinya, memandang ke bahagian belakangnya. Dia terus mempercepatkan langkahnya.

Tiba-tiba bahunya dipegang daripada belakang. Bahu Yasmin terhenjut, terkejut dengan pegangan itu. Barang-barang yang dipegangnya terlepas ke atas laluan pejalan kaki itu.

------------------------------------------------------

Kring! Kring!

Ayden yang baru keluar daripada bilik mandinya segera berjalan ke arah telefon pintarnya yang terletak di atas meja soleknya. Nama Zaquan tertera di skrin telefon itu.

Dia terus menggesek skrin telefon pintarnya kemudian, menekan punat pembesar suara.

“Eden, ada sesuatu yang terjadi,” kedengaran suara Zaquan di corong telefon itu.

Dahi Ayden berkerut. “Masalah lagi? Tak cukup lagi ke hari ni dengan masalah Yasmin? Nak tambah lagi?” soal Ayden sambil mengelap rambutnya yang basah itu.

“Masalah apa pula kali ni?” soal Ayden. Tangannya mengambil baju yang ada di dalam almarinya lalu dia menyarung t-shirt putih yang diambilnya ke badannya yang sasa itu.

Aku Milik KamuWhere stories live. Discover now