Ganas - Part 2

15.3K 41 10
                                    

Aku masih lagi berdiri menelek kesan yang ditinggalkan di kereta Mini aku hasil geselan basikal fixi budak punk itu apabila pemuda berpakaian baju hitam dan berjeans biru lusuh itu melanggar bahu aku.

"Kau rasa itu kejam?" tanya pemuda itu.

Aku yang sibuk membelek gurisan halus yang memerlukan kanta pembesar untuk melihatnya di kulit kereta Mini aku itu menoleh memandang pemuda itu. Mona, kereta Mini aku, ibarat seorang model yang sentiasa aku belai dan lebih aku cintai daripada apa saja yang ada di dunia ini.

Aku pandang dia daripada atas ke bawah, memberi dia satu pandangan sambil mengambil kira sama ada aku masih cukup marah untuk meneruskan amukan aku ke atas pemuda itu.

Dia adalah seorang yang kurus. Mukanya cengkung dan badannya bagaikan tidak mempunyai isi langsung.

"Dia ni penagih ke?" cetusan fikiran aku yang terawal mendiskriminasi apa yang aku lihat setelah selesai aku memerhati setiap bahagian tubuh badannya.

Jeans birunya yang lusuh dan baju t-shirt hitam berkolar bulat yang dipakainya kotor dengan debu seperti dia baru keluar daripada tapak binaan. Jeans birunya itu selain berdebu mempunyai kesan cat pelbagai warna di sepanjang bahagian kakinya.

Dia berbau peluh. Janggut dan misai lintang pukang di mukanya membuat wajahnya tidak terurus. Yang peliknya, rambutnya kemas dirapi menggambarkan ia sentiasa di sikat. Matanya kecil di dalam soket matanya yang menampakkan dia kurang tidur. Lingkungan hitam di sekeliling matanya melengkapkan imej penagih dadah di hadapan aku.

Aku mencongak untuk tidak memperdulikan dia sebelum dia bertanya soalan yang sama sekali lagi, kali ini dengan jari telunjuknya menuding ke arah budak punk tadi di tepi jalan yang dikerumuni oleh rakan-rakan sebasikalnya. Dia masih lagi sedang diberi rawatan manual oleh rakan-rakannya. Rawatan manual mengelap mana-mana bahagian yang berdarah dengan sapu tangan bermotif band punk masa kini. 

Jarak kumpulan budak-budak berbasikal dengan aku dan pemuda itu dalam 5 kaki.

Kali ini aku bangun berdiri daripada kedudukan aku yang sedang menonggeng tadi dan mengalihkan perhatian aku sepenuhnya kepadanya.

"Orang panggil aku Tan. Kononnya singkatan Setan. Nama timangan semasa kecil yang aku masih lagi guna sehingga sekarang," mukadimah perbualan aku dengan pemuda itu.

"Orang panggil aku Bilis. Mungkin pasal aku kurus agaknya," jawab pemuda itu.

Kami tidak bersalaman atau cuba untuk bersalaman. Satu gestur yang biasanya dilakukan sebagai pembukaan kepada perkenalan. Aku tidak hulurkan tangan aku dan dia pun aku lihat melakukan perkara yang sama. Kedua-dua berlagak macho dan bersedia untuk kemungkinan lain.

Aku selalu anggap salam ini satu perkara overrated. Aku penat apabila melihat setiap orang terpaksa salam dengan semua orang di dalam satu majlis yang dia hadiri. Terbongkok-bongkok bertanya khabar dan berlagak sopan dengan semua orang walaupun kau tidak kenal semua yang ada.

Dalam situasi aku dengan pemuda ini, aku anggap dia dengan aku belum tentu akan menjadi kawan. Tidak bersalaman bermakna aku berpeluang untuk menghenyak penumbuk padu ke mukanya yang cengkung itu.

Gestur saling bersalaman akan memberikan dia satu gambaran yang salah bahawa kami akan berkawan baik di masa-masa mendatang. Aku memerlukan pilihan untuk menjadikan dia seorang lawan. Bakal kawan yang berpotensi menjadi lawan.

Manalah tahu kan? Aku bukan boleh melihat masa hadapan.

"Apa? Kau tak rasa itu cukup kejam?" aku tanya dia kembali.

"Kau nak lihat kejam?" tanpa berlengah dia melangkah ke arah budak-budak berbasikal fixi yang sedang memberi bantuan perubatan kepada rakan mereka yang aku telah cederakan tadi. Lebih tepat, yang telah aku belasah dengan teruk tadi.

KEJAM #Wattys2019Where stories live. Discover now