BAB 22

363 35 7
                                    

TEH panas yang dihidangkan dihirup perlahan-lahan. Encik Muzammil melirik muka Puan Raudhah. Tujuannya datang bertemu bekas isterinya kerana hendak membincangkan tentang anak-anak.

"Macam mana dengan tuisyen Armin dan Arman? Semua dah selesai belum?" Tanya Puan Raudhah kepada bekas suaminya.

"Alhamdulillah. Semuanya dah selesai. Armin dengan Arman dah masuk tuisyen balik," jawab Encik Muzammil.

"Baguslah." Puan Raudhah berpaling. Tidak mahu melihat muka bekas suaminya itu. Walaupun hati masih tersayat luka tapi terpaksa ditahan demi kebahagiaan anak-anak. Mereka yang berpisah. Tetapi anak-anak tetap perlukan ayahnya.

Mustaqim muncul di dapur lalu duduk bersebelahan dengan ibunya. Tunak matanya merenung muka Encik Muzammil. Sebenarnya dia marah akan lelaki tua itu kerana mengabaikan pembelajaran adik-adiknya. Mujurlah Encik Muzammil bertanggungjawab orangnya. Dia berasa lega selepas diberitahu Arman dan Armin sudah dimasukkan ke pusat tuisyen semula.

"Marina sihat ke Mustaqim? Apa cerita selepas kahwin ni? Semuanya okey? Ayah ada cuba telefon Marina tapi dia tak jawab." Encik Muzammil merenung ke dalam mata anak lelakinya.

"So far Marina okey. Dia tak ada cerita apa-apa pula dekat Mus sepanjang Mus telefon dia," jawab Mustaqim.

"Mus rasa budak lelaki tu boleh ke jaga Marina? Ayah tak yakin la Mus." Keluh Encik Muzammil.

"Kalau fikiran tu asyik fikir yang tak betul memang yang tak betul la jadi. Cuba doa yang elok untuk anak. Bukan doakan yang tak elok." Puan Raudhah mencelah.

"Bukan doakan. Cuma... Si Farhan tu abang tengok tak ikhlas pun dengan Marina. Abang faham dia orang kahwin bersebab tapi masa depan Marina macam mana? Addah tak fikir?"

"Masa abang utamakan anak-anak Fea dan abaikan anak-anak kita. Ada abang fikir masa depan anak-anak kita?" soal Puan Raudhah. Sarkastik. Soalan cepumas itu menyebabkan Encik Muzammil terdiam.

Diamnya Encik Muzammil menyebabkan Puan Raudhah bangun daripada duduknya lalu menapak ke ruang tamu. Meninggalkan dua beranak itu duduk di ruang dapur.

SURAT tawaran itu dipegang kemas. Mia Sara merenung pasu bunga kaca yang berada di atas meja makan. Dia melepaskan keluhan berat. Hati masih kecewa. Tiba-tiba pula dia dilamar oleh pekerjaan baharu. Pekerjaan yang dia memang dambakan sejak dahulu lagi.

"Tak perlu nak fikir-fikir lagi dah. Allah tarik satu. Allah ganti satu. Dapat tawaran jadi interior fashion designer di Jepun tu bukan mudah. Ni Sara dapat. Hargai." Kata Puan Robetah yang entah muncul dari mana. Dia membawa satu balang keropok ikan bersamanya. Lalu dia duduk di sebelah Mia Sara.

"Jepun tu bukan dekat." Keluh Mia Sara.

"Kenapa cakap macam tu? Sara dah lupa ke impian Sara? Sara cakap apa dekat ibu dengan ayah dulu waktu Sara habis SPM. Sara nak explore dunia, kan?"

"Memang. Tapi keadaan berubah."

"Bukan keadaan berubah tapi hati Sara yang berubah. Sara masih teringatkan Farhan, kan?" Tebak Puan Robetah. Ikan dalam akuarium pun dia boleh tahu mana jantan mana betina. Ini kan pula hati anak perempuannya.

Mia Sara diam membisu. Dia tahu, dia tak boleh nak menipu Puan Robetah kerana perempuan tua itu dapat meneka isi hatinya. Bodoh la dia kalau menipu ibu sendiri.

