BAB 13

379 32 4
                                    

HARI semakin malam. Farhan Ruzaini masih tegak berdiri di hadapan pintu rumah tunangnya. Berkali-kali kedatangannya ditolak oleh Encik Manaff dan Puan Robetah tapi dia masih lagi degil. Dia tetap nak memberikan penjelasan kepada Mia Sara. Apa yang berlaku cuma salah faham. Bukan niatnya ingin mencurangi Mia Sara. Kejadian malam itu cuma salah faham.

"Mia, keluar la. I tahu you ada dekat dalam. I nak jelaskan semuanya. Sumpah sayang. I tak curang. I tak buat apa-apa pun dengan perempuan gemuk tu. Dia kenakan I. Bukan I yang serah diri." Rayunya persis orang kurang siuman. Hilangnya Mia Sara seolah-olah dia kehilangan separuh jiwanya.

"Mia... selagi you tak keluar selagi tu I akan tunggu you. Betul sayang. I tak curang. I tak buat pun benda terkutuk tu. Macam mana you jaga diri you. Macam tu juga I jaga diri I!" Suara Farhan Ruzaini semakin bingit. Kalau boleh dia nak jiran-jiran turut mendengar luahan hatinya.

Bunyi kuakan pintu membuatkan kepala lelaki itu mendongak. Redup pandangan dia berikan kepada mimik muka bengis itu. Dia faham Encik Manaff dan Puan Robetah marah akan dirinya tapi yakinlah dia tidak bersalah di dalam hal itu.

"Far nak jumpa Mia. Please." Rayunya.

"Kau tak faham bahasa ke aku cakap berhambus. Jangan tunjukkan muka kau lagi depan kami. Terutama sekali depan anak aku. Kau dah kecewakan dia. Kau kecewakan kami. Cukup! Kau dengan Mia tak ada apa-apa hubungan lagi dah!" Herdik Encik Manaff. Cincin emas bertakhtakan berlian itu dicampak ke dada bidang Farhan Ruzaini. Ini bermakna episod cinta lelaki itu dengan anak gadisnya sudah sampai di titik penamat.

"Far nak jelaskan apa yang berlaku. Far tak salah. Semua ni salah perempuan tu. Dia yang kemaruk nak diri Far."

"Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi la. Kau dengar sini baik-baik Farhan. Aku takkan benarkan anak aku berkahwin dengan lelaki penzina macam kau!" Herdik Encik Manaff lagi.

Farhan Ruzaini tidak menghiraukan kata-kata lelaki tua itu. Sebaliknya dia merempuh tubuh Encik Manaff. Niatnya cuma satu. Dia nak bertemu Mia Sara. Belum sempat kakinya menapak ke bilik tidur Mia Sara. Lengannya terlebih dahulu ditarik kuat oleh Encik Manaff. Tubuhnya diheret keluar dari rumah banglo itu.

"Kurang ajar! Kau tak belajar adab ke apa! Aku tak benarkan kau masuk rumah aku tapi kau main masuk aja. Baik kau berhambus sebelum aku call polis. Jangan ingat kau kaya kau boleh langgar privasi keluarga aku!" Jerkah Encik Manaff. Turun naik nafasnya menahan api kemarahan kepada lelaki muda itu.

Farhan Ruzaini pasrah. Bila dah melibatkan polis memang dia kalah. Dia pandang wajah bengis Encik Manaff tapi dia yakin lelaki tua itu keras hatinya. Encik Manaff tidak akan mengasihani dirinya. Kerasnya hati lelaki tua itu membuatkan api kebenciannya kepada Marina semakin marak. Marina... dia akan pastikan perempuan itu terseksa setimpal dengan penderitaan yang dia sedang lalui.

"Aku kira sampai tiga. Kau tak berhambus aku telefon polis. Satu... dua..." Encik Manaff mula menghitung detik. Rahangnya bergerak-gerak mengawal kemarahan yang meluap.

Setapak demi setapak kaki panjang Farhan Ruzaini mengundur sehingga keluarnya dia dari kawasan pagar besi berwarna emas itu. Gerimisnya hujan seolah-olah mengerti keadaan dirinya. Ikatan pertunangan terputus di tengah jalan. Episod cinta bertukar derita. Mia Sara cinta pertamanya. Tapi ini gadis itu akan menjadi masa lalunya. Masa lalu yang tidak akan pernah dia lupakan.

