Sejarah Hitam - Part 7

5K 22 0
                                    

Aku menjadi dewasa tanpa rela.

Aku rasa aku berumur sebelas tahun pada masa kejadian itu berlaku.

Sebelum kejadian itu berlaku, aku bergembira hidup di dunia ini melakukan sesuka hati aku sama seperti yang biasa dilakukan oleh kanak-kanak di merata dunia.

Aku berenang, aku bermain dengan permainan yang dibeli oleh Ibu dan orang yang keluar masuk ke dalam rumah itu untuk pelbagai urusan. Aku tidak pernah merasakan keinginan untuk tahu apa yang ada di dunia luar kerana aku merasakan aku ada semua yang aku perlukan di dalam rumah itu. 

Kenapa aku nak susahkan diri aku dengan dunia yang aku tidak kenali? Aku adalah bayi di dalam rahim yang cukup dengan segala kemudahan. Makanan dan minuman yang aku perlukan disalurkan masuk ke dalam perutku menggunakan tali pusat yang bercantum dengan tali pusat Ibu.

Itu lah cermatnya Ibu memastikan aku sihat dan matang untuk disediakan bagi satu ritual yang dihadapi oleh setiap gadis di dalam rumah agam durjana itu.

Setiap malam aku akan tidur di atas katil yang berada di sebelah katil ibu dengan senyuman yang puas. Selalunya, kerana layanan yang aku terima daripada kakak-kakak yang memanjakan aku dengan masakan dan bermain dengan aku, aku penat apabila sudah sampai masa untuk tidur. Berenang juga sering memenatkan aku.

Tidur aku selalunya nyenyak tanpa mimpi.

Ada ramai orang yang sering keluar masuk rumah itu.

 Ada yang masuk melalui pintu depan tanpa segan silu dan ada yang masuk melalui pintu dapur di belakang mengelak daripada dilihat oleh orang luar. 

Yang aku pelik tidak terdapat pintu pagar masuk di bahagian belakang rumah itu. Tentu ada jalan rahsia yang membolehkan orang-orang ini muncul di bahagian dapur rumah itu tanpa memerlukan mereka melalui pintu hadapan. 

Tidak ada rumah atau bangunan lain di bahagian hadapan, tepi atau belakang rumah itu. Rumah itu sangat istimewa tetapi pada masa itu ia bukan sesuatu yang aku fahami atau sedari.

Pintu depan rumah itu mempunyai sistem keselamatan yang ketat. Malahan, hampir keseluruhan rumah itu mempunyai sistem keselamatan yang ketat.

Pagar otomatik rumah itu hanya boleh dibuka sekiranya dibuka oleh seseorang daripada dalam. Tiada siapa dapat keluar masuk menggunakan kunci atau apa-apa alat komunikasi yang boleh dibawa ke mana-mana.

Walau siapa pun, untuk masuk (atau keluar) seorang yang lain perlu menekan butang yang ada di dalam rumah itu untuk membuka pagar otomatik itu.

Setiap pergerakan orang keluar masuk diketahui oleh keseluruhan rumah kerana bunyi pintu pagar depan rumah itu dapat didengar dengan jelas oleh sesiapa yang berada di dalam rumah.

Pintu pagar rumah itu bergerak di atas landasan yang dibina agar ia bergerak sehingga muat untuk memasukkan kereta, lori dan pernah juga satu bas mini. Di luar pagar terdapat satu mikrofon dan loceng buzzer yang dibina untuk pemandu kereta meminta dibenarkan masuk.

Apabila kenderaan tu dah masuk, ada satu kotak dilukis di atas jalan di mana kenderaan itu berhenti dan semua orang di dalam kenderaan itu perlu keluar. Semua pintu kenderaan dan tempat simpan barang samada depan atau belakang perlu dibuka.

Ada satu kamera yang dipasang supaya boleh melihat ke dalam kenderaan untuk pastikan tiada orang di dalamnya.

Selepas itu kenderaan itu boleh diletak di satu kawasan tempat letak kereta yang luas. Cukup untuk 20 kereta.

Aku dapat tahu pada satu hari yang rumah itu sebenarnya adalah dua lot banglo dan itu lah kenapa ia mempunyai ruang yang besar untuk kolam renang dan tempat letak kereta.

Selepas turun daripada kereta, orang yang di dalam kenderaan itu perlu pergi ke pintu depan untuk meminta masuk. Terdapat mikrofon dan loceng buzzer di tepi pintu rumah itu yang perlu ditekan dan sekali lagi orang itu perlu memperkenalkan dirinya. Tidak kira dia lelaki, perempuan, VIP atau mat despatch.

Orang yang menjemput orang. yang datang itu perlu menyambut tetamunya di pintu depan rumah itu dan kemudian ada satu kad yang perlu di-scan sebelum orang itu boleh masuk ke dalam rumah itu.

Di setiap checkpoint, di merata tempat di dalam rumah itu, termasuk di tempat letak kereta dan halaman rumah itu terdapat banyak kamera. Aku tak tahu di mana bilik yang menjaga kamera-kamera ini. Aku tak pasti kamera-kamera ini hanya merakam atau ia juga mempunyai kuasa untuk menyebabkan sesiapa masuk atau tidak.

Semua kenderaan masuk diarahkan untuk diparkir di belakang rumah itu. Di sini lah ada yang hanya menunjukkan muka melalui pintu belakang. Ada yang diturunkan oleh kenderaan yang mempunyai pemandu di bahagian hadapan.

Pemandu yang membawa orang-orang penting dan ternama itu mempunyai ruang mereka sendiri untuk berehat. Di kawasan parkir terdapat satu rumah di mana mereka dilayan dengan baik. Makanan, minuman dan sesekali aku lihat ada juga gadis yang menyelinap ke sana.

Semua kawalan keselamatan yang dilalui oleh setiap pelawat ke rumah itu dikecualikan untuk seorang sahaja.

Orang itu melalui semua proses kawalan keselamatan yang disediakan untuk semua orang tetapi dia menggunakan satu keypad yang disediakan di sebelah setiap buzzer yang ada. Dia menekan nombor tertentu untuk masuk dan dia tahu semua nombor keselamatan untuk setiap peringkat sekuriti yang ada.

Orang itu juga adalah satu-satunya orang yang boleh bergerak bebas ke seluruh rumah agam itu tanpa kekangan. Dia keluar masuk setiap bilik di semua tingkat. Dia pernah duduk memerhati aku berenang dan pernah satu hari ketika aku bangun daripada tidur petang dia memerhatikan aku sambil duduk di bucu katil

Aku sering memberikan senyuman kepadanya kerana aku suka dengan wajahnya sebelum hari bersejarah itu.

Dia lah yang menyebabkan aku dewasa. 

Dewasa tanpa rela.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now