BAB 3

770 40 0
                                    

BUBUR cendawan dihidangkan di atas meja makan. Mia Sara melabuhkan punggung di sebelah Puan Robetah. Dia mencedokkan dua senduk kecil bubur cendawan ke dalam mangkuk kaca ibu dan ayahnya.

"Lambat Sara balik hari ni." Puan Robetah menuangkan air oren ke dalam gelas suaminya. Ditolak gelas kaca itu ke arah suaminya

"Haah, ibu. Sara siapkan kerja di pejabat tu. Kesian tengok Farhan. Tak sampai hati la nak biarkan dia siapkan dokumen seorang diri. Itu yang Sara bantu dia tu," jawab Mia Sara. Dia tahu Puan Robetah dan Encik Manaf bimbang sekiranya dia pulang lewat ke rumah. Yalah, dia tu kan anak dara. Tak manislah balik lambat-lambat.

Puan Robetah mencuit suaminya. Dia memberikan isyarat mata kepada Encik Manaff supaya membuka perbincangan mereka. Sebenarnya dia nak berbincang sesuatu berkaitan hidup dan mati puterinya. Tapi dia tidak yakin Mia Sara boleh setenang ini selepas tahu isi perbincangan mereka. Dia yakin gadis itu akan mengamuk persis singa jadian.

"Sara..." Panggil Encik Manaff.

"Ya, ayah." Sahut Mia Sara. Satu suap, dua suap. Dia sungguh menikmati bubur cendawan itu. Rasanya sebiji seperti rasa bubur cendawan di Pizza Hut. Brand Rezza memang tidak mengecewakan.

"Kalau ayah cakap ni jangan marah dulu. Ayah cakap pun sebab dah lama ayah dengan ibu perhatikan hubungan Sara dengan Far..."

"Kenapa dengan hubungan kami?" Belum sempat Encik Manaff menghabiskan ayat, Mia Sara terlebih dahulu mencelah. Dadanya berdebar-debar. Takkanlah ada sesuatu berlaku?

Puan Robetah memberikan isyarat mata kepada suaminya untuk jujur tetapi tidak la sampai menggores hati anak.

"Ayah rasa Farhan tu macam kurang sesuai la untuk Sara. Ayah baru perasan benda ni." Sekali nafas Encik Manaff mengeluarkan kata-kata yang sudah disimpan lama.

Dahi Mia Sara berkerut. "Kenapa ayah cakap macam ni? Selama ni bukan ke ayah dan ibu suka aja dekat dia. Apa yang dia dah buat sampai ayah ibu tak boleh nak terima dia?"

"Sabar dulu sayang. Dengar cakap ayah baik-baik. Jangan terus membentak macam ni. Tak baik." Tegur Puan Robetah.

"Bentak? Sara tak bentak. Sara cuma nak kepastian. Itu sahaja. Apa salah Farhan pada ibu dan ayah sampai ayah cakap Farhan kurang sesuai untuk Sara?"

Encik Manaff menarik nafas panjang-panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. "Sara kira sendirilah berapa lama dah Sara kenal dia dan dalam tempoh tu ada tak dia datang melamar kamu? Tak ada, kan?"

"Jadi itu aja isunya? Kalau itu sahaja cakap dari tadi, kan boleh." Mia Sara mendengus kasar.

"Waktu kemas luar tadi ibu terima surat tawaran. Ibu rasa kalau Sara tak nak kahwin dengan lelaki lain, Sara boleh ke sana. Bina hidup baharu." Puan Robetah mencelah. Tangannya menolak sampul surat berwarna coklat itu dihadapan anaknya.

Dahi Mia Sara berkerut. Sampul surat itu dipegang kemas. Isi di dalamnya dibelek-belek. Surat tawaran kerja di UK. Dia pandang muka ibu dan ayahnya silih berganti.

"Ibu dan ayah rasa itu sesuai kalau Sara tak nak kahwin dengan lelaki lain. Dulu Sara selalu cakap dengan kami yang Sara nak kerja di luar negara. Sekarang ni impian Sara Allah dah makbulkan," ujar Puan Robetah.

Kalau Mia Sara lebih memilih untuk bekerja di luar negara dia izinkan. Lagipun, tawaran yang anaknya dapat bukan kerja biasa-biasa. Mia Sara memegang jawatan pembantu peribadi di sebuah syarikat terkemuka di UK. Bodoh sangat la kalau anaknya itu nak menolak.

"Tapi kalau Sara rasa tawaran kerja tu menyusahkan. Sara dah tak ada hati nak bina hidup baru di negara orang. Ayah nak Sara kahwin dengan anak kawan baik ayah. Ikhmal... Sara kenal, kan? Dia kawan sepermainan Sara waktu kecil dulu. Ikhmal sekarang pun kerja bagus. Arkitek." Tambah Encik Manaff.

Sara menolak surat itu ke tepi. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. Dia dah besar tapi ibu dan ayahnya memperlakukan dia persis budak kecil.

"Sara bukan budak kecil. Ibu dan ayah jangan atur hidup Sara macam ni." Keras suara Mia Sara melontarkan kata-kata.

"Kami cuma nak yang terbaik buat Sara. Ayah dah tak tahan nak tengok anak dara ayah diusung ke sana ke sini tanpa ikatan yang sah. Mulut orang kita tak boleh tutup la Sara." Encik Manaff merengus kasar di hujung ayatnya.

"I got it. Point ayah sebenarnya nak Sara kahwin secepat yang mungkin, kan? Kalau Sara tak nak kahwin awal... ayah dan ibu suruh Sara terima aja tawaran kerja ni, kan? Baik... bagi Sara lima hari. Sara akan suruh Farhan kahwin dengan Sara. Muktamad!" Usai berkata sedemikian, Mia Sara mengayun langkah ke bilik tidurnya. Hilang selera nak makan.

"Degil betul la budak tu, bang." Puan Robetah mengeluh.

"Itu la abang pun tak tahu dia ikut perangai siapa. Kita ni cuma nakkan yang terbaik aja untuk dia." Balas Encik Manaff. Tangannya kemas memegang sudu. Bubur cendawan disuakan ke dalam mulut.

"Si Farhan tu memang baik orangnya tapi nak buat macam mana. Dia ikat Sara tanpa ikatan yang sah ni lama sangat. Budak-budak tu dah besar. Sampai bila nak bercinta. Saya ni nak tengok Sara tu naik pelamin sebelum saya ni tutup mata. Tapi Si Sara ni tak faham apa yang kita cuba nak buat untuk dia." Kata Puan Robetah berjela-jela.

"Tak apalah sayang. Kita tengok dalam masa lima hari yang dia minta ini macam mana. Kalau Farhan nak nikahi dia syukurlah. Kalau nak bertunang dulu pun okey juga. Tapi kalau sama sahaja jalan ceritanya. Terpaksa la dia pilih pilihan kita antara dua tu."

Puan Robetah merenung sisi muka suaminya. Dia tahu Encik Manaff sepemikiran dengan dirinya. Nafas lega dihembuskan.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now