Peluang Untuk Bahagia 12

6.1K 303 21
                                    

SURAT ditangan dipegang erat bersama sebuah senyuman tergaris dipipi. Senyuman kegembiraan. Walaupun sudah berkali-kali dia menatap sekeping kertas itu, namun rasa gembira dan syukur tidak pernah henti. Sejak surat itu sampai ke banglo milik Encik Amir beberapa hari lepas, dia tidak pernah berhenti dari tersenyum. Malah, semangatnya juga untuk memulakan hidup baru semakin berkobar-kobar.

Kayla mengeluh penat sambil melangkah masuk ke dalam rumah setelah memastikan Marcedes Benz A milik Haris meninggalkan perkarangan banglo Encik Amir. Jam 4 petang barulah Haris menghantarnya pulang selepas sahaja mereka keluar makan dan menonton wayang bersama. Itu pun disebabkan dia yang menggesa lelaki itu menghantarnya pulang. Bukan tidak mahu meluangkan masa dengan Haris lama-lama, tetapi dia berasa sedikit tidak selesa.

"Assalamualaikum." Pintu rumah ditutup rapat dan membawa langkah ke ruangan sofa. Bersama keluhan dia duduk di atas sofa. Badan disandar lemah. Penat.

"Waalaikumussalam. La, cepatnya Kayla balik. Dah habis dating dah?"

Kayla memandang suara itu. Jelingan manja diberikan. Ada saja la yang mahu mengusik dia. Tadi Baba, dan sekarang Mak Temah pula.

"Tak ada maknanya nak dating, Mak Temah. Kayla dengan Haris tu berkawan saja la."

"Iya la. Mula-mula kawan. Lama-lama kahwin." Semakin galak Mak Temah mengusik. Mengekek dia sendiri dengan kata-katanya.

"Mak Temah, jangan la usik Kayla macam tu. Tak suka la."

Bibir Kayla mula memuncung. Dia berpeluk tubuh memandang ke arah lain. Penat lepas keluar bersama Haris pun belum hilang lagi, tapi balik saja ke rumah sudah dapat usikan begitu. Kahwin? Apa la yang Mak Temah merepek. Dia baru saja tamat belajar la. Tak mungkin di usia 24 tahun dia akan mendirikan rumah tangga. Lagipun, siapa saja yang nak kan dia? Tiada siapa.

Mak Temah menggeleng sambil tersenyum. Dia meninggalkan anak majikannya itu untuk berlalu ke dapur. Di ambil satu sampul surat berwarna putih yang dihantar oleh postman sebaik saja Kayla keluar tadi. Sampul surat itu dibawa keluar. Surat itu adalah untuk Kayla. Siap tertera nama Kayla Raihana Binti Ahmad Khairul lagi tu ha.

Anak gadis itu dihampiri. "Nah."

"Hmm? Surat apa ni, Mak Temah?" Tanpa mengambil surat yang dihulur, Kayla menyoal hairan.

"Entah la. Mak Temah pun tak tahu. Ini surat Kayla. Lepas Kayla turun rumah dengan Haris tadi, postman hantar. Ambil la, mana tahu penting. Nah."

Sampul surat yang dihulur diambil Kayla. Dia membelek-belek sampul surat itu. Mak Temah telah pun kembali ke ruangan dapur. Tempat di mana Mak Temah menghabiskan masa. Entah apa yang dibuat pun tidak tahu. Ada saja makanan yang terhidang. Untung saja dia tidak gemuk kerana asyik makan saja.

Tanpa sebarang reaksi, dengan selamba sampul surat itu dibuka tanpa perasaan walaupun dia kehairanan. Mana pernah dia dapat surat melainkan surat tawaran belajar sahaja. Lipatan surat dibuka dan satu persatu dibacanya. Sesaat, matanya membulat luas. Badan duduk dengan tegak. Sekali lagi ayat yang tertulis di dalam surat itu dibaca dengan penuh tekun sekali tidak mahu meninggalkan satu ayat pun kerana dia mahu memastikan apa yang dia telah baca tadi adalah betul.

Kayla bangun berdiri dan...

"Yeay! Alhamdulillah, Ya Allah!"

Dia bersorak gembira sambil memeluk surat tersebut. Dia memusing-musingkan badan kerana terlalu gembira. Kalau boleh dia mahu melompat sehingga bumbung banglo ini tertembus! Melampau bukan? Tetapi dia sangat gembira sangat!

"Ya Allah, Kayla. Yang menjerit tu kenapa? Terkejut la Mak Temah." Jerit Mak Temah dari dapur apabila suara Kayla menyapa pendengarannya sehingga dia terkejut.

Peluang Untuk Bahagia✔ [Republish]Where stories live. Discover now