Sejarah Hitam - Part 9

3.7K 20 0
                                    

Pada pukul 8 malam hari bersejarah untuk aku itu, Ibu memanggil aku untuk datang ke arahnya. Aku yang sejak tadi duduk di ruang tamu bermain dengan video game Cowboy & Indian kegemaran aku memandang ke arah suaranya sebelum berhenti bermain dengan hati yang berat.

Aku bermain game kegemaran aku itu dengan girang kerana aku benar-benar ibarat koboi yang berada di dalam video game itu. Sepanjang hari aku telah memakai pakaian baru aku yang telah diberi Ibu semalam.

Ibu memanggil aku daripada tangga yang menuju ke bahagian atas rumah itu.

"Bilis! Kau dah sedia untuk makan malam khas kau?" Ibu bertanya sambil dia berdiri rapat membelakangi dinding bagaikan memberikan aku ruang untuk melalui ruang tangga yang sempit itu.

"Meh, naik ke atas. Makan malam tu dah terhidang di dalam bilik di tingkat satu. Ibu dah siapkan sejak petang tadi," pelawa Ibu.

Ini sesuatu yang baru kerana aku tidak pernah diajak secara rasmi oleh Ibu untuk naik ke atas.

Kejadian aku dibawa naik ke atas sehingga tingkat tiga melihat bilik Sarafina dengan Ibu akhirnya berakhir dengan aku dan dia bermasam muka ketika aku bertanya tentang sebab kematian Sarafina masih segar di dalam ingatan aku walaupun ia boleh dianggap sebagai kisah silam.

Ada beberapa insiden aku naik ke atas tanpa pengetahuan Ibu berjengket-jengket melihat apa yang ada di bahagian atas rumah itu tetapi aku tidak pernah dapat masuk ke mana-mana bilik. Setiap bilik dikunci dari dalam.

Memang aku sentiasa ingin tahu apa yang ada di sebalik pintu-pintu yang sentiasa tertutup itu. Aku ingin lihat aktiviti kakak-kakak yang ada di dalam bilik mereka. Apabila aku melalui koridor tersebut, di sebalik pintu-pintu kedengaran suara dan desahan yang pelik. Aku sebenarnya faham selepas kelas seks impromtu oleh Kakak Farida tetapi aku tidak dapat membayangkannya melainkan aku melihatnya dengan mata kepala aku sendiri.

Kebanyakan bunyi yang dapat aku dengari diselangi oleh bunyi musik. Ada musik yang perlahan, ada lagu-lagu Melayu, ada lagu rock dan ada juga sesekali lagu instrumental. Aku pernah terfikir yang mereka juga ada mengajar kelas tarian kepada lelaki yang masuk ke bilik mereka.

Kakak-kakak yang keluar daripada bilik itu apabila turun ke bawah di mana aku sedang duduk kadang-kadang menegur aku dengan mesra, kadang-kadang ada yang bermasam muka dan ada yang kadang-kadang mesra dan bermasam muka pada masa yang sama. Mereka akan mengiring lelaki yang naik ke bilik mereka sehingga ke pintu masuk rumah. Selepas itu mereka keluar merokok di tepi kolam renang atau duduk dengan aku.

Sambil aku berenang, sambil aku mengapungkan badan, sambil aku menendang-nendang kaki aku daripada satu hujung kolam renang ke satu hujung yang lain, aku akan memandang ke tingkap-tingkap di bahagian atas rumah itu yang cukup besar untuk seorang manusia melompat keluar.

Sebagai seorang yang membesar di rumah itu, aku tidak pernah terfikir tentang kepelikan tingkap-tingkap yang begitu luas untuk rumah yang ditutup kepada dunia luar. Langsir di tingkap yang luas itu sentiasa ditarik menutup penuh keluruhan tingkap yang besar itu. Ada lampu terpasang dan bayang-bayang pergerakan dapat dilihat. Memang ia menunjukkan dua manusia sedang rapat berdakapan. Aku cukup yakin mereka mengadakan kelas tarian di dalam bilik-bilik itu.

Selain daripada kelas tarian, aku pernah nampak dua (atau tiga) manusia berdakapan tanpa seurat benang tetapi sering tidak jelas. Penerangan Kakak Farida membuat aku faham aktiviti itu adalah aktiviti seksual namun ia masih kurang jelas.

"Ha! Kau nak naik ke tak?" tanya Ibu.

Aku yang sedikit termangu bercampur sedikit teruja, berdiri memandang Ibu tanpa bergerak. Aku sendiri tak faham dengan tindakan aku. Aku memang menanti-nantikan saat ini sejak aku mandi petang dan memakai kembali pakaian koboi yang diberikan oleh Ibu.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now