"Nak ingat boleh tapi jangan sampai melarat. Orang tu pun dah sakitkan Sara. Dia pun dah kahwin dengan orang lain. Sara kena bangkit. Anak ibu kuat. Jangan jatuh sebab lelaki." Tulus Puan Robetah memberikan kata-kata semangat untuk anaknya. Dia tak nak Mia Sara disakiti lagi.

Kata-kata itu diserap masuk ke dalam minda dan hatinya. Kepala dilentokkan ke bahu Puan Robetah. Tersedu-sedu Mia Sara menangis. Mengenang nasib diri yang diperbodohkan hidup-hidup oleh lelaki yang amat dia cintai.

BUNYI derap langkah seseorang menyebabkan Marina memusingkan badannya. Dia mendongak memandang raut wajah tegang Farhan Ruzaini bersama kerutan di dahi.

"Awal awak balik." Tegurnya. Tragedi kena tampar dengan lelaki itu hilang daripada mindanya.

"Aku nak balik awal ke balik lambat ke suka hati aku la. Rumah aku. Kau nak menyibuk kenapa!" Herdik Farhan Ruzaini. Tali leher dirungkaikan.

"Saya tanya aja. Oh, saya tak masak hari ni. Bahan-bahan masak dalam peti ais semua dah habis. Saya nak telefon awak tapi saya terpadam nombor awak." Marina memusingkan badannya membelakangi suaminya. Lincah pergerakan tangannya memasukkan baju ke dalam mesin basuh.

Mata Farhan Ruzaini melirik punggung isterinya yang bergoyang mengikut rentak pergerakan Marina. Air liur ditelan beberapa kali. Betul. Bau badan isterinya kuat. Sekarang pun dia dah bau masam wanita itu tapi bila nafsu sudah menguasai diri. Dia tak mahu fikir apa-apa.

"Kau kalau nak pakai seluar ketat-ketat macam ni lain kali tak payah pakai. Bogel aja." Tegur Farhan Ruzaini. Laju tangan kirinya mencengkam punggung bulat wanita itu.

Marina yang terkejut dengan tindakan drastik Farhan Ruzaini segera menepis laju tangan suaminya. Tunak matanya merenung ke dalam mata lelaki itu. Nafasnya turun naik menahan marah. Wah, ini sudah lebih!

"Awak nak tegur boleh tapi tak payah la sentuh aset saya!" Suara Marina naik seoktaf. Geram dengan tangan gatal lelaki itu yang sesuka hati mencengkam daging punggungnya.

Farhan Ruzaini tersengih sinis. "Aku ni kalau bernafsu dekat kau. Bukan cengkam bontot kau aja aku buat. Lebih daripada tu aku boleh buat. Tapi sorry la. Aku tak berselera nak sentuh tong drum macam kau ni."

"Tak suruh pun awak sentuh saya. Saya cantik di mata lelaki yang tepat. Elok la awak tak nak sentuh saya. Sekurang-kurangnya saya boleh bagi tubuh saya dekat lelaki yang betul-betul cintakan saya." Tempelak Marina.

"Wah, kau bercakap macam aku tak ada depan kau. Ingat sikit aku ni suami kau." Farhan Ruzaini mencengkam lengan isterinya. Dia sakit hati dengan kenyataan itu.

"Kenapa pula?" soal Marina.

"Bagi tubuh dekat lelaki yang cintakan kau, ya? Aku kahwin dengan kau bukan percuma. Ingat tu. Aku dah spend duit jadi aku berhak dapatkan imbalan."

"Imbalan apa yang awak nak?"

Mata Farhan Ruzaini bergerak-gerak melihat isterinya daripada atas ke bawah. "Kau ni memang gemuk. Buruk. Tak cantik. Bau busuk. Aku tak berselera. Tapi setakat nak puaskan nafsu aku okey. Kau nak? Jom la. Puaskan aku. Jangan risau. One night stand aku bagi seribu."

Pang!

Pipi lelaki itu bertukar merah setelah ditampar oleh telapak tangan isterinya. Membuntang mata Farhan Ruzaini melihat keberanian Marina menampar pipinya.

"Kau!"

"Jaga bahasa awak. Saya bukan pelacur! Kalau memang pun awak nak minta hak awak sebagai suami. Tak perlu cakap macam tu. Saya bukan jual badan saya dekat awak!" Marina menengking bersama linangan air mata. Ya, dia kalah. Dia kalah ketika ada orang memperkotak-katikkan harga dirinya. Dan tengkingan itu membuatkan suaminya terdiam.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now