BAB 27

598 43 6
                                    

"ASSALAMUALAIKUM, Farhana. Farhana sihat? Papa rindu dengar suara anak perempuan papa ni. Itu hari pun Hana balik kejap aja. Lepas adik nikah. Cepat-cepat nak balik." Lembut suara Tuan Hakim menyapa anak gadisnya di corong telefon.

Farhana berdeham. Dia mengerling sahabatnya yang sedang tidur nyenyak di sebelah. Satu keluhan berat dilepaskan. Papa ni pun buang tebiat. Malam-malam buta waktu orang tidur baru sibuk-sibuk nak telefon. Seketika kemudian dia menepuk dahi. Sini yang malam. Sana siang! Getus hati kecilnya.

"Waalaikumsalam papa. Alhamdulillah... Hana sihat. Papa sihat?" Tanya Farhana pula.

"Papa sihat. Tiba-tiba papa teringatkan Hana. Itu yang papa telefon ni. Papa telefon adik bukannya adik nak jawab. Yalah, dah kahwin. Manalah nak ingat papa lagi."

"Papa jangan la cakap macam tu. Mungkin adik sibuk agaknya. Nak kena uruskan syarikat. Nak kena uruskan isteri lagi. Bukan saja-saja Farhan abaikan papa." Kata Farhana membela adiknya.

Tuan Hakim melorekkan senyuman nipis. Dia bangga mempunyai anak perempuan sekuat Farhana. Gadis itu mempunyai rasa tanggungjawab yang amat tinggi. Farhana juga amat melindungi adiknya. Tengoklah. Dia mengadu domba tentang Farhan Ruzaini pun beria-ia anak gadisnya membela si adik.

"Cepat-cepatlah Hana habiskan apa yang patut lepas tu balik semula ke Malaysia. Uruskan FF YeeMie sama-sama dengan Farhan. Papa bukan tak percayakan dia cuma papa nak anak-anak papa ambil alih perniagaan syarikat kita tu," ujar Tuan Hakim.

"Farhan dah uruskan biarkan la dia uruskan, pa. Hana tak nak campur tangan. Nanti Far ingat Hana nak ambil alih tempat dia pulak."

"Tak adanya macam tu. Kamu kakak. Dia adik. Nak tak nak papa kena tolak ke anak sulung dulu. Balik aja Hana ke sini. Hana akan ambil alih jawatan DC. Adik pula akan sandang jawatan ADC. Itu keputusan muktamad papa," jawab Tuan Hakim.

Membulat mata Farhana. "Di... director company, pa? Are you serious?"

"Papa tak pernah nak main-main dengan keputusan yang papa buat. Keputusan papa muktamad. Okey la... papa nak sambung tengok ulangan Gusti ni. Kalau Hana perlukan apa-apa. Telefon la papa."

"Baik, pa."

"Assalamualaikum." Pamit Tuan Hakim.

"Waalaikumussalam," jawab Farhana lalu mematikan panggilan. Dia duduk bersandar di dada katil. Fikirannya menerawang jauh memikirkan keputusan mendadak yang dibuat oleh Tuan Hakim sebentar tadi. Pengarah syarikat? Masak la dia kali ni!

PAKAIAN kotor milik Farhan Ruzaini dicampak masuk ke dalam mesin basuh. Tiga helai baju kemeja berwarna putih itu diasingkan. Risau kalau bercampur warna nanti akan merosakkan baju kemeja lelaki itu.

Ding dong!

Terhincut bahu Marina ketika loceng rumah berbunyi berkali-kali. Suis mesin basuh dihidupkan. Bergegas dia ayun langkah ke ruang tamu. Pintu dibuka. Matanya membulat besar melihat kehadiran abang dan ibunya secara tiba-tiba.

"Mar... buka la pagar ni. Abang dengan emak datang nak jenguk kau, dik." Laung Mustaqim. Boleh pula Marina berdiri tegak bak tiang bendera Malaysia di muka pintu. Geram pula dia melihatnya.

"Haaa... kejap-kejap." Cepat-cepat Marina membukakan pagar untuk Puan Raudhah dan Mustaqim. Laju dia hulurkan tangan kanan untuk bersalaman dengan ibu dan abangnya.

