Bab 27

331 32 2
                                    

Sedang berjalan menuju ke parkir, May dikejutkan oleh suara teriakkan dari arah sebelah kanannya. Suara perempuan yang merayu sakit. Berdekatan dinding luar hotel, ada seorang lelaki dewasa sedang memarahi anak kecil. Mungkin mereka adalah ayah dan anak. Si ibu yang cuba menenangkan suaminya dari membentak anak kecil itu seakan tidak terdaya hendak memujuk suaminya lagi. Si anak menjerit menangis juga sudah tidak terpujuk. Di lengan wanita itu seperti ada kesan kemerahan akibat digenggam kasar.

May tidak tahu lah apa karma dalam hidupnya sehingga kejadian seperti ini sering kali berlaku dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini. Ini masuk kali ketiga, setiap kali itu juga nyaring suara yang membentak itu sungguh menyakitkan kepalanya. Mata rasa berpinar seketika.

"Kenapa marah sangat ni?" May cuba masuk campur.

Terbantut niatnya yang hendak menuju ke arah ruangan parkir. Hari ini dia datang dengan kereta yang ayah suruh gunakan hari itu, jadi dia tak perlu risaukan Esra yang sebelum ini selalu menunggunya di parkir. Pasti Esra pun dah balik memandangkan sekarang sudah jam 6 petang.

Lelaki dewasa yang berbadan agak besar itu melepaskan dengusan. Dia marah bila May datang mendekati keluarganya.

"Tak ada apa dik... Anak saya ni buat hal sikit. Itu yang ayahnya marah sampai dia menangis." sahut perempuan itu sambil memeluk tubuh anak lelakinya. Ayat yang May dengar seakan menghalau dia pergi, May tidak usah menyibuk hal keluarganya.

"Macam mana boleh tak ada? Suara menangis anak puan boleh dengar dari jauh. Nak marah anak pun biarlah berpada."

"Apa sibuk sangat ni? Pergi aje lah!" lelaki itu membentak May.

May tersentak dan rasa takut mendengar nadanya namun dia pandai kawal ekspresi wajah. May pandang ketiganya bersilih ganti.

"Awak dah takutkan anak awak. Ingat awak besar dari dia, awak boleh sakitkan dia?" ayat May masih berlembut. Hendak saja dia guna aku kau, tapi rasa tak baik pula. Sudah lah tidak kenal antara satu sama lain.

"Dia degil. Aku marah dia sebab dia anak aku. Kau jangan sibuk!" berangnya.

"Sebab awak ayah awak ingat boleh herdik dia macam tu? Dia kecil lagi, dia menangis sebab dia sedih dapat ayah suka marah macam awak."

"Eh, perempuan..." lelaki itu angkat jari telunjuknya ke hadapan muka May. Geram mungkin. Seketika kemudian dia turunkan kembali tangannya.

"Inilah lelaki, rasa dia berkuasa nak marah sesiapa." nada May lebih kepada berkata untuk dirinya sendiri. Cukup perlahan.

Tak tahu pula telinga lelaki itu sungguh peka sehingga matanya menikam tajam ke arah May.

"Aku marah dia. Aku pukul dia. Kau siapa nak halang?"

"Awak pukul anak awak?" soal May pada wajah bengis lelaki itu.

May pandang wajah si ibu pula, wanita itu seperti mengiyakan.

Senyuman serta-merta terukir di bibir May. "Sebab awak tu suami dayus. Bapa tak guna. Jadi lelaki pun memalukan kaum. Boleh pula ya rasa bangga mengaku sikap buruk sendiri." cukup sinis dia memerli.

"Sebab wujud perempuan macam kau dan kau ni lah lelaki macam aku ni selalu naik baran." dia tunding ke arah May dan isterinya sendiri.

May tiba-tiba teringat. Dulu ketika papanya memarahi dia, bukan setakat dia saja yang kena malah dengan mama sekali papa marah walaupun papa tidak pernah angkat tangan pukul mama, namun setiap ayat dalam kemarahan papa cukup pedih. Papa salahkan mama kerana dia perempuan, begitu juga May.

Macam mana ya rupa sebenar seorang perempuan pada mata kasar lelaki yang bersikap begini? Kenapa benci sangat pada perempuan padahal Tuhan telah menciptakan jantina hanya ada dua, keduanya saling melengkapi. Tak semua lelaki seperti itu, tapi May ingin sekali mahu tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki seperti lelaki dihadapannya kini.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now