TAQI - 13

7.6K 1.3K 313
                                    

SAYUP-sayup kedengaran bunyi lantang dari luar rumah. Suara-suara seperti orang sedang bergaduh. Tashfeen dan Tihani berjalan mendekati tingkap panjang di sebelah pintu lalu langsir diselak untuk melihat keadaan di luar.

"Eh korang berdua buat apa tu?" Taqi bertanya sebaik saja turun dari tangga. Niat nak cari mama dan ayahnya terbantut begitu saja dek kerana mata menangkap perilaku adik-adiknya yang sepertinya sibuk mengintip keluar jendela.

"Tengah tengok drama, abang. Marilah sini. Uncle Wahab tengah gaduh dengan kak Emma." ujar Tihani.

Dengar nama Emma terpacul keluar, kening berkerut. Bergaduh? Laju kaki diatur mendekati Tashfeen dan Tihani. Tashfeen ditolak sedikit ke tepi untuk memberinya sedikit ruang. Mana tidak, kalau kepala Tahsfeen yang menghalang pandangannya, nak tengok apa je boleh?

"Garangnya uncle Wahab tu. Tachodlah Hani!" ujar Tihani lagi.

"Kak Emma ada buat silap kot. Itu yang kena marah oleh uncle." Tahsfeen membalas. Dimarahkan oleh ibu atau ayah itu hal biasa. Kadang, Tashfeen pun dimarahi oleh Inayah. Degil punya pasal, mendapatlah secubit dua cubitan bergigi mamanya.

"Tapi perlu ke marah anak dekat luar rumah? Malu kot orang lalu lalang tengok." kata Taqi. Matanya tertunak ke arah gadis muda yang bersandar dipagar rumah. 

Bunyi dentuman guruh mengejutkan tiga beradik itu. Masing-masing terus menjauhkan diri dari tingkap. Takut disambar kilat. Taqi pandang Tashfeen yang kembali berdiri untuk berlalu pergi.

"Taqi, tolong mama angkat kain di ampaian dekat luar tu. Hari macam nak hujan aje mama tengok." arah Inayah separuh menjerit.

"Okay!" Taqi menyahut kembali. Lekas-lekas dia bangun sambil membawa bakul yang terletak di sebelah tangga.

"Nak Tashfeen tolong?"

Taqi menggeleng perlahan. "Tak apa, biar abang je. Dah nak hujan tu, demam nanti." Dia berpesan. Sejurus itu langkah diatur keluar rumah.
  
  
  
  
   
"EMMA, nak ke mana tu!" Tangan anak perempuannya segera digapai lalu digenggam erat.

Kepala ditolehkan ke belakang kemudian tangan Wahab yang memegangnya erat itu ditepis kasar. Dia pamer wajah jijik tika disentuh oleh lelaki bergelar walid. Sepasang mata almond milik Emma tertunak tajam ke arah Wahab.

"Emma nak ke hospital! Emma nak bagitahu ummi pasal walid, pasal perempuan murahan dalam rumah tu!" Emma membalas dalam nada menengking. Tidak kisah jika dosanya dicatat atas sebab menderhaka.

Tak ada gunanya Emma nak hormat dan sanjung tinggi ayah seperti walidnya itu. Ciri-ciri seorang suami dan ayah yang baik tidak ada pada diri Wahab. Suami yang baik tidak akan curang, tidak akan menduakan isterinya dan suami yang baik tidak membodohkan isteri mereka dari belakang.

Konon setia tapi haram! Ingatkan Emma balik sekejap ke rumah dapat berehat setelah berjam lamanya dia duduk di hospital menjaga Sofi. Dua hari lepas, Sofi terbabit dalam kemalangan sewaktu wanita itu mahu menghantar bekalan pada Wahab di sekolah tahfiz. Malang tak berbau, kereta Sofi dirempuh. Nasib baik Sofi terselamat dan masih diizinkan untuk bernafas.

Jika tidak, hilanglah bidadari syurga Emma buat selamanya...

Masuk ke dalam rumah, dia dihidangkan dengan sebuah adegan kurang bermoral. Walid dan seorang wanita sedang bermadu asmara di bilik tamu. Bukan sekeping saja hati Emma dimamah tapi seluruh daging hancur melihat kecurangan walidnya.

Memang Emma tahu tentang hubungan sulit walidnya dengan seorang wanita tapi tak pernah pula melihat aksi curang itu di depan mata. Wajah Sofi muncul di benak, lagi dan lagi hati Emma hancur. Lelaki seperti walidnya ini umminya nak sanjung sampai mati?

[B3] TAQIWhere stories live. Discover now