BAB 9 | DENDAM CINTA 2

8K 774 672
                                    

"KAU?"

Terbuntang mata Harraz. Lelaki yang sedang berdiri di muka pintu utama itu dipandang tidak berkelip. Otaknya ligat memutar kembali memori terhadap lelaki tersebut. Dia kenal. Pemuda itulah yang ditangkap sedang berdua-duaan dengan Marissa di dalam kamar beradu mereka.

Dan sekarang ini, lelaki tersebut masih berani munculkan diri di hadapannya. Pula tu, dengan cukup berani, Irfan mengaku dirinya yang menghamilkan Natalia. Juga merupakan lelaki yang sama telah meniduri isterinya.

"Apa semua ni, Natalia?" Suara Harraz mula bergema lagi. Kepalanya menoleh ke belakang. Pucat lesi wajah isterinya.

"Tak... Talia tak kenal dia! Abang jangan percaya dengan apa yang dia cakap!" Menderu-deru nafas Natalia. Pernafasannya mula tidak teratur dek perasaan takut yang mula bertapak dalam dirinya.

Adam tersenyum sinis. Tergeleng-geleng kepala dia mendengar omongan Natalia. Tembelang sudah pecah pun masih mahu menipu lagi. Lantas, Irfan yang berdiri di sisinya ditolak masuk ke dalam rumah.

"Ingat, kalau kau nak selamat, lebih baik kau betulkan balik keadaan yang dah kucar-kacir. Kalau tak, tahulah apa nasib kau nanti," ugut Adam melalui bisikan. Tangan Irfan yang berbalut itu dijeling sekilas. Nasib Irfan baik kerana dia tidak terlalu kejam hendak memotong tangan lelaki itu. Ikutkan rasa marah, memang lunyai Irfan dikerjakannya setelah mendengar segala bicara lelaki itu tadi.

Teragak-agak Irfan mengangguk. Dia dah cukup serik dengan penyeksaan yang diberikan oleh Adam. Sebelah tangannya terasa kebas. Kadang kala, ia berdenyut-denyut sakit. Mukanya pula tak usah cakap. Lebam dan bengkak dengan kesan tumbukan.

"Kalau kau tak kenal dia, macam mana jantan ni boleh mengaku yang dia mengandungkan kau?! Jantan ni juga yang ada dalam bilik dengan isteri aku!" Seoktaf nada Harraz meninggi. Jari telunjuknya menunding ke arah Irfan. Matanya tajam. Dadanya berombak kasar.

Natalia semakin tak tentu arah. Apatah lagi Irfan semakin mendekat. Perutnya tiba-tiba rasa sebu. Rasa gemuruhnya mula datang kembali.

Di tepi sudut sofa, Marissa cuba menenangkan hatinya. Entah kenapa, sekeping hatinya terhiris mendengar bicara Harraz itu. Kerana kejadian itulah hubungan dia dengan Harraz berantakkan. Kerana lelaki itulah kepercayaan Harraz terhadapnya musnah sekelip mata.

Sakit?

Usah ditanya lagi betapa peritnya dia menanggung rasa itu selama ini. Tiap-tiap hari dadanya berasa sempit tatkala diri teringat kembali segala tohmahan Harraz kepadanya.

"Ya, memang aku yang mengandungkan Natalia. Dan aku juga yang tidur dengan Marissa masa tu. Tapi..."

Buk!

Belum sempat Irfan menghabiskan ayatnya, serangan padu daripada Harraz membuatkan tubuhnya terundur ke belakang. Badannya membongkok menahan senak. Malang sungguh nasibnya hari ini. Tak hilang lagi sakit yang diberikan oleh Adam, kini ditambah pula dengan sakit daripada Harraz.

Adam lebih gemar menjadi pemerhati. Namun, kakinya nakal menapak ke arah Marissa dan lengan wanita itu dicuit-cuit manja. Saat pandangan mereka bertembung, matanya pula yang nakal mengenyit kepada Marissa. Membuntang biji mata Marissa. Dalam keadaan macam itu pun masih sempat lagi Adam menggatal dengannya? Hailah Adam Benjamin!

"Awak buat apa kat sini? Siapa lelaki tu? Macam mana awak kenal dia?" Ha, mulalah Marissa menyoal macam-macam. Dia berbisik di telinga Adam.

"Saja... Saya rindu awak," bisik Adam kembali. Phew! Sempat lagi mereka main bisik-bisik di situ.

"Awak jangan..."

"Shh... Awak dengar je apa yang Irfan nak cakap. Malam ni, semuanya akan tersingkap. Kebenaran akan berpihak kepada awak. Yang salah tetap salah. Saya buat semua ni untuk awak. Sebab..." Adam hela nafasnya. Belum tiba masanya lagi untuk kau ucapakan rasa tu, Adam. Jasmine masih isteri Harraz.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now