Bab 11

416 28 2
                                    

"May, jom lunch!" May dikejutkan oleh suara garau yang menyapa dari arah belakang. Serentak dia dan dua lagi kawannya menoleh ke arah si pemanggil.

Arissa dan Kamal yang seolah faham signal daripada Esra pergi meninggalkan keduanya tanpa kata.

"Kenapa tiba-tiba ni?" May peluk tubuh. Sebelah kening dijongketkan kepada Esra. "Oh! Awak tak perlu jawab sebab saya dah faham. Awak nak mengelak lagi dari bos kan? Lepas tu awak pergunakan saya untuk lepas diri? Lepas tu kononnya awak ajak saya lunch tapi saya yang bayar? Lepas tu..."

"Jom lah, jangan banyak tanya." Esra tarik hujung lengan baju May agar mengikuti langkahnya.

Ingatkan jauh, rupanya ke kedai makan yang bertentangan dengan hotel.

"Awak nak makan apa?" soal Esra kepada May.

Esra bawa pinggan berisi nasi putih lalu mengambil makanan sampingan yang lain satu demi satu. Bermula dari sambal ikan bilis kemudian dia cedok pula sayur campur. Esra boleh makan segala jenis hidangan sayur namun dia agak memilih bahagian protein, dia kena seimbangkan pengambilan ayam, ikan dan daging agar tidak berlebihan setiap hari. Jika tengah hari dia makan ayam, malam pula dia akan buat menu ikan ataupun daging. Kecuali makanan laut, gara-gara alergi udang dia boikot terus dari makan segala jenis seafood yang ada. Untuk tengah hari ini dia akan memilih ikan kerana dia sudah fikir hidangan ayam untuk makan malam nanti. Susah betul jadi manusia yang cerewet. Berbeza sungguh dia dengan May disebelahnya...

"Semua makanan saya makan." May ambil itu dan ini tak sampai lima saat kemudian bayar di kaunter sebelum duduk di meja makan.

Pantas dan ringkas.

Kenapa nak memilih makan? Asalkan halal dan tidak mengandungi racun rasanya rugi kalau tak merasa.

"Apa motif ajak lunch ni?" May masih tidak berpuas hati.

"Ajak makan pun nak kena ada motif ke? Yang awak pergi bayar sendiri dah kenapa? Bila saya ajak, maknanya saya dah niat nak belanja awak." Esra menggeleng-geleng. Dia kerling nasi dalam pinggan May yang sudah tinggal separuh sedangkan dia baru saja duduk dan letak pinggan atas meja. Esra terus pasang niat untuk makan secara perlahan, biar May menunggu lebih lama di situ.

"Awak nak udang tak?" May tiba-tiba pelawa lebihan udang kari yang masih bersisa empat dalam pinggannya. Patut juga masa bayar tadi, harga dia 'panas'. Salah May juga, tahu ambil dan ambil tetapi tidak tahu berapa ekor boleh telan. Sudahlah tadi bayar sendiri, tak pasal-pasal duit ungu bertukar merah.

Esra geleng. "Saya alergi udang." dia buat muka gerun. Hanya sekali dia makan binatang itu sepanjang 27 tahun dia hidup, itu pun hari keesokannya dia dimasukkan ke hospital. Seminggu juga dia menahan kuku dari menggaru kegatalan seluruh badan. Taubat dia tak sentuh udang dah selepas itu.

"Eeee, ruginya..." terkumat-kamit bibir May menyesali kerugian itu kerana kegemaran dia adalah udang. Kalau dapat makan udang hari-hari, lagi dia suka.

"Mana ada rugi. Untung lagi ada. Sebab makanan dari laut ni mahal-mahal."

"Yang awak makan sekarang, ikan tu pun dari laut. Mana ada ikan di darat." May balas selamba.

Esra mati akal lalu tidak membalas apa-apa setelah itu. Dia sambung menjamah makanannya sementara May binggung tak tahu nak buat apa. Dia menyandar sambil memerhati muka Esra. Alahai... Lembab betul si Esra ni makan, macam perempuan!

Kalau tadi dia keluar makan dengan Arissa dan Kamal, mesti tak bosan sebab dua orang tu banyak idea bila diajak berborak. Dengan Esra kekok sungguh padahal dia kenal Esra lebih lama berbanding dua orang tu.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now