Bab 63

1K 33 0
                                    

"Baiklah. Anugerah seterusnya, Guru Paling Popular SMK Ibrahim Yaakub jatuh kepada....Cikgu Amin!"

Tepukan gemuruh diberikan sebaik sahaja pengacara majlis Tengku Mikael mengumumkan pemenang. Namun, tepukan gemuruh itu sekadar 'cukup syarat' sahaja. Tidaklah terlalu kuat dengan perasaan teruja. Ini kerana mereka semua tahu, Cikgu Amin tiada di situ untuk melihat dan menerima anugerah ini.

Haji Kamarudin mula diselubungi rasa bersalah. Pada saat ini dia mula menyedari bahawa dia tidak seharusnya melepaskan Amin pergi ke program sambutan Hari Guru peringkat negeri di Shah Alam itu. Acara penganugerahan Hari Guru SMK Ibrahim Yaakub ini telah menjadi pincang tanpa kehadiran pemenang utama.

"Err... memandangkan Cikgu Amin takde kat sini, kita menjemput tuan pengetua lah untuk jadi wakil terima anugerah bagi pihak Cikgu Amin..." Tengku Mikael menjemput Haji Kamarudin untuk menjadi wakil. Haji Kamarudin mengangguk faham.

Mia Sofea kemudiannya mengambil sebuah piala anugerah cantik bersaiz lima belas sentimeter yang diletakkan dalam dulang yang dipegang oleh seorang pelajar perempuan.

Dia melihat-lihat piala anugerah tersebut. Terbayang dalam hatinya bahawa piala yang dipegangnya ini akan sampai ke tangan Amin di kemudian harinya, walaupun sekarang ini Amin tiada di sini.

Tepukan gemuruh yang tak berapa gemuruh diberikan sekali lagi.

Mia Sofea memandang Haji Kamarudin, bersedia untuk menyampaikan piala anugerah tersebut...

Baaam!!

Secara tiba-tiba, pintu utama dewan di bahagian belakang dibuka agak kuat sehingga menarik perhatian seisi dewan termasuklah di atas pentas. Mereka spontan menoleh ke arah pintu utama tersebut.

Kemudian muncul seorang lelaki di balik pintu, dengan wajah yang termengah-mengah.

Lelaki tersebut ialah Amin.

Melihat sahaja kemunculan Amin, terus bergegar dewan sekolah SMK Ibrahim Yaakub dengan laungan dan tepukan yang sangat gemuruh. Suatu laungan dan tepukan yang lebih power dari apa yang diberikan kepada Mia Sofea.

Amin sedikit keliru dengan situasi tersebut.

"Cikgu! Naik pentas cikgu!" seorang pelajar menjerit meminta Amin untuk naik ke pentas.

"Haa? Apa?" Keadaannya yang termengah-mengah menambahkan lagi rasa keliru pada Amin.

"Cikgu! Naik pentas! Naik pentas!" seorang pelajar lain menjerit sambil menunjukkan ke arah pentas.

"Pentas apa ni..." Amin memandang ke arah pentas dan melihat Mia Sofea berada di situ, sedang memandang kepadanya dengan wajah yang terkejut.

Amin mula fikir lain.

Diorang semua ni nak aku jumpa Mia Sofea ke? Diorang dah tahu hubungan aku dengan Mia Sofea?

Dengan perlahan Amin berjalan menuju ke pentas sambil diiringi dengan tepukan gemuruh, biarpun dirinya dalam keadaan keliru dan blur dengan apa yang berlaku.

"Memandangkan Cikgu Amin dah ada, boleh lah cikgu sendiri terima anugerah ni. Sekarang dipersilakan Cikgu Amin untuk menerima anugerah Guru Paling Popular SMK Ibrahim Yaakub!!" Tengku Mikael mengumumkan nama Amin dengan penuh teruja. Tepukan gemuruh masih bersambung tanpa sebarang tanda berhenti.

Laaa.....

Amin tersenyum sendirian. Dia akhirnya mula memahami apa yang berlaku. Dengan langkah yang penuh keyakinan, Amin kemudian menaiki pentas.

Dan matanya, matanya tepat memandang ke arah Mia Sofea yang masih lagi terpaku itu.

Amin terus berjalan dan berjalan. Akhirnya dia kini berada berhadapan dengan Mia Sofea di atas pentas.

Di hadapan semua orang!

Mia Sofea seakan tidak percaya dengan apa yang disaksikannya ini. Amin yang pada sangkaannya tidak hadir tiba-tiba berada di hadapannya? Mimpi apakah ini?

Amin pula memandang Mia Sofea sambil tersenyum, cuba menahan ketawa. Mia Sofea yang tadinya terpaku secara perlahan turut mula mengukir senyuman dan menahan ketawa. Dia kemudiannya menghulurkan Piala anugerah Guru Paling Popular SMK Ibrahim Yaakub itu kepada Amin sambil diiringi dengan tepukan yang sangat gemuruh oleh warga dewan.

Seorang pelajar yang juga merupakan jurugambar sekolah kemudiannya datang menghampiri mereka sambil memegang kamera.

"Cikgu! Ambil gambar sikit cikgu!" kata pelajar tersebut sambil memberi isyarat melambai agar Amin dan Mia Sofea berapat sedikit.

Amin dan Mia Sofea mengadap ke arah kamera, sambil kedua-dua mereka posing memegang piala anugerah Guru Paling Popular SMK Ibrahim Yaakub.

Klik! Klik!

Butang punat kamera ditekan.

Semasa berposing mengambil gambar tersebut, Amin merapati sedikit kepalanya ke arah Mia Sofea. Dengan suara yang berbisik Amin berkata,

"Awak tengok, saya pun popular jugak.."

Mia Sofea tersenyum lucu dan membalas,

"Iyelahhhhh!"

Isteri Paling Popular!Where stories live. Discover now