Bahagian 18

98 9 0
                                    


Jatuhan berbillion titik air menutup ruang atmosfera kota. Entah berapa ribu gelen air sedang menimpa bumi kita ketika ini. Aku berdiri di balik dinding kaca yang terlindung dari percikan air sambil menggaru-garu kepala. Aku merenung waktu, sudah hampir ke tengahari. Aku pula masih termangu baru terjaga dari tidur.

Terasa badan sangat lemah dek terlalu panjang masa aku tidak sedarkan diri. Terlepas jua subuh aku. Entah apa yang memenatkan aku malam tadi. Berat di kepala masih membeban.

Aku buka peti ais. Susu pekat aku letak di atas kabinet dapur. Aku buka pintu kabinet yang terletak di atas kepala. Balang berisi serbu milo aku tarik keluar. Dua sudu serbuk milo aku ceduk lalu aku masukkan ke dalam mug merah. Berhadapan mesin Coway, aku tolak Mug merah itu di penolak air panas. Terasa berhaba mug merah itu sebaik air panas mengalir turun.

Selesai dengan kacauan sebati, aku letakkan mug itu di atas meja. Aku buka pengepit plastik roti. Dua keping roti loaf aku damparkan di atas piring putih IKEA. Ada dua balang jem berjenis Nutella dan Strawberry. Aku pilih balang rona merah.

Sambil duduk santai, aku sapu jem pada sebelah roti. Apabila sapuan jem serata di seluruh permukaan, aku rapatkan roti yang masih suci dari sebarang jem bersama roti yang sudah diraba dengan pisau tumpul. Aku minum dahulu air yang semakin mengurang habanya itu. Hangat terasa hingga ke kerongkong.

"Hurm?"

Sebaik aku meneguk, baru aku perasan akan kewujudan gincu merah berbalut bekas hitam bersebelahan Air Fryer. Gincu itu sudah separuh isinya. Aku angkat dan belek. Aku hairan. Aku yakin gincu itu semalam tidak ada. Walhal selepas bertemu Rosa, aku goreng beberapa kepingan nugget menggunakan Air Fryer.

"Krul dengan Zambri ke?"

Aku ke ruang tamu. Aku cuba perhatikan sekeliling. Aku cuba amati jika ada apa-apa kelainan. Pintu. Aku segera mendapatkan tombol pintu utama.

"Argh, sial" Aku mencarut dengan nada perlahan.

Pintu aku tidak berkunci. Aku sentap ke belakang pintu rumah dan aku tenung jeriji besi. Terbuka luas. Sekali lagi mulut aku menyumpah. Aku tenung kiri dan kanan. Bunyi bingit hujan menyerap sebarang bunyi. Aku mula rasa tidak sedap hati.

Bagaimana pemecah masuk dapat merungkai kunci tanpa merosakkannya?

Ah mesti babi yang sama. Babi yang masih terlepas. Babi yang pernah pecah masuk rumah aku satu ketika dahulu. Babi itu buat kerja yang sungguh cekap. Aku berlari masuk bilik stor. Aku geledah setiap tempat. Lega tiada apa yang diambil.

Aku masuk pula dalam bilik tidur. Aku semak semua tempat. Setakat ini aku tidak kesan sebarang kehilangan. Aku tenung peti kayu di kaki katil. Aku tidak berapa kisah sangat barang-barang dalam kotak itu. Kebanyakannya adalah alatan sukan yang entah sudah berapa lama aku tidak guna.

Aku ngangakan peti itu seluas-luasnya. Mata aku tertarik melihat akan sepasang high heels yang aku yakin itu bukan milik aku. Aku angkat dan selidik.

"Erm, sapa punya pulak ni aih"

>>>

Satu perkara agak menarik hingga ke hari ini aku tidak lakukan adalah meminta nombor telefon Suri. Benar. Aku tidak terfikir langsung. Suri juga tidakpun meminta nombor telefon aku. Mungkin dia segan... entahlah.

Lagipun yang sebenarnya aku tidak rasa langsung hendak menjadikan Suri sebagai teman kekasih. Tetapi kadangkala bersama Suri ada juga terputik rasa cinta itu. Namun ia lebih kepada perasaan yang sekejap. Selepas itu aku rasa semua yang aku lakukan hanya kemesraan berkawan.

Berbolak-balik. Kadang-kadang rasa rindu muncul. Aduh, sungguh bergelora jiwa aku bila memikirkan benda terumbang ambing.

Apa paling penting, apa pula yang difikirkan Suri? Mungkin niat dia Cuma hendak berkenalan dengan aku sekadar menjadi teman biasa? Tetapi sampai perlu berutus surat pada awalnya, bukankah itu seperti hendak mengenal hati budi.

SURIWhere stories live. Discover now