Balas Dendam - Part 17

1.7K 8 0
                                    

"Aku nak teka apa kau buat selepas tu. Tentu kau buat baik dengan Kakak Farida ni dan kau korek segala rahsia tentang apa yang dia buat kalau dia dibawa ke atas kan? Kakak Farida ni tentu ajar kau macam-macam. Dia ni tempat kau hilang 'dara' ke?" aku mencucuk Bilis lagi sebab aku penat dia mengulang-ngulang cerita sama tentang rumah istimewanya itu.

Aku dah boleh agak rumah yang Bilis tinggal semasa dia membesar itu adalah rumah pelacuran kelas atasan. Itu tidak mengejutkan aku. Apa yang mengejutkan dan sedikit mencurigakan aku adalah di mana terletaknya rumah pelacuran kelas atasan itu yang berada di Shah Alam yang dianggap ramai sebagai sebuah bandar Islamik tu. Terkejut juga aku masa mendengarnya bila Bilis menceritakan yang ia terletak di Shah Alam.

Shah Alam tu Bandar DiRaja. Bandar Melayu. 

Aku anggap Shah Alam tu adalah bandar penuh dengan orang Melayu Islam yang tentu busybody dan takkan membenarkan sesuatu seperti rumah agam yang dijadikan sarang pelacur berleluasa di kalangan rumah-rumah mahal yang lain di dalam tu. Bukan ke di Shah Alam itu ramai orang alim yang sentiasa pergi ke surau dan cepat melaporkan segala salah laku jiran tetangga?

Apabila seseorang memandu masuk Shah Alam, daripada pelbagai sudut, jika menuju ke pusat bandar, apa yang paling mudah untuk dilihat adalah bayangan kubah biru Masjid Negeri Selangor. Ia ibarat satu mercu tanda yang tidak dapat dielak daripada dipandang kerana ia begitu besar bagaikan satu bawang berwarna biru dengan beberapa corak putih yang memberi ilusi ia berputar. Empat menara menjadi pengawal ibarat roket yang pada bila-bila masa akan menjadi pemancar doa semua muslimin dan muslimat yang mengadu dan meminta pelbagai hajat kepada Allah Yang Maha Esa.

Punya lah besar masjid itu, apabila kau nak berputar di dalam bulatan roundabout di tepi masjid itu kau akan nampak yang selain daripada masjid, di perkarangannya terdapat beratus-ratus kawasan tempat letak kereta, kedai masakan nasi beriani yang dikunjungi tidak putus-putus dan lanskap yang cukup cantik. 

Aku rasa pernah satu masa dulu ada panjutan air yang cukup cantik yang dipasang pada masa-masa tertentu. Sudah lama aku tak tengok ia dipasang walaupun pada masa perayaan atau ketika ada majlis yang dihadiri oleh orang kenamaan. Mungkin seperti kebiasaannya di Malaysia, kebanyakan kemudahan kerajaan hanya kalah membeli tidak menang memakai.

Jadi bagaimana boleh satu rumah agam yang diisi padat dengan pelacur boleh wujud di dalam lingkungan pemantauan satu mercu tanda agama Islam yang tersohor di Malaysia? 

Adakah rumah agam di mana Bilis membesar terletak di kawasan golongan marhaen di seberang Lebuhraya Persekutuan? Shah Alam di kawasan marhaen itu kawasan perumahannya lebih padat dan berceratuk di antara kilang-kilang konglomerat Jepun dan kilang Proton? 

Atau adakah ia di kawasan beberapa kawasan di dalam Shah Alam di mana kondonya tinggi menggapai langit seperti Shah Alam sudah kehabisan tanah? 

Atau Shah Alam yang sebenarnya hanyalah pseudo-Shah Alam yang sebenarnya sebahagian daripada Klang tetapi mahu menggunakan nama Shah Alam supaya mereka dianggap lebih moden dan berprestij?

Shah Alam itu kah?

"Tidak," jawab Bilis. "Aku akan ceritakan kepada kau di mana rumah agam itu bila kau benarkan aku habiskan cerita aku. Aku kan nak ceritakan bagaimana aku lepas keluar."

"Ok," jawab aku dan aku duduk kembali mengadap Bilis, meneguk kopi aku yang sudah masuk cawan ketiga dengan botol air kosong yang juga sudah diisi kembali oleh pelayan kedai kopi itu.

"Bila aku lepas keluar, aku pandang rumah itu daripada jau....," Bilis terhenti bila aku menghentak meja dengan kuat.

Kopi aku tumpah.

"Kau dah lupa ke yang kau tak cerita lagi tentang bagaimana kau lepas bolos?" tanya aku.

"Itu akan memakan masa yang lama untuk aku cerita kerana perancangan yang aku lakukan memakan masa hampir lebih setahun. Kau mesti ingat aku dapat menikmati udara luar rumah itu hanya dengan cubaan memanjat pagar atau dengan menjadikan Kakak Farida rakan subahat aku kan?" Bilis tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan cara aku menunjukkan lagak marah aku.

"Aku nak hisap rokok dulu, nak pergi tandas sekejap dan aku nak hilangkan lenguh penat dah duduk sini berjam-jam. Apa kata kau pun buat benda yang sama dan kita sambung kemudian?" tawar Bilis.

"Aku join kau hisap rokok. Kat belakang sebelah Delicious ke atau kau nak tukar kedai kopi? Coffee Bean's ada meja minum di bahagian luarnya. Boleh cuci mata sambil minum kopi dan hisap rokok," cadang aku.

"Ok, aku jumpa kau di sana," kata Bilis.

"Aku bunuh diorang," sambung Bilis setelah dia duduk menyelesakan badan di atas kerusi dan menyalakan rokok.

"Ini bukan benda mudah. Aku baru lima belas tahun masa tu. Aku bukan kuat. Aku takde kawan kecuali Kakak Farida yang hanya beberapa tahun saja tua daripada aku. Aku rasa dia masih budak macam aku pada masa kejadian tapi nampak dewasa kerana dah banyak pengalaman melayan lelaki. Ibu pulak memang nak menjahamankan aku dan memang aku berdendam dengan dia sejak aku tahu bagaimana binatangnya hati dia. Aku nekad. Jadi, aku bunuh diorang," suara Bilis sedikit tersekat dan dia cepat-cepat menarik satu sedutan asap rokok yang panjang menembus ke paru-parunya.

Aku yang dalam proses menyalakan rokok aku sendiri terhenti.

"Kau bakar diorang? Kau geram sangat, kau cari jalan bakar diorang beramai-ramai. Dalam kecoh-kecoh tu kau masuk dapur, kau biarkan gas tidak ditutup dan kau nyalakan api lilin. Macam tu?"

"Boleh tak kau sabar sikit? Aku dah bagi ending pun kau nak menyampuk. Kan kata aku ambik masa lebih daripada setahun sebelum aku keluar daripada rumah tu selepas aku pengsan koma beberapa hari," suara Bilis meninggi.

"Ok, jangan kau nak baran dengan aku pulak. Nanti tak pasal-pasal kita bertumbuk di sini. Aku tak suka gaduh dengan perempuan tapi kalau kau ni kononnya ganas, meh aku tunjuk lelaki punya ganas macamana," kata aku.

Bilis memandang mata aku dengan tepat. Tentu dia berfikir macamana aku tahu dia seorang perempuan. Dia mempunyai janggut dan misai. Dia mempunyai lagak dan bentuk badan seorang lelaki. Dia tentu anggap dia sudah cukup lelaki. Malahan, di dalam ceritanya tidak ada langsung apa-apa yang indikasi atau cara dia dibesarkan menunjukkan dia dibesarkan sebagai seorang perempuan.

"Aku boleh agak sebab kau terlalu mencuba sangat menjadi seorang lelaki. Misai dan janggut tak terurus tetapi rambut disikat rapi. Mudah je perempuan nak ada janggut dan misai di zaman moden ni. Perempuan yang cun macamana pun ada misai kena buang tiap-tiap bulan. Inikan kalau sengaja nak ada janggut dan misai. Lagi satu, cara kau pegang rokok tu pun aku boleh tau kau lelaki ke perempuan. Aku tau, kau tentu ingat semasa kau bercerita yang kau kena liwat secara paksa dan bukannya dirogol, aku akan fikir yang kau ni lelaki. Tentu ada sebab kan kenapa Haji Judi tu tak rogol kau. Senang cerita, aku boleh agak kau ini seorang perempuan kerana kau masih mempunyai sifat keperempuanan walaupun kau mempunyai semua sifat lelaki. Tapi, itu semua tak penting. Aku nak tau macamana kau bunuh Ibu dan lelaki yang kau panggil Haji Judi tu. Kau bunuh orang masa 15 tahun? Hebat, hebat...," kata-kata aku terus memberikan dia ruang untuk bercerita.

Bilis meneruskan ceritanya...

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now