BAB 16

319 32 3
                                    

SIJIL kursus nikah dipandang kosong. Entahlah. Dia merasakan pernikahan yang bakal berlangsung tidak lama lagi cumalah meragut kegembiraannya semata-mata. Semasa ambil kursus nikah pun Farhan Ruzaini tak nak pergi sekali. Beria-ia nak ambil asing-asing bulan lepas.

Sementelah ibu dan abangnya pula masih merajuk hati. Lelah hendak memujuk tapi dia tetap berbuat baik. Puan Raudhah tidak melayannya seperti selalu. Ibunya itu kerap mengurungkan diri di dalam bilik tidur. Orang tua mana yang tidak tertekan tatkala anak daranya akan bernikah tidak lama lagi. Nikah pula bukan disebabkan perkara baik tapi sebaliknya.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Marina menyahut salam yang diberikan oleh seseorang. Bergegas dia memulas tombol pintu. Terpacak sosok tubuh bapanya.

"Mar seorang aja ke dekat rumah?" Tanya Encik Muzammil kepada anak perempuannya. Encik Muzammil tahu Marina akan bernikah tidak lama lagi dan punca pernikahan itu tapi dia tak mahu berikan tekanan kepada anak gadisnya.

Lagipun Puan Raudhah dan Mustaqim ada untuk menasihati Marina. Sebagai seorang bapa dia cuma boleh mendoakan daripada jauh sahaja. Lainlah kalau dia masih suami kepada Puan Raudhah. Kenyataannya mereka dah bercerai.

"Tak adalah. Emak ada aja rehat-rehat dalam bilik. Lagi seminggu majlis nak mula. Sebelum pulun siapkan apa yang patut. Emak nak rehat dulu," jawab Marina.

"Abang mana?"

"Abang keluar kejap hantar karipap emak buat ke rumah Mak Cik Hamidah."

"Oh, ni Mar dah sedia belum nak nikah? Nanti ayah datang dengan ibu sebab ayah jadi wali kamu. Ibu Fia pun suka bila dengar Mar nak kahwin," ujar Encik Muzammil.

Semasa dia memberitahu kepada Puan Sofea tentang anaknya, Marina akan bernikah tidak lama lagi. Puan Sofea gembira bukan kepalang lagi. Tidak sangka Marina akan langkah bendul. Fikirnya Mustaqim kahwin dulu tapi terbalik pula.

"Ayah masuk la dulu. Takkan nak sembang depan pintu pula, kan? Tak manis orang tengok. Nanti jiran-jiran cakap Mar biadab sebab tak bagi ayah masuk rumah," ujar Marina. Tubuhnya ditolak ke tepi. Memberikan laluan kepada lelaki separuh abad berjanggut paras dada itu masuk ke dalam rumahnya.

Encik Muzammil membuka kasutnya lalu melangkah masuk ke dalam rumah yang pernah melakarkan sejarah cinta antara dia dan Puan Raudhah suatu ketika dahulu. Gambar perkahwinan mereka pun masih tergantung elok di dinding. Andai dapat diundurkan masa dia tak mahu bercerai tapi ego kelakiannya dicabar hebat oleh seorang wanita sehinggalah perpisahan terjadi.

"Duduklah ayah. Takkan kita nak berbual dalam keadaan berdiri." Tegur Marina. Dia perasan Encik Muzammil asyik merenung bingkai gambar itu. Marina tahu, jauh dalam sudut hati, Encik Muzammil masih sayang akan ibunya. Cuma keadaan dah berubah. Ayahnya sudah bernikah lain. Ada hati yang lebih penting untuk dijaga.

"Yalah, yalah." Encik Muzammil menghempas punggung di sebelah anak daranya. Dia pandang sisi muka Marina dalam-dalam. Besar dah anak ayah. Bisik hati kecilnya. Ralat kerana tidak berkesempatan melihat Mustaqim dan Marina membesar di hadapan matanya.

"Armin dengan Arman macam mana ayah? Dia orang punya sekolah okey tak? Keputusan peperiksaan macam mana? Armin dah la nak SPM tahun ni. Mar risau la. Yuran tuisyen malam dia mesti bertambah, kan?" Keluh Marina.

Walaupun adik-adiknya duduk berlainan rumah tapi dia tetap risau akan adik-adiknya itu. Zaman sekarang bukannya murah. Tuisyen satu subjek pun boleh cecah lapan puluh ringgit.

"Armin berhenti tuisyen dah." Beritahu Encik Muzammil dengan mimik muka serba salah.

Membulat mata Marina. "Kenapa?"

"Dah dua bulan yuran tuisyen dia tertunggak. Ayah dah cuba usahakan tapi tak boleh nak pusing. Ibu Fea pun asyik sakit. Nak pergi hospital kerajaan kena tunggu lama sangat. Ayah bawa ke swasta. Lepas tu anak-anak Ibu Fea pun nak SPM. Ayah bayar juga tuisyen malam untuk dia orang." Beritahu Encik Muzammil.

"Habis tu duit yang Mar bagi ayah tu?"

"Ayah pusingkan untuk bayar hutang Coway dengan bil api air. Ayah sesak betul dua bulan ni. Kilang pula tak bagi OT. Sewa rumah aja dah enam ratus lebih. Armin malu sebab cikgu tuisyen asyik tanya pasal yuran. Tu dia berhenti."

"Lepas tu ayah bagi la berhenti?"

"Terpaksa, Mar."

"Emak tahu tak?"

"Itu yang ayah nak kena bincang dengan emak kamu semula tu. Dengan Mustaqim sekali. Ayah kalau boleh tak nak Armin ketinggalan dalam pelajaran. Matematik dia pun ke laut. Tapi buat masa ni memang ayah tak mampu. Tapi ayah akan usahakan la supaya Armin masuk ke kelas tuisyen tu semula," ujar Encik Muzammil.

Marina mengurut pelipisnya. Inilah sukarnya jadi orang susah. Semua benda kena berkira-kira. Kalau la dia kaya. Dah lama dia pastikan abang dan adik-adiknya hidup senang.

"Pasal Armin dengan Arman tu fikir nanti la. Biar ayah fikir. Mar fokus untuk majlis minggu depan aja."

"Mana tak risau ayah. Armin tu dah la lemah Bahasa Inggeris dengan Matematik. Ingatkan dia masih tuisyen tapi ni Mar dapat tahu dah berhenti tuisyen, ayah cakap. Dia tu nak SPM tak lama lagi." Keluh Marina.

"Ayah tahu. Biar ayah aja yang fikir. Mar tak payah fikir dah. Mar pun dah tak kerja sekarang. Fokus aja untuk majlis minggu depan. Ayah nak anak-anak ayah bahagia. Mungkin lepas Mar kahwin dengan orang kaya tu nasib kita sekeluarga berubah. Siapa tahu, kan?"

Marina diam membisu. Dia merelakan sahaja tangan kekar Encik Muzammbil memaut tubuhnya. Dia ditarik masuk ke dalam pelukan. Ah, hangatnya... sudah lama dia merindukan belaian dan pelukan daripada seorang ayah. Kelopak matanya ditutup rapat.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now