BAB 14 | DENDAM CINTA 2

7.1K 762 315
                                    

     SEORANG jujurawat menolak masuk sebuah katil bayi kembar ke dalam wad yang menempatkan Marissa. Mata-mata yang ada di dalam wad itu kelihatan sembab. Datin Kalsom menyentuh dadanya yang terasa ngilu. Cucu-cucunya sudah tiada! Allah... Hakikat yang terlalu perit untuk ditelan.

Harraz merasakan kakinya yang tiba-tiba longlai. Lutut mula lembik. Hampir-hampir dia terjelopok kalau tidak dikuatkan semangatnya.

Marissa menggeleng lemah. Tadi, dia hampir tumbang kerana terlalu tertekan. Namun, Marissa tidak mengalah. Semangatnya dikuatkan demi anak-anaknya. Mata menghantar katil bayi yang diletakkan di sebelah katilnya. Bayi-bayinya sudah ditutup dengan kain putih.

"Ini anak-anak puan. Mereka sepasang. Sorang lelaki dan sorang lagi perempuan." Perlahan suara jujurawat itu. Dia bersimpati di atas nasib yang menimpa Marissa. Baru je bersalin. Tapi dah diduga dengan kehilangan anak yang dikandung.

"Ma... Anak-anak Ris ma... Ris dapat sepasang, ma..." Marissa memandang Datin Syarifah. Air matanya gugur lagi. Bibirnya tercebik-cebik.

"Ya, sayang..." Datin Syarifah cuma mampu mengangguk. Sebak sungguh dia melihat keadaan Marissa tika ini. Berat ujian yang anaknya tanggung.

Marissa cuba menahan esakan. Rapuh serapuhnya jiwa dia kala ini. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa remuknya tatkala melihat anak yang dikandung pergi buat selama-lamanya. Bukan satu, malah kedua-duanya sekali.

"Nurse... Boleh sa... saya pegang anak saya?" Kabur pandangan Marissa dek air mata yang bertakung di tubir mata. Hanya menanti untuk luruh saja.

"Boleh, puan." Jururawat yang bername tag Aishah itu mengangguk kecil. Katil bayi tersebut didekatkan pada Marissa.

Harraz mendekatkan wajahnya ke dinding hospital. Ditumbuk dinding yang tidak bersalah itu berkali-kali. Melepaskan rasa terkilannya.

Perlahan-lahan Marissa mengangkat tubuh kecil anaknya. Kain putih itu diselak sedikit. Wajah si comel itu kelihatan tenang seolah-olah sedang dibuai lena. Marissa mengelap air matanya terlebih dahulu sebelum bibirnya dilabuhkan mencium pipi anaknya.

"Anak mommy..." Tak dapat ditahan lagi air matanya, akhirnya Marissa tersedu juga. Dikucup, dipeluk anaknya yang kaku seperti tidak mahu lepas.

"Ma... Sejuk pipi anak Ris ma..." Marissa mengongoi. Bahunya terhinggut-hinggut.

Aini yang berada di tepi katil Marissa tidak mampu untuk menenangkan kawan baiknya. Dia sendiri sedih melihat Marissa yang teresak.

"Hafiy Mikael... Hafiy anak mommy. Kenapa sayang tinggalkan mommy cepat sangat? Kenapa tak tunggu mommy, sayang?" Suara Marissa tenggelam dengan tangisan.

"Hafiy... Hafiy tunggu mommy dekat sana ya, sayang?" Dipeluk anaknya seerat mungkin. Dikucup dahi bayi yang bernama Hafiy itu tanpa henti.

"Ma, mama tak nak cium Hafiy? Comel betul anak Ris, ma. Tenang je wajah dia. Lepas ni Ris dah tak boleh tatap anak Ris lagi. Ris tak boleh peluk cium dia dah. Ma... Betul ke anak Ris dah tak ada? Hafiy dah tinggalkan Ris ke, ma?" tanya Marissa dengan tangisan berpanjangan.

Datin Kalsom segera menghampiri menantunya. Diusap belakang badan Marissa. Meleleh-leleh air mata Datin Kalsom tatkala wajah si comel itu menyapa kornea mata.

"Sayang... Bagi mama pegang Hafiy pula... Mama nak tengok cucu mama..." pinta Datin Kalsom, pilu.

Dahi Hafiy dicium lama sebelum diserahkan kepada Datin Kalsom. Air mata masih bertali arus. Selajur, Marissa memandang pula seorang lagi anaknya. Diangkat dan dibawa tubuh kecil itu ke dada.

"Sayang mommy..." Marissa mengucup lembut dahi anak perempuannya.

"Medina Humairah... Medina pun nak tinggalkan mommy ke, sayang? Medina ikut abang Hafiy ya? Macam mana mommy nak teruskan hidup kalau Medina dengan abang Hafiy dah tinggalkan mommy?" Comot muka Marissa dengan butiran jernih yang tak henti-henti mengalir membasahi lekuk pipinya.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now