BAB 15

403 37 7
                                    

SATU jag air anggur dihidangkan ke atas meja. Marina melirik ke arah keluarga Farhan Ruzaini. Kehadiran Tuan Hakim dan Farhana, kakak kepada Farhan Ruzaini sedikit sebanyak membuatkan jantungnya berdebar.

Selepas kejadian dia dihina dan diludah oleh Farhan Ruzaini dua minggu yang lalu. Dia nekad untuk berhenti kerja dan pulang ke kampungnya. Tapi kemunculan lelaki itu membuatkan dia berasa pelik.

"Mana Tuan Hakim dapat alamat rumah saya ni?" Tanya Marina, ingin tahu. Tangannya bergerak menuangkan air anggur ke dalam gelas Tuan Hakim anak beranak.

"Dekat profil kerja kamu la. Saya suruh anak saya cari. Yalah... kamu main resign macam tu aja. Pelik juga saya. Kita ni kalau boleh nak selesaikan masalah ni baik-baik antara keluarga," jawab Tuan Hakim bersahaja.

Marina pandang Farhan Ruzaini yang sedang duduk bersantai di sebelah Tuan Hakim. Lelaki itu mempamerkan mimik muka jengkel. Macam kau seorang ajalah yang boleh pamerkan mimik muka macam tu. Aku pun boleh la, gerutunya dalam hati.

"Masalah apa ni, ya? Saya tak diberitahu pula ada masalah. Marina berhenti kerja sebab nak balik ke kampung katanya." Puan Raudhah mencelah bersama kerutan di dahi.

Memang kepulangan mendadak Marina membuatkan dia terkejut. Dia cuba nak bertanya lebih lanjut tapi anak daranya cuma cakap nak cuba angin di kampung. Angin di Kuala Lumpur tidak mengikut kata hatinya.

"Sebelum saya mulakan elok la kalau semua ada. Saya difahamkan Marina ni ada dua orang adik, kan?" Tuan Hakim mengajukan soalan di akhir ayatnya. Dia pelik juga. Dia cuma nampak Mustaqim, iaitu abang kepada Marina. Ke manakah adik-adik Marina pergi?

"Adik-adik kita orang duduk dengan ayah. Cuma saya dengan Marina duduk sekali dengan emak. Cuti sekolah nanti dia orang balik la." Beritahu Mustaqim.

"Dia orang ke mana?" Tanya Tuan Hakim lagi.

"Adik-adik kita orang duduk asrama. Seorang tu umur dia 17 tahun. Seorang lagi 16 tahun. Sejak ayah dengan emak kita orang cerai, adik-adik lebih pilih duduk dengan ayah. Cuma setiap bulan saya tak pun Marina akan tolong ayah la cover duit belajar adik-adik," jawab Mustaqim sejelas yang mungkin.

"Soalan ni mungkin agak sensitif tapi sebagai sesi suai kenal antara keluarga. Saya rasa patut untuk tanya soalan ni sebenarnya. Kenapa puan bercerai dengan suami? Tak kesian dekat anak?" Tunak mata Tuan Hakim menikam ke dalam mata Puan Raudhah.

Puan Raudhah tersentap. Marina saling berpandangan dengan Mustaqim. Mereka sendiri tidak menyangka mulut Tuan Hakim selancang itu. Boleh pula tanya soalan privasi sesuka hati. Marina nampak mimik muka ibunya berubah mendadak.

"Tak ada jodoh. Kita balik semula dekat topik tadi tuan. Menyimpang jauh sangat dah ni. Anak saya balik ke Kelantan sebab dah berhenti kerja. Dia nak cuba angin kampung pula. Itu sahaja yang saya tahu." Cepat-cepat Puan Raudhah menukar topik perbualan.

Tuan Hakim memandang Marina yang sedang duduk bersimpuh di hujung meja kopi. Dia tersenyum kelat. Pandai betul Marina sembunyikan helahnya.

"Marina tak beritahu apa yang berlaku masa malam keramaian tu ke dekat ibu dan abang kamu?" Tanya Tuan Hakim tepat kepada Marina.

Marina terdiam seribu bahasa. Dia pandang muka ibu dan abangnya silih berganti. Kemudian dia memandang pula muka Tuan Hakim, Farhan Ruzaini dan Farhana. Marina perasan kakak kepada Farhan Ruzaini diam semenjak tadi. Mesti orangnya sejenis tidak suka cakap banyak.

"Belum, tuan," jawab Marina.

"Kejadian apa tu, ye?" Puan Raudhah ingin tahu. Kalau berkaitan hidup mati anak-anaknya dia berhak tahu. Dia tidak dapat menyangkal firasat buruk dalam jiwanya.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now