PROLOG

1.6K 64 13
                                    

"Masa kematian 10.30 pagi."

Serentak itu bergema bilik kedap udara itu dengan tangisan rintihan Puan Amelia. Meratapi pemergian anaknya. Sungguh perit untuk diterima anak yang digendong dan didodoikan hari semalam kini kaku dihiasi berwajah pucat.

"Janganlah macam ni..." Pujuk suaminya. Tuan Omar menahan bahu isterinya agar kekal berdiri disamping katil yang menempatkan jenazah anak bongsu mereka. Dia juga turut bersedih seperti mereka yang lain, tapi dia cekalkan hati untuk terima apa ditetapkan dalam rukun iman. Dia terima qada' dan qadar Allah SWT.

"Kau..." Bergetar nada Puan Amelia seraya memandang ke arah empat figura di tepinya, namun mata hanya tertancap ke arah salah satu daripada mereka. Setelah dua minit menangis melepaskan kesedihan, akhirnya dia kembali mengesat sisa air mata yang semakin berkurangan.

Gulp! Empat tubuh yang dari tadi berdiri tidak menyampuk berpandangan sesama mereka.

Puan Amelia menepis kasar tangan si suami yang menarik lengannya tatkala dia sudah menapak laju ke arah anak-anaknya. Serentak itu, tiga anak lelaki tirinya lebih pantas bertindak menghalang sebelum dia sempat mencapai baju si target.

"Mama ni dah kenapa?" Si sulung bersuara mewakili adik-adiknya sambil tangan kanan cuba menyembunyikan adik perempuan dibalik tubuh sasanya.

Mencerlung mata Puan Amelia ke arah Novan, si abang long. "Budak ni memang bawak sial dalam keluarga kita. Tak cukup dengan bala yang dia bawak dari lahir, sekarang dia dah bunuh anak aku!" Malah lebih lantang nada marah berbanding suara tangisannya tadi.

Para doktor yang tadinya menemani seakan memahami kejadian pantas meninggalkan keluarga itu dalam ruang bilik. Mereka juga gerun mendengar pekikan wanita itu.

"Bunuh? Mama jangan tuduh bukan-bukan! May tak salah!" Sokong Noah tidak kurang lantangnya. Dia tayang wajah berani. Tidak padan dengan usia 10 tahun, ini lah tindakan paling berani dia pernah buat sepanjang usia itu.

Dia memang seorang yang kerap dianggap kurang ajar bila dia buka mulut, nak buat macam mana dia tidak punya ibu untuk mengajarnya dengan cukup. Ada ayah sentiasa sibuk kerja. Punya ibu tiri pula lebih kurang tidak punya ibu langsung... Jadi beginilah kejadian acuannya. Dia sudah lali dicop sebagai biadap. Sekarang biar dia tunjukkan biadap yang sebenar.

"Doktor clarify kematian sebagai kematian mengejut. Arwah tertindih bantal. Kenapa ibu nak salahkan May pulak?" Berbanding Noah, anak lelaki kedua bernama Ghibran lebih tenang membela adik perempuan mereka yang bernama May. Dia tiga tahun lebih tua daripada Noah dan bicaranya juga sangat matang. Dia seperti tidak punya perasaan, entah bersedih entah tidak padahal yang meninggal dihadapan mereka kini adalah adik mereka yang bongsu.

"Kalau Dahlia hidup pun umur dia tak panjang mama. Lebih baik Allah ambil dia secepat ini sekurang-kurangnya dia dah tak menderita sakit..." Sambung Ghibran.

"Sekurangnya biar dia mati sakit. Bukan mati kena bunuh!" Puan Amelia tetap dengan tuduhannya.

"Mama dah lah tu!" Novan bersuara semula.

"Abang! Abang dengar tak semua anak lelaki abang bela budak tak guna ni?! Entah apa yang butakan mata mereka tak nampak langsung niat jahat May yang dari dulu memang tak suka kan Dahlia!"

"Lia! Doktor dah cakap kan Dahlia meninggal sebab terlalu lama tertindih bantal. Patutnya awak salahkan diri awak sebab letak bantal merata dalam babycot Dahlia."

"Abang yakin bukan May yang tekup Dahlia dengan bantal? Dia sebilik dengan Dahlia semalam!"

Tuan Omar meletakkan tangan ke dahi. "Astagfirullahalazim... Sampai macam tu sekali awak buruk sangka dengan anak awak sendiri Lia?" Jelas nadanya kecewa. Sebelum ini dia cukup terkilan dengan layanan Puan Amelia terhadap anak kandungnya, sekarang ini semakin berganda rasa terkilan itu. Dia angkat kaki meninggalkan bilik. Semakin lama dia risau dia turut sama naik suara seperti Noah tadi.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now