TAQI - 26

8.5K 1.2K 322
                                    

"SEDAP tak kena belasah? Itulah, jangan buat hal, sayang. Ni macam mana nak kahwin kalau muka lebam-lebam?" bisik Akhtar ke telinga Emma. Hujung bibir lelaki itu ternaik sinis apabila mata terpandang lebam di pipi, hujung bibir dan tangan si gadis.

Emma ketap bibir. Mata dipejam erat. Hujung kerusi kereta digenggam. Tubuhnya menggigil menahan rasa marah yang ingin meletus. Hatinya sakit. Malah lebih sakit dari tubuhnya yang luka dan lebam setelah dikerjakan Hayati dan Wahab.

"Kau jangan cabar aku, Akhtar." Suara di celah gigi.

"Cabar macam mana tu, sayang? Aku tak buat apa-apa pun. Kau yang bersalah. Kau yang suruh Amel tekap seterika tu atas tangan dia. Memang wajarlah uncle dengan aunty tu pukul kau. Kau kena sedar diri, Amel tu anak kesayangan walid kau. Kau? Tak ada sesiapa sayang kau. Even mak kau pun tinggalkan kau. Malangnya hidup kau, sayang." Akhtar sentuh belakang kepala Emma. Dibelai-belai rambut gadis itu tapi tak lama.

"Arghhh!" Tangan itu mencengkam kuat rambut Emma sehingga kepala gadis itu tercongak ke atas.

"Lepas, bodoh!"

"Apa? Siapa bodoh? Kau? Kau memang bodoh." Akhtar tertawa besar lalu cengkaman pada rambut Emma dilepaskan.

"Aku tahu kau bencikan aku! Tapi kalau kau benci aku, kau buat dekat aku. Kau kerjakan aku sampai mati pun aku tak kisah. Tapi jangan sentuh Amel! Dia kecil lagi!" Dengan kesempatan yang ada, Emma tarik kolar baju kemeja lelaki itu. Dia tarik kasar agar Akhtar menghadapnya.

Dengan mata panas dan berkaca-kaca, dia tenung lama seraut wajah tampan milik Akhtar. Bila dah kenal perangai lelaki ini, kacak itu tiada erti lagi. Lelaki seperti Akhtar tak patut dipandang malah lelaki ini seharusnya dihapuskan. Lesap dan ranap dari muka bumi ini.

"Sejak bila kau kisah pasal Amel? Kau kan benci dengan budak tu. Ye la, budak tu lahir dari rahim aunty Hayati. Mak tiri kau. Perempuan yang dah rampas walid kau dari ummi kau. Bukan ke kau lagi suka tengok dia sakit?" Akhtar sengaja menduga. Sengaja memarakkan api yang sememangnya sudah membara.

"Sekalipun aku benci budak tu. Aku tak pernah sampai tangan dekat dia! Aku tak penah gesek dia guna seterika. Aku tak pernah ajar budak tu benda bodoh! Kau yang memandai-mandai hasut dia buat benda tu! Kenapa kau buat dia macam tu sekali? Kenapa kau tergamak sangat! Jawab, bodoh!" amuk Emma.

Tangan Emma dipegang, ditarik hingga tangan itu tidak lagi menyentuh pakaiannya. "Kau menangis ke? Kenapa kau menangis? Kau rasa bersalah dengan apa yang kau dah buat tadi?" Senyuman sinis terlakar pada bibir Akhtar. Fuh, puas hatinya melihat gadis itu hampir-hampir saja menumpahkan air mata.

Itulah, lain kali jangan tunjuk keras sangat. Jangan tunjuk hebat. Tak perlu nak sorokkan sifat sebenar iaitu lemah! Dah lemah tu mengaku sajalah!

"Aku tak buat. Kau yang hasut Amel. Kau sengaja, kan? Kau memang iblis, Akhtar. Aku benci kau! Aku benci kau, anak haram!" amuk Emma lagi. Bahu lelaki itu ditumbuk berkali-kali. Air mata mencurah-curah keluar.

"Silakan. Bencilah aku sebanyak mana yang kau mahu. Selagi aku belum puas seksa kau, aku akan terus buat kau menderita, Emma Zahira." Sebab penderitaan Emma adalah kebahagiaan Akhtar.

"Apa dosa aku dekat kau?!" Emma bertanya lirih. Tersedu-sedan.

Akhtar tersenyum kecil.

"Tak ada... cuma aku suka lihat bakal isteri aku sakit." ujarnya Akhtar tersenyum angkuh. Dagu runcing Emma dicuit.

Emma kacip kuat giginya. Tangan diseluk ke dalam tote bag yang terlipat. Pisau lipat yang sentiasa dibawa bersama dikeluarkan perlahan. Air matanya berhenti mengalir. Kedua-dua anak mata Emma merelung tajam menentang bola mata Akhtar yang memandangnya sinis.

[B3] TAQIWhere stories live. Discover now