Bab 20

46.9K 2.7K 172
                                    

Kemeja Padini yang tersarung di badan aku betulkan, kemudian aku sarungkan blazer. Sudah lama aku tidak berpakaian formal sebegini semenjak aku berhenti kerja secara tidak langsung. Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku mula mencapai tas tangan untuk turun ke bawah.

Rasanya Iskandar sudah lama berangkat ke pejabat kerana dia masuk kategori yang awal dalam setiap perkara dia lakukan. Aku terlewat bangun seperti kebiasaannya pagi ini, teringatkan rancangan yang aku atur, terpaksa aku gagahkan diri untuk bangun walaupun aku ingin tidur lagi.

Sampai saja di ruangan makan, papa orang pertama memandang ke arahku. Pandangan matanya di alihkan ke arah jam yang melekap pada dinding, mungkin dia kehairanan melihat aku ketika ini. Tanpa mempedulikannya, terus aku ambil tempat duduk di meja makan.

"Nak pergi mana?" Papa bertanya, riak wajahnya masih sama seperti tadi.

"Kerja," jawabku pendek. Sarapan yang terhidang aku pandang, tak berapa nak kena dengan tekak aku. Pagi-pagi seperti ini, aku jarang ambil makanan yang berat untuk bersarapan.

"Kerja?" Dia menyebut perkataan itu kembali seakan tidak percaya.

"Why? Papa dah pecat Risya ke? Ke dah buang terus nama Farisya Irdina dari pemegang saham?" Aku memandang ke arahnya bersahaja sambil melontarkan soalan itu.

Mana tahu, takut dia dah buang nama aku dalam setiap warisan hartanya. Maklumlah dah ada keluarga baru kan. Aku rasa sekarang ni papa lebih sayangkan Airil, anak tirinya berbanding aku anak kandungnya.

"Bukan macam tu, dekat lima bulan tak masuk kerja. Tiba-tiba je," kata papa lagi.

"Bosan duduk rumah." Aku berikan jawapan yang mudah untuk difahaminya. Papa pantau pergerakan aku sampai nak keluar pun dia tak bagi, sekarang ini sudah tahu mengatur hidup aku. Ini saja caranya untuk bergerak dengan bebas.

"Bagus lah kalau macam tu," ujar papa sambil menghirup air kopinya.

Aku mencapai French toast yang berada berhampiran. Fikiran ligat memikirkan alasan sebenar kenapa aku mula berkerja kembali. Pertama, semenjak papa berkahwin, dia sudah serahkan semua urusan syarikat keluarga kepada Iskandar jadi dia selalu ada di rumah dan aku rasa sangat rimas. Kedua, kerana Aunty Aliyah juga selalu ada di rumah dan aku rasa benda yang sama, rimas dengan kehadirannya. Ketiga, Ilya berada di tahun akhir dalam jurusan— aku tak ingat dan malas nak ambil tahu, di kolej berhampiran. Sewaktu dia tak ada kelas atau apa-apa, dia akan berada di rumah. Antara tiga orang ni, Ilya yang paling merimaskan aku.

Dan keempat, aku masuk berkerja kembali kerana ingin berpura-pura sibuk. Dengan cara ini, mungkin orang dalam rumah ni akan anggap aku dan lupakan Airil. Ini merupakan salah satu rancanganku untuk mendapatkannya semula. Aku memandang ke arah Airil yang sedang menikmati sarapannya.

Selesai saja bersarapan, Airil orang pertama yang beredar dari ruang makan. Aku menurut selepas itu, sampai saja di pintu rumah, aku melihat Ilya sedang menyalami tangan Airil. Isteri mithali kononnya, pagi-pagi macam ni aku sudah berasa menyampah.

Tanpa mempedulikan drama mereka di pagi hari, aku menuju ke keretaku. Muka yang tadinya menunjukkan reaksi menyampah mula betukar riang, aku lakarkan satu senyuman apabila teringatkan apa yang terjadi semalam. Aku menundukkan tubuh untuk melihat ke arah tayar kereta yang kempis itu, tak sia-sia semalam aku melepaskan anginnya.

"Airil-" Aku memanggil namanya seraya mengetuk cermin keretanya.

"Tumpang boleh?" Aku bertanya ketika dia menurunkan cermin kereta.

"Kenapa? Kereta you ada kan?"

"Tayar pancit la, lagi pun dekat je kan? Tumpang kali ni je." Aku buat muka kesian untuk meraih simpatinya. Namun Airil sepertinya tidak senang dengan pemintaanku.

"Kenapa Farisya?" Aunty Aliyah entah datang dari mana tiba-tiba saja muncul. Tapi aku rasa dia akan mainkan peranan penting kali ini.

"Tayar pancit aunty, ingat nak tumpang Airil. Dia macam tak nak bagi je-" kataku dengan suara yang seakan menjauh.

"Tempat kerja dekat je kan? Kenapa tak nak bagi Farisya tumpang pulak ni Airil?" Dalam hati sudah bersorak riang, Aunty Aliyah yang aku tak suka sedang memainkan peranan penting. Memudahkan rancanganku untuk tumpang Airil.

"Dah lewat ni, Farisya pergi masuk cepat. Nanti terlambat pulak."

Aku sembunyikan satu senyuman ketika membuka pintu penumpang yang berada di sebelah pemandu. Masuk saja ke dalam, aku cuba kