BAB 8

352 23 0
                                    

HARI cuti Marina tidak tahu hendak ke mana. Makanya dia habiskan masa dengan mengemas rumah sambil-sambil melayan drama Korea di aplikasi Viu. Dia bukannya ada saudara mara pun di bandar metropolitan itu. Dia bawa diri sendiri.

Halimah lainlah. Halimah itu ramai kakak yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor sedangkan dia cumalah sebatang kara. Hidup mati dia pun tidak ada siapa nak ambil tahu.

Usai menyapu ruang tamu Marina menghempas punggung di atas sofa. Dia mengangkat kedua-dua belah tangan. Ketiak dihidu. Dahinya berkerut. Eh, betul la apa yang Encik Farhan cakap. Badan aku berbau. Getus hati kecilnya. Tapi macam biasalah. Dia sayang duit nak beli skincare apatah lagi ubat ketiak. Duit-duit tu diguna buat beli makan lagi bagus.

Bunyi deringan telefon mengganggu tumpuan Marina. Bergegas dia mencapai telefon yang diletakkan di atas meja. Tertera nama Halimah. Fuh! Macam ada connection. Baru fikir pasal Halimah. Halimah dah telefon aku. Bisik hati kecilnya. Butang hijau dia tatal ke tepi.

"Hello..." Marina menyapa rakannya.

"Mar. Kau dekat mana?" Ceria kedengaran nada suara Halimah di corong telefon. Sebenarnya Halimah nak ajak Marina cari baju untuk majlis besar-besaran yang akan diadakan di tempat kerja mereka tidak lama lagi.

"Aku ada ni dekat rumah. Kenapa?" Dahi Marina berkerut. Si Halimah ni nak ajak aku keluar ke? Sebab tu dia tanya aku dekat mana. Hati Marina tertanya-tanya.

"Oh, kau siaplah. Kejap lagi aku ambil kau. Aku nak ajak kau teman aku beli baju untuk event tempat kerja kita tu nanti. Kau beli la sekali." Usul Halimah.

"Hesy... aku tak nak pergilah majlis macam tu. Aku tak sesuai. Tak selesa. Mesti ramai orang, kan? Tak nak la aku. Aku introvert." Bersungguh-sungguh Marina menolak. Sejak dari zaman sekolah lagi dia tidak suka akan keramaian. Dia tidak ada keyakinan diri.

"Ah, tak ada-tak ada! Encik Farhan jemput semua pekerja termasuk la cleaning department. Lagipun malam tu malam paling special untuk Encik Farhan dan Cik Mia Sara. Dia orang dah tunang dah. Aku tengok bahagian marketing cerita dalam group WhatsApp."

"Hah, bila?" Terkejut beruk Marina dibuatnya. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba dia menerima khabar berita majikannya sudah bertunang. Tak ke pelik?

"Baru tadi. Dua jam yang lepas dia orang tunang. Tapi buat majlis kecil-kecilan la. Maksudnya malam tu nanti Encik Farhan nak raikan pertunangan dia dengan Cik Mia Sara sekali la. Dia nak sambut dengan para pekerja dia pula." Beritahu Halimah.

"Oh, faham. Ala, kau nak pergi kau pergi la. Tak payah ajak aku." Marina menggaru pelipisnya. Dia memang malas nak hadir ke majlis keramaian. Tolong la!

"Encik Farhan cakap siapa yang tak datang event syarikat nanti akan kena buang kerja. Aku tak tahu. Aku dah beritahu awal-awal, ek." Sengaja Halimah mereka-reka cerita untuk menakutkan Marina. Geram dia dengan sikap keras kepala Marina.

"Eh, kau biar betul?" Marina tidak senang duduk. Janganlah... kalau dia kena buang kerja dia nak kerja di mana lagi? Zaman sekarang ni nak cari kerja bukannya senang.

"Betul," jawab Halimah.

Marina diam untuk beberapa saat. Dia memikirkan sesuatu tapi malangnya otak menderhaka. Dalam terpaksa dia merelakan. Terpaksalah dia hadir ke malam keramaian itu nanti. Dan terpaksa jugalah dia ikut Halimah shopping baju kejap lagi.

"Yalah, aku ikut." Nada pasrah kedengaran.

"Bagus! Kejap aku drive. Aku ambil kau." Halimah lantas mematikan panggilannya. Pedal minyak ditekan. Kereta Viva merah jambunya meluncur laju membelah jalan raya. Dari rumahnya dia memandu ke rumah Marina semata-mata ingin mengheret Marina ikut bersamanya.

MAJLIS pertunangan itu diakhiri dengan jamuan kecil-kecilan. Terdapat rendang daging, nasi himpit, kuih karipap kentang, brownies coklat dan sirap limau ais di atas meja marble bulat. Mia Sara tersipu malu ketika mencedokkan makanan untuk bakal ayah mentuanya.

"Tak lama lagi dah jadi isteri orang. Sara kena belajar masak dari sekarang." Usik Puan Robetah. Dia berasa lega kerana anak gadisnya bakal dihalalkan tidak lama lagi. Ikatan pertunangan pun tidak la lama. Farhan Ruzaini hanya ikat pertunangan mereka selama dua bulan.

"Betul tu Fatimah. Boleh la hari-hari Si Sara ni masakkan untuk anak saya." Tuan Hakim mencelah. Dia lebih gemar memanggil Puan Robetah dengan nama Fatimah. Baginya, nama Puan Robetah sangat unik. Robetah Fatimah. Walaupun nama itu kedengaran pelik. Tetapi itulah nama sebenar Puan Robetah.

"Boleh sangat tu." Puan Rafia mencelah. Dia la yang jadi tukang sarungkan cincin di jari manis Mia Sara sebentar tadi.

Muka Mia Sara merah persis udang kena bakar. Tunangnya pun satu hal juga. Habis sahaja proses sarung cincin, Farhan Ruzaini lesap entah ke mana. Katanya ada kerja yang dia kena siapkan.

"Dah malu dah budak ni asyik kena sakat." Encik Manaff mencuit lengan anak perempuannya. Mia Sara menunduk. Ayu betul dia dengan baju kurung moden berwarna biru laut yang dikenakan ke tubuh langsingnya.

"Ayah ni..." Gumam Mia Sara.

Encik Manaff ketawa besar. "Hakim, Rafia, makan la. Majlis tunang tapi dah macam bukan majlis tunang. Tak sabar rasanya untuk malam keramaian tu nanti. Yalah... sekarang ni, kan anak kau bertunang dengan anak aku dalam keadaan apa pun tak sedia. Pelamin pun tak ada. Harapnya malam keramaian tu nanti tak mengecewakan aku dengan Robetah la."

Tuan Hakim mengangguk mengiakan. Sebenarnya dia agak terasa hati dengan ucapan Encik Manaff. Seolah-olah anak terunanya tidak menyediakan yang terbaik buat Mia Sara. Nama pun tunang instant. Nak tunang cepat-cepat. Memanglah tak sempat nak siapkan pelamin. Cari baju semua tu. Asal dapat sarung cincin sudahlah. Tapi, dia tidak membalas ucapan itu. Biarlah.

"Jangan risau la Manaff. Anak saudara aku tu seorang yang bertanggungjawab. Tak akan mati kebulur Si Mia ni kalau kahwin dengan Farhan. Maaf la kalau majlis tunang ni kurang memuaskan. Memang Farhan nak sponsor semua tapi tak sempat, kan? Asal dapat sarung cincin okey la. Buat ala kadar. Lagipun ni rumah kau. Bukan rumah kami. Kahwin nanti baru buat besar-besaran," ujar Puan Rafia.

"Mia ni satu-satunya puteri aku yang aku ada. Aku dan Robetah nak yang terbaik untuk dia," ujar Encik Manaff.

"Kalau boleh tunang sekali. Kahwin pun sekali seumur hidup." Sambungnya lagi.

"Insya-Allah. Kita hanya mampu merancang tapi Allah SWT yang tentukan semuanya." Balas Tuan Hakim. Dia menyandarkan badannya ke dada kerusi. Makanan-makanan yang terhidang di atas meja marble bulat itu tidak menarik minatnya lagi. Encik Manaff buat dia terasa hati.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now