Mustaqim meneliti setiap sudut rumah yang didiami oleh Marina. Dia tersenyum sendiri. Boleh tahan. Walaupun bukan banglo tiga tingkat tapi keadaan rumah sangat cantik dan teratur. Pandai Farhan sediakan rumah untuk adik aku, bisik hati kecilnya.

"Mar sihat?" Tanya Puan Raudhah. Dia perasan badan anak perempuannya agak susut. Apakah faktor dah lama dia tidak bersua muka dengan Marina? Entah la... dia sendiri tidak pasti.

"Alhamdulillah. Sihat. Emak sihat?"

"Emak sihat. Badan Mar ni macam susut emak tengok. Mar kena dera ke sepanjang ketiadaan kami?" Tebak Puan Raudhah.

Marina terkedu. Lama dia membisu sebelum dia memilih untuk menipu demi menjaga aib suaminya. "Eh, mana ada. Mar diet kadang-kadang. Abang cakap tak elok gemuk sangat. Tak baik untuk kesihatan."

Puan Raudhah dan Mustaqim saling berpandangan. Mereka sama-sama senyum. Puan Raudhah memanjatkan rasa syukur dalam hatinya. Baguslah kalau anak perempuannya dah menemui cinta sejati. Tinggal anak lelaki sulungnya sahaja yang perlu dicarikan jodoh.

"Itulah emak. Mus dah cakap dah adik tak ada apa-apa. Dia bahagia dengan Farhan. Emak aja yang melebih-leb... Ah!" Mustaqim tidak berjaya menghabiskan kata-katanya ketika perutnya dicubit lalu dipulas oleh Puan Raudhah.

Marina cuma menjadi pemerhati. Jauh di sudut hati dia lega kerana ibu dan abangnya datang. Sekurang-kurangnya Farhan Ruzaini tidak berani nak mengapa-apakan dia jika ada Puan Raudhah dan Mustaqim. Peristiwa dia dipaksa meneguk air kencing syaitan minggu lalu pun masih segar dalam ingatannya. Jujur dia terluka. Amat terluka.

"Emak dengan abang langkah kanan hari ni. Kebetulan Mar ada masak asam pedas ikan parang. Jom la, emak, abang kita masuk. Mar hidangkan untuk emak dengan abang." Pelawa Marina. Beg pakaian milik Puan Raudhah disandang ke bahu.

"Fuh! Mantap la kau ni dik. Macam tahu-tahu abang tengah lapar. Apa lagi emak tunggu? Jom la masuk emak." Mustaqim menarik lengan Puan Raudhah. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.

"Bukan luar rumah aja cantik. Dalam rumah pun dekorasi dia elegan. Untung la kau dik. Kahwin dengan orang kaya. Duduk rumah pun rumah mahal. Penuh pendingin hawa sana-sini. Tak macam rumah pusaka dekat kampung tu. Manalah kau nak pandang lagi." Juih Mustaqim. Kan, seronok kalau dia dengan Puan Raudhah pun dapat tinggal sekali dekat rumah ni. Cantik pun cantik.

Marina tersentap dengan ayat itu. Dia cuba melorekkan senyuman. Menganggap abangnya cuma bergurau. Dia pandang Puan Raudhah.

"Jom la kita ke dapur." Ajaknya.

"Laki kau mana Mar?" Tanya Mustaqim lagi.

"Kerja. Pukul lima nanti abang balik," jawab Marina. Dia menuntun langkah Puan Raudhah ke dapur.

"Oh, yalah. Maaf la kita orang datang tak beritahu. Alamat rumah ni pun emak yang minta dekat bapa mentua kau. Sebelum datang sini abang telefon Tuan Hakim tu. Saja nak buat kejutan."

"Oh, yakah? Tak apa..."

"Emak ingat nak duduk sini empat, lima hari. Mar dengan Farhan tak kisah, kan?" Tanya Puan Raudhah.

Marina menggelengkan kepalanya. Dia segera membuat keputusan tanpa memikirkan akibat yang bakal dia terima kelak.

"Boleh sangat la emak. Rumah Mar rumah emak dengan abang juga. Nak duduk terus di sini pun Mar tak kisah. Duduk la emak, abang. Kita makan."

Puan Raudhah dan Mustaqim melabuhkan punggung di meja makan. Sementara menunggu Marina menghidangkan makanan, Mustaqim beria-ia membelek-belek setiap sudut ruang makan. Hesy! Elegan betul. Mesti mahal rumah ni, bisik hati kecilnya.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now