Sejarah - Part 6

3.7K 21 0
                                    

"Aku terus berenang macam biasa selepas itu walaupun aku sudah tahu kenapa orang lain tak suka berenang atau berada dekat dengan kolam renang itu.

Aku masih suka berenang menelentang mengadap langit tetapi selepas cerita yang aku dengar daripada Ibu aku kerap memandang ke bilik Sarafina nun jauh di tingkat tiga rumah itu dengan perasaan yang lain.

Sarafina, Sarafina, nama yang aku ulangi setiap kali aku memandang ke arah bilik itu.

Nama itu meresap ke dalam saraf aku. Aku boleh rasakan sentuhan yang terjadi di dalam bilik itu. Adakah terdapat mesej di dalam sentuhan itu? Adakah dia berwajah manusia atau hantu?

Aku rasa aku nampak bayang-bayangnya mengintai aku daripada tingkap di biliknya. Aku rasa aku boleh nampak langsir di bilik itu diselak dan ada mata yang memerhati aku berenang.

Pada satu hari aku turun untuk berenang di waktu pagi aku rasa aku nampak satu mayat terapung dengan kepala yang pecah dan berlumuran darah.

Darah mengalir keluar daripada bayangan mayat yang berkepala pecah itu. Mengalir keluar menjadikan sebahagian daripada air kolam renang tu.

Mayat seorang gadis kecil.

Sarafina?

Aku kaget sekejap.

Bila aku kerdip mata aku bayangan tu hilangan.

Aku tahu semua tu perasaan aku.

Tapi aku masih kecil masa tu. Aku rasa macam semua bayangan yang aku nampak adalah benar.

Aku mintak Ibu meneman aku lebih dekat lagi setiap kali aku berenang di kolam renang itu. Ibu akan duduk di tepi kolam di atas kerusi yang dia tarik daripada dapur. Seperti biasa, sambil dia duduk di tepi kolam itu Ibu akan merokok. Ibu membuang habuk rokoknya ke dalam satu bekas yang dipegangnya (biasanya tin susu) dan jika tin itu sudah penuh dia berhenti duduk di tepi kolam itu tanda masa dia untuk meneman aku berenang telah tamat.

Jika Ibu terpaksa melakukan kerja lain jika aku sedang berenang, kebiasaannya aku akan meminta Kakak Farida untuk menjadi ganti Ibu.

Oh ya, aku belum cerita tentang Kakak Farida. Satu-satunya kakak yang dapat aku kenali luar dalam semasa aku masih kecil berbanding dengan kakak-kakak yang lain sepanjang aku tinggal di rumah itu.

Aku sebenarnya tidak tahu samada aku patut panggil Kakak Farida dengan panggilan kakak atau dengan nama Farida sahaja. Untuk aku, yang lahir dan membesar di dalam rumah itu di mana satu-satu manusia yang aku kenali secara konsisten hanyalah Ibu, aku sentiasa memanggil sesiapa sahaja di dalam rumah itu dengan nama kakak.

Kakak Farida muncul pada ketika umur aku mencapai umur sepuluh tahun. Aku ingat lagi pada hari itu aku terdengar pintu hadapan dibuka dan beberapa orang masuk ke dalam rumah itu.

Aku yang baru keluar daripada kolam renang masih lagi bertuala dan belum menanggalkan seluar renang aku. Aku masuk ke ruang tamu dan aku nampak beberapa orang perempuan sedang duduk bersila di atas karpet sedang makan burger dan fries McDonald.

Seorang daripada perempuan yang aku nampak adalah yang aku kenali sebagai Kakak Farida selepas itu. Dia begitu tekun makan french fries daripada bungkusan kertas McDonald's seperti dia tak pernah rasa french fries sebelum itu.

Sambil aku berdiri di koridor yang menghubungkan ruang tamu dengan ruang dapur di mana terdapat pintu keluar ke kolam renang yang aku gunakan untuk masuk tadi aku terpaku melihat seorang budak perempuan yang mungkin hanya berumur setahun dua lebih tua daripada aku.

Mungkin cara dia memakai baju seorang dewasa iaitu skirt pendek jeans yang nampak terlalu besar untuknya yang dicerut dengan tali pinggang diperbuat daripada kain berwarna merah yang diikat bersahaja dan baju t-shirt hitam lusuh yang sangat kecil untuk dirinya sehingga menampakkan pusatnya menyebabkan aku terasa dia kelihatan dewasa.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now