Bab 25

348 28 1
                                    

May yang melihat kelibat Mak Ina yang sedang lenggok ke kiri dan kanan sambil menyanyikan lagu entah apa, datang memeluk tubuh tua itu dari belakang. Pelukan mesra bagi May namun rimas bagi Mak Ina. Dengan pakaiannya yang berbau sambal, boleh pula May selamba datang memeluknya. Apa kena agaknya dengan anak dara majikannya itu pagi ni?

"Mak Ina masak apa?" hidungnya dari jauh lagi sudah mencium bau sambal nasi lemak, tapi tetap juga mahu bertanya. Malah mata sendiri pun nampak Mak Ina sedang mengacau sambal dalam kuali.

"May nak sarapan dah ke? Belum masak lagi sambal ni. Baru pukul 6 pagi. Awalnya May bangun. Kerja ke hari ini?" dalam bertanya, juga kedengaran seperti Mak Ina sedang mengomel kepada May.

"Baru selesai solat subuh. Lepas tu dah tak boleh nak sambung tidur. Hari ni May cuti." kata May sambil mencapai beberapa uncang teh Lipton dan bekas gula untuk buat air. Teko yang besar juga di bawa ke atas table top. Apa? Ingat orang kaya minum jus oren saja ke di pagi hari? Dengan kesihatan ayahnya sejak akhir-akhir ini dan Qadr juga sering batuk, memang solusinya dua beranak itu kena perbanyakkan minum air teh panas. Biar segar sikit kerongkong mereka berdua itu.

Usai membuat air teh tersebut, May jadi termangu sendiri sambil mendengar Mak Ina sambung menyanyikan lagu yang May tidak tahu tajuknya apa.

"Alang-alang May duduk situ tak buat apa, tolong Mak Ina potong timun boleh?" arah Mak Ina dalam senyuman. Dia masih sedar bahawa gadis itu merupakan anak majikannya. Tapi kalau lihat dari cara May melayannya, Mak Ina akui lebih selesa dengan gadis itu berbanding abang-abangnya.

"Timun ni?" May angkat timun yang sedia ada di atas papan pemotong.

"Ya. Potong nipis sikit tau, nanti akan jadi banyak. Semua orang boleh makan. Lepas tu masukkan jugak dalam bekas atas meja tu buat bekal Qadr ke sekolah."

"Okay, Mak Ina." May akur dan lakukan seperti arahan Mak Ina.

"Lagi? May nak kena buat apa?" punyalah dia teruja nak membantu.

"Masukkan bilis dengan kacang tu dalam mangkuk asing. Kemudian May datang sini tolong Mak Ina gorengkan ayam ni buat bekal Qadr. Dia suka nasi lemak ayam goreng."

"Manja sangat budak tu..." bebel May tapi dia tetap buat juga.

Ayam yang dibaluti tepung dimasukkan kedalam minyak panas yang menggelegak. Sambil itu, May berborak santai bersama Mak Ina di sebelahnya sehinggalah Puan Amelia turut menyertai mereka di dapur.

"Lama Mak Ina tak buat nasi lemak. Rindu pula nak makan. Sedapnya ada bauan dari daun pandan..." Puan Amelia puji aroma bau nasi santan yang Mak Ina sudah cedok ke dalam mangkuk besar di atas kitchen island.

"Mak Ina pandai buat Mi Laksa Sarawak tak? May teringin nak rasa. Hari tu nampak dalam FB, orang kata sedap." May ujarkan keinginannya kepada Mak Ina.

"Kalau Laksa Penang pernah lah juga Mak Ina buat. Tapi rasanya mama May tu boleh buat Mi Laksa Sarawak." orang usulkan kepada dia, boleh pula dia usulkan kepada orang lain.

May cebik. Memang tidak lah dia nak suruh mama buatkan. Simpang malaikat 44 andai mamanya baik hati turutkan keinginannya. Tak pun petanda bahawa mama ada dua kali jumaat saja lagi.

Puan Amelia juga cebik bibir. Memang dia pernah buat sebelum ini. Tapi kalau buatkan untuk May memang tak mungkin lah!

"May. Dah dapat lesen belum?" soal Tuan Omar ketika mereka tiga anak beranak sedang menjamah sarapan pagi bersama.

Qadr pula sudah lama bergerak ke sekolah, dihantar oleh Pak Ayub. Semenjak tertangkap oleh mamanya bawa motor ke sekolah, si mama terus sita kunci motor dari Qadr. Entah di mana dia sembunyikan kunci tersebut sehingga Tuan Omar sendiri tak boleh nak tolong anak bongsunya.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now