PINTU bilik Farhan Ruzaini diketuk. Dia tahu anak lelakinya sedang berdukacita di atas tamatnya episod cinta. Tapi ada perkara yang lebih penting untuk dia bahaskan dengan lelaki itu. Demi maruah keluarga. Demi maruah syarikat. Farhan Ruzaini harus berkorban.

"Far nak rehat, pa. Far penat. Penat sangat," ujar Farhan Ruzaini sebaik sahaja membuka pintu biliknya. Bawah matanya sembab seolah-olah baru lepas menangis.

"Papa tahu apa yang Far lalui tak mudah. Tapi anggap aja la ini sebagai pengajaran di atas keterlanjuran kamu. Kamu rosakkan anak dara orang. Kamu kena bertanggungjawab," ujar Tuan Hakim. Senada.

"Berapa kali Far nak jelaskan dekat papa yang Far tak sentuh dia. Tak sentuh pa! Sikit pun tak! Ya, kami tidur sekatil. Tapi kami tak buat benda haram tu. Kalau memang Far sentuh dia. Kami dah tak berbaju la papa!" Suara Farhan Ruzaini naik seoktaf. Sakit kepalanya asyik mengulang kenyataan yang sama. Malangnya Tuan Hakim tak faham bahasa.

"Tidur sekatil? Benda tu tak haram ke Farhan? Tak semestinya kamu bersetubuh dengan dia. Tidur sekatil dengan perempuan bukan mahram kamu pun dah berdosa. Papa memang boleh lebih kurang tapi macam mana dengan maruah keluarga kita? Maruah kakak kamu? Maruah syarikat? Benda-benda buruk macam ni cepat tersebar. Far tak kesian ke dekat kakak? Tak kesian dekat papa?"

"Kalau memang Far sentuh dia. Dan papa percayakan dia. Baik! Papa nak Far bertanggungjawab, kan? Itu yang papa nak, kan? Papa asyik fikirkan maruah daripada perasaan anak sendiri. Fine! Bagi Far tiga bulan untuk buktikan dekat papa."

"Buktikan apa?" soal Tuan Hakim.

"Kalau dalam masa tiga bulan Marina tak mengandung. Far takkan kahwin dengan dia. Kecuali dia mengandungkan anak Far. Far akan ikut cakap papa. Deal?" Tajam mata Farhan Ruzaini menikam sepasang mata bapanya. Dia yakin, dia dan Marina tidak akan bernikah. Kerana apa? Kerana mereka tidak melakukan hubungan intim sama sekali dan mustahil perempuan itu mengandung.

"No way! Keputusan papa muktamad. Hujung minggu ni kita jumpa family dia. Nikah. Nak tunggu perut orang tu membesar dulu ke baru nak nikah? Lagi malu papa nanti Farhan." Selar Tuan Hakim.

Farhan Ruzaini mengepal buku limanya. Dia menatap muka Tuan Hakim dengan penuh api kebencian. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa dendam yang tidak berpenghujung.

"Papa suka paksa Far untuk buat benda yang Far tak nak. Baik! Papa nak sangat Far kahwin dengan betina sial tu, kan? Far akur. Tapi papa kena ingat ni baik-baik, ya. Segala penderitaan yang bakal dia tanggung. Papa jawab dekat akhirat. Bukan salah Far!" Kata Farhan Ruzaini sebelum menghempas pintu biliknya.

Bam!

Terhincut bahu Tuan Hakim. Dahinya berkerut. Dia cuba menghadam kata-kata ugutan anaknya. Satu keluhan berat dilepaskan. Semoga keputusan yang dia buat tidak memakan dirinya.

"Pastikan aku kahwin dengan perempuan sundal tu secepat yang mungkin!" Laung Farhan Ruzaini dari dalam bilik tidurnya. Pelbagai idea sudah memeta di benak fikirannya. Marina... aku akan buat kau hidup dalam mati, nekadnya.

ISTERI PAKAI BUANGWhere stories live. Discover now