Bab 37

361 33 3
                                    

"Rin buat apa?!" jerkah Puan Amelia lantang.

Tangan si anak yang bermain mancis kayu dia tepuk tanda marah. Entah dari mana anaknya itu dapat benda tersebut. Puan Amelia bergegas meletakkan mancis kayu tersebut ke rak tinggi yang tidak mungkin May boleh gapai.

Selepas itu, dia masuk ke dapur untuk memasak buat keluarganya. Meninggalkan May yang terdiam di ruang tamu.

May selongkar plastik yang diberi oleh Pakcik Wilman petang tadi. Di dalamnya ada telekung dan sejadah. May selalu nampak dalam televisyen orang islam solat. Mama kata mereka orang islam.

May hamparkan sejadah kemudian dia sarung telekung ke tubuh seperti yang dia pernah lihat dalam televisyen. May cuba ingat semula pergerakkan solat. Walaupun tidak sempurna, sekurangnya dia boleh buat pergerakkan asas terutamanya rukuk dan sujud. Esok dia akan minta Pakcik Wilman ajarkan dia bacaan dalam solat pula. Memikirkannya buat May rasa teruja.

"Kau buat apa budak sial?"

May telan air liur. Dia paling kepala ke belakang memandang papanya yang berdiri tidak rata. Bau arak menyengat hidung May. Dia nampak di tangan papanya ada sebotol arak.

"Rin solat." katanya takut-takut.

"Solat? Apa itu solat? Yang sembah Tuhan itu ke? Oh, aku lupa! Kau dengan mak kau tu agama islam." Ben tepuk dahi. Kemudian dia ketawa kuat seperti orang tak betul.

May kelu lidah. Dia tidak pernah melawan cakap papanya.

"Mama kau sendiri pun buat maksiat tak ingat Tuhan. Kau kecik lagi dah pandai solat, syabas Rin! Lain kali kau solat lah depan mama kau tu, biar dia sedar kau dengan dia dah buat dosa besar tinggal di rumah lelaki bukan suami dia. Kau pun tak ada kaitan dengan aku sebab kau tu anak luar nikah! Surat beranak kau pun tak terima aku jadi bapak kau." Ben ketawa lagi.

"Papa yang kurung kami." buat pertama kalinya May rasa mahu melawan.

"Kurung? Kau ingat kau burung yang bernilai sampai aku nak kurung? Kau tu cuma sampah busuk yang aku simpan dalam rumah ni, terlalu busuk sampai aku tak nak orang luar kata rumah aku ni bau! Jadi aku biarkan lah kau semakin membusuk dalam rumah ini."

May diam setelah itu.

"Kau buka benda tu, dah macam hantu aku tengok!" arahnya keras.

"Tak nak! Rin suka pakai telekung!" bentak kanak-kanak 8 tahun itu.

"Kau berani lawan aku?!" mata Ben berubah garang. Botol arak dia baling tepat mengenai kepala si anak sehingga anak itu meronta kesakitan. Darah membuak keluar membasahi telekung putih yang di pakai oleh May.

Tanpa simpati Ben menarik kasar telekung berdarah tersebut lalu di baling ke tepi. Kemudian dia heret tubuh May menggunakan sebelah tangan sebelum dia tolak May jatuh ke lantai.

"Papa, Rin sakit..." May pegang kepala, rambut kusutnya kini dibasahi darah merah.

"Alah itu baru sikit. Kau dah biasa makan besi kayu, kau tak sakit pun." penuh angkuh nada itu berkata demikian.

"Rin nak mama!" jerit May kuat.

"Mama kau tak dengar, dia jauh di dapur. Kau duduk diam situ. Balasan kau melawan aku." arahnya.

Halaman rumah yang gelap gelita itu amat menakutkan May. Dia peluk erat betis papanya agar dirinya tidak ditinggalkan di situ.

"Rin takut."

Bukannya ditolak cara baik, malah ditendangnya May sehingga tubuh kecil itu terpelanting jauh. Pintu dihempas kuat lalu di kunci.

May menangis sekuat mungkin. Tangan dia mengetuk pintu secara bertalu, sayangnya tiada siapa yang membuka dari dalam.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now