Ganas - Part 1

36.4K 117 3
                                    

"Woi!" aku menempik apabila seorang pemuda berbaju hitam dan berjeans lusuh itu melanggar bahu aku.

Buku lima tangan kanan aku masih pedih dan penuh dengan darah. Hasil aku menumbuk budak yang melanggar kereta aku dengan basikal fixinya berwarna hijau floresen.

Aku baru saja keluar dari kedai kopi hipster, K+opi di Jalan Telawi 2 di Bangsar menuju ke kereta aku apabila daripada entah mana budak yang memakai seluar pendek Bermuda dan berbaju t-shirt putih, dengan tulisan 'Who Cares?!' yang ditulis dengan font Comic sans berwarna hitam, melanggar kereta Mini berwarna hijau klasik yang mempunyai atap bercorak papan dam milik aku yang aku double-park di hadapan kedai itu.

Budak punk itu (aku panggil punk sebab dia kurus, rambutnya di-gel berbentuk tomahawk dilengkapi dengan kasut Doc Mart berwarna hitam) tidak cuba untuk melihat kerosakan yang dilakukannya setelah bangun daripada jatuhnya kerana melanggar kereta aku.

Acuh tak acuh dia berdiri, menepuk-nepuk punggungnya dan memusing badannya ke kiri dan kanan untuk memastikan dia tidak luka. Kemudian, dia mengangkat basikalnya dan memeriksa basikalnya pula.

Dalam 20 saat ini semua berlaku, sekali pun dia tak memandang kereta Mini aku yang aku boleh lihat dalam jarak 10 meter daripada kedudukan aku terdapat calar hasil dilanggar oleh budak punk itu.

Dalam tempoh masa 32 saat untuk aku melangkah keluar daripada kedai K+opi sehingga aku sampai ke sisi budak yang masih sibuk dengan basikal fixinya, darah aku secara metafora naik daripada paras normal ke paras yang membuak-buak.

Marah.

Ramai kawan-kawan aku tak suka kalau aku merasa tidak selesa. Inikan pula jika aku marah.

Kalau aku sampai ke tahap marah, kawan-kawan aku tahu yang mereka sudah terlambat untuk menyelamatkan sesiapa yang menjadi mangsa kemarahan aku.

Aku pernah menumbuk seorang brader sado yang terlanggar aku di kafe kegemaran aku di Shah Alam kerana dia menumpahkan kopi yang aku telah lama kepingin untuk hirup selepas aku habis bermain futsal pada hari itu.

Ketika itu, aku dalam keadaan ghairah mengusap-usap mug besar di Starbucks, Plaza Masalam, satu kebiasaan yang aku sering lakukan sebelum menghirup dadah cecair halal kegemaran aku itu.

Tanpa salam, tanpa mukadimah, dalam aku sedang mengimbang mug venti berwarna putih dengan lambang logo syarikat kopi Seattle itu, seorang brader sado yang berbadan berketak-ketak dengan muscle, dalam kelam kabutnya untuk mengambil frappacino macha lattenya setelah nama 'Daik' dipanggil lantang oleh barista di sebalik kaunter tempat kopi dibancuh, melanggar aku dan menumpahkan kopi aku.

Mug putih itu berjaya aku selamatkan daripada terhempas ke lantai tetapi kopi yang panas di dalamnya tumpah ke atas badan aku, membasahi jersey futsal replika team World Cup 2014 Germany dan seluar khaki berwarna coklat cair kegemaran aku.

Cecair kopi panas yang seterusnya melecurkan bahagian kaki dan lengan aku yang terdedah tidak sempat menghantar sinapsis ke otak aku yang aku sepatutnya merasa sakit sebelum tangan aku yang telah diambil alih oleh amarah aku melepaskan mug putih yang kandungan kopi di dalamnya sudah tidak banyak lagi.

Tangan aku yang tadi memegang mug putih itu dalam 5 saat bertukar menjadi penumbuk padu yang aku lepaskan ke muka brader sado yang mungkin bernama Daik itu (atau nama itu mungkin aku silap dengar apabila ia dijerit barista Starbucks itu tadi).

Dia terlalu besar untuk aku jatuhkan. Tumbukan pertama aku itu menghenyak mukanya dan membuat dia torhoyong hayang. Dia masih berdiri. Dia nampak terkejut tetapi dapat menepis tumbukan aku yang kedua.

Mug Starbucks putih yang jatuh tergolek ke lantai yang aku lepaskan daripada pegangan aku tadi jatuh dan pecah kepada tiga bahagian. Salah satu bahagian serpihan itu masih mempunyai pemegang mug itu dan satu bahagian yang runcing. Ia adalah knuckle buster yang kasar buatannya. Sesuai untuk aku jadikan senjata.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now