Sejarah Hitam - Part 10

3.5K 17 0
                                    

Apa yang terjadi di dalam bilik itu pada malam itu amat mudah untuk diterangkan.

Aku dicabul.

Aku dicabul secara seksual dan secara mental.

Ia adalah titik tolak aku hilang perasaan untuk mengasihani atau apa jua perasaan yang manusia rasa apabila dirinya menganiaya atau teraniaya.

"Bangun Bilis," satu suara lelaki mengarahkan aku dengan tegas.

Aku yang berada dalam kedudukan merangkak di atas lantai di bilik yang gelap itu tergamam. Aku tidak takut tetapi aku yang tadi sedang bergembira berlari-larian sambil memikirkan tentang makanan yang bakal aku nikmati di malam hari lahir aku menjadi tergamam dengan perubahan situasi aku.

Apa pulak ni? Mana makanan sedap yang dijanjikan oleh Ibu tadi? Kenapa aku sekarang sedang merangkak di atas lantai bilik ini dan bukannya sedang ditarik manja oleh Ibu untuk masuk ke dalam bilik ini dengan perlahan untuk menikmati makanan istimewa sempena hari lahir aku?

Dalam 8 saat aku berada dalam keadaan merangkak tanpa bergerak itu, fikiran aku melayang kepada Ibu dan apa yang selama ini aku anggap sebagai perangai semulajadinya yang aku ketahui sejak aku mula boleh berfikir sehingga hari aku menjadi 11 tahun itu.

Ibu dan perkataan mesra wujud di dalam dua dunia yang berbeza.

Aku hanya boleh mengatakan Ibu membesarkan aku setakat itu untuk memastikan aku hidup selesa cukup untuk membesar menjadi seorang yang mampu menjaga diri sendiri tanpa memerlukan banyak penyeliaan.

Seperti yang aku terangkan, aku bukan sebahagian daripada darah daging Ibu. Ketika aku membesar awal-awal lagi Ibu telah menerangkan kepada aku perkara itu. Ia bagaikan mantra yang diceritakan oleh Ibu kepada aku pada ketika aku seperti anak-anak lain menagih kasih sayang.

"Ini bukan drama Melayu kau nak aku belai kau atau nak buat kau macam anak tiri. Aku nak cakap kepada kau terus supaya kau faham. Aku ni bukan Ibu engkau. Semua orang dalam rumah ni panggil aku Ibu. Tugas aku mudah. Aku pastikan semua orang dalam rumah ini gembira dengan apa yang mampu kita siapkan untuk mereka," kata-kata ini Ibu ucapkan kepada aku sambil aku duduk di meja makan kecil di dapur sambil dia memasak masakan tengahari di satu hari.

Umur aku pada masa itu yang aku ingat adalah empat tahun. Pada masa itu aku rasa umur aku sudah cukup tua untuk aku mengingatinya tetapi masih keanak-anakan untuk aku tidak memahami tentang makna kemesraan. Atau tanggungjawab seorang ibu.

Ibu bukan seorang yang kejam secara fizikal atau jenis yang menempelak tanpa sebab. Tempelakan Ibu biasanya berasas terutama dengan aku yang sering berperangai keanak-anakan seperti kanak-kanak yang berumur sebaya dengan aku.

Ibu hanya seorang yang kurang mesra.

Aku bukanlah seorang budak yang memerlukan belaian. Ia mungkin satu kisah ayam dan telur di mana aku mungkin seorang kanak-kanak yang tidak memerlukan belaian kerana aku tidak diberi belaian.

Mungkin jika aku sering dibelai mesra, aku akan menjadi lebih manja dan suka dibelai.

Kanak-kanak memang mudah dibentuk untuk menjadi apa sahaja yang dikehendaki oleh orang dewasa di dalamnya.

"Semua orang ada fungsi di dalam rumah ini. Fungsi kau mudah saja. Membesar tanpa aku perlu nak kena jaga kau sepanjang masa. Aku tahu kau ni kecil lagi tetapi aku tak nak kau menyusahkan aku. Tapi aku tak nak kau tiba-tiba mati tak tentu pasal," Ibu menyambung permintaannya tentang fungsi aku di rumah itu.

"Aku tau yang tak elok untuk aku cakap kau tak boleh mati tapi aku ni bukan reti sangat nak cakap berlapik-lapik. Baik aku cakap je terus terang kat kau. Kau faham?" Ibu memandang aku sambil memotong bawang.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now