BAB 10

470 31 4
                                    

TALI leher kupu-kupu dibetulkan. Farhan Ruzaini meneliti penampilannya di kaca cermin. Dia mengulum senyuman. Handsome juga aku ni. Untung Mia dapat aku. Bisik hati kecilnya, memuji diri sendiri.

Puas hati dengan gayanya. Dia melangkah keluar dari kamar peraduannya. Matanya meliar mencari seseorang. Kaki diatur ke ruang tamu. Nafas lega dihembus. Dia fikir Tuan Hakim hilang entah ke mana. Rupa-rupanya lelaki tua itu dah siap lebih awal daripada dia.

"Lambat kamu siap. Mengalahkan anak dara." Sindir Tuan Hakim. Tunggu Farhan Ruzaini siap pun dah nak dekat satu jam setengah. Bukan main lama lagi bersiap.

"Ala... papa kenalah faham. Anak papa ni CEO syarikat. Kenalah jaga penampilan. Lagi-lagi Far baru bertunang dengan Mia minggu lepas. Kenalah jaga imej. Nanti Mia malu kalau tengok tunang dia tak bergaya." Juih Farhan Ruzaini.

"Yalah, yalah. Cepatlah." Tuan Hakim menelek jam tangannya. Pukul sembilan malam majlis keramaian akan bermula. Mereka ada lagi satu jam untuk bersiap sedia.

Ketika nama Mia Sara dipetik oleh anaknya. Dia buat-buat tidak dengar. Ahli keluarga Mia Sara seolah-olah memperkotak-katikkan maruah mereka dua beranak pun dia tidak memberitahu Farhan Ruzaini. Gusar jadi gaduh dan merosakkan kebahagiaan lelaki itu. Tuan Hakim membisukan diri walaupun dia tahu keluarga perempuan itu sangat toksik.

Enjin Honda CR-Z dihidupkan. Farhan Ruzaini melangkah masuk ke dalam perut kereta. Tali pinggang keledar dipasang. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan lalu memandang cermin pandang belakang. Keretanya diundurkan. Honda CR-Z biru miliknya melunjur laju membelah jalan raya meninggalkan perkarangan rumah agam yang didiaminya.

MAJLIS keramaian itu diadakan di Corncode Hotel Kuala Lumpur. Begitu ramai tetamu yang hadir. Semuanya terdiri daripada kalangan pekerja-pekerja di FF YeeMie. Masing-masing membawa pasangan. Hanya beberapa orang sahaja yang datang seorang diri. Termasuklah Marina.

Sebut nama Marina. Langkah Farhan Ruzaini berhenti betul-betul di hadapan perempuan gemuk itu. Dia menjamah tubuh Marina daripada atas ke bawah. Bibirnya tersungging. Satu senyuman sinis terlakar di bibirnya.

"First time I nampak orang datang majlis grand macam ni pakai macam pengemis. You tak ada baju lagi buruk ke macam mana? Baju kurung plain hitam. Tudung bawal hitam. Nak pergi berkabung ke apa?" Sindir Farhan Ruzaini. Entah apa silap Marina. Datang-datang dia dah kena hambur dengan bos besar.

Halimah yang ketika itu sedang menyusun cawan untuk para tetamu yang hadir mematikan tindakannya. Dia menoleh menghadap majikannya. Dia sendiri terkejut apabila Farhan Ruzaini menyindir sahabatnya begitu. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba sahaja.

"Sekurang-kurangnya saya tutup aurat encik. Buruk macam mana sekalipun pakaian saya. Asalkan cantik di mata Allah." Balas Marina bersahaja.

Air muka Farhan Ruzaini berubah. "Oh, you nak main nama Tuhan depan I? You tu baik sangat ke Marina?"

"Alhamdulillah. Buat masa ni saya tak ada lagi buat benda-benda haram. Selagi saya ikut perintah Allah. Selagi tu Allah akan lindungi saya," jawab Marina.

"You jangan cakap lebih sangat la. Jangan sampai nanti Allah tu pesongkan hati you. Baru you tahu rasa. Eh, sudahlah. Jangan ganggu majlis I."

"Saya tak ganggu pun. Encik Farhan yang datang sini lepas tu tegur saya. Salah saya?" Marina meninggalkan tanda tanya kepada lelaki itu.

Semakin panas hati Farhan Ruzaini dibuatnya. Tidak betah berdiri lama-lama di hadapan Marina, Farhan Ruzaini angkat kaki. Dia bergerak ke meja makan kaca. Tangan dihulurkan kepada Encik Manaff.

"Mia tak dapat datang. Dia kena kuarantin start pagi tadi. Positif COVID-19." Beritahu Encik Manaff. Dia sendiri terkejut anak gadisnya dijangkiti virus itu. Patutnya malam ini merupakan malam paling bahagia untuk bakal pengantin itu.

"Kenapa Mia tak beritahu saya?" Kecewa. Itu yang Farhan Ruzaini rasakan ketika majlis keramaian itu tidak dihadiri oleh Mia Sara, tunang kesayangannya.

"Dia penat sangat. Terkejut pun ya sebab kena COVID-19. Dia nak rehat aja tu. Insya-Allah nanti okay la tu. Dia tak beritahu kamu sebab dia tak main telefon la tu dalam bilik. Dia tidur ke apa." Puan Robetah mencelah sekali gus membuat andaian sendiri.

"Macam mana dia boleh kena COVID-19 mak cik?" Tanya Farhan Ruzaini kepada bakal ibu mentuanya.

"Entahlah. Dia ke mana dengan kawan dia itu hari. Lepas tu demam. Tiga hari demam tak kebah. Itu yang buat check. Sekali positif."

"Majlis ni macam tak ada motif kalau Mia tak ada. Far baru nak announce hubungan kami dan pertunangan kami dekat semua orang. Tapi Mia tak ada." Keluh Farhan Ruzaini.

"Walaupun Mia tak ada, majlis tetap kena jalan." Kata Tuan Hakim yang tiba-tiba muncul di belakang Farhan Ruzaini sambil membawa segelas air oren. Dia mendengar keluhan anak terunanya itu.

Lambat-lambat Farhan Ruzaini mengangguk. Sepasang matanya meliar ke sudut hujung. Kelihatan pelayan berbangsa India itu sedang menyediakan lapan botol Carlsberg untuk para tetamu bukan Muslim.

"Sekejap lagi Sir Pentakai datang dengan staff dia. Make sure bagi layanan yang cukup baik untuk dia. Ingat, FF YeeMie naik disebabkan pasaran dia. Kita kena jaga dia baik-baik. Papa tak nak timbul apa-apa isu antara kita dan dia. Susah syarikat kita nanti." Kata Tuan Hakim kepada anak lelakinya.

"Baik, pa." Farhan Ruzaini akur walaupun hati tidak rela. Semangatnya hilang kerana tiadanya Mia Sara di sisinya.

MAJLIS keramaian berlangsung dengan begitu meriah. Para tetamu menikmati malam indah itu sepuas-puasnya manakala lelaki separuh abad berasal dari Hat Yai, Thailand itu seronok meneguk bergelas-gelas arak bersama para pekerjanya.

Marina kurang senang dengan kewujudan persembahan tarian tidak cukup kain. Tarian itu dipersembahkan khas untuk Sir Pentakai. Tapi dia yang sakit mata melihatnya.

"Malam ni semua orang tidur hotel. Kau jangan lupa nombor bilik kau." Bisik Halimah di tepi telinga Marina.

"Aku rasa nak balik la." Kata Marina.

"Eh, kau jangan mengada-ada. Encik Farhan dah tempah bilik dah untuk kita semua. Kau dengan aku. Jangan mengada nak balik, ek!"

Marina mengeluh. Nasib badan. "Kau tolong ambilkan air untuk aku boleh? Sebelah air oren tu air sarsi rasanya. Ambilkan boleh?"

"Boleh, boleh." Tanpa melengahkan masa Halimah bergerak mencapai segelas air sarsi untuk rakannya. Gelas kaca itu dihulurkan kepada Marina.

Marina meneguk rakus air itu. Kemudian, dahinya berkerut. Ini bukan air sarsi. Rasanya sangat pelik. Pahit dan berbau agak masam. Dia pandang Halimah.

"Air apa kau bagi aku minum ni?" Tanya Marina. Seluruh tubuhnya terasa panas semacam. Tak selesa... dia rasa nak mandi sekarang juga.

"Air sarsi la," jawab Halimah.

"Aku nak tidur. Aku nak masuk bilik," ujar Marina ketika merasakan kepalanya pusing. Panggilan daripada Halimah tidak dihiraukan. Matanya bergelintar mencari pintu lif.

Setibanya di tingkat dua. Marina berjalan terhuyung-hayang ke bilik tidurnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan dirinya. Kenapa dengan tubuhnya. Halimah sabotaj dia ke macam mana?

"Ah, situ." Marina menggumam kecil ketika sepasang matanya melihat satu bilik yang terbuka luas tidak berkunci. Fikirannya seolah-olah kosong.

Kaki diayun ke bilik itu. Patutlah pintu ternganga luas. Tengah ozon bilik rupanya. Tanpa melengahkan masa. Marina melangkah masuk ke dalam bilik itu. Mesin ozon yang berada di tengah-tengah pintu ditolak ke tepi.

Tubuh dihempas ke atas katil. Matanya memberat. Seminit... dua minit... tiga minit... pandangannya kabur. Semuanya berubah menjadi gelap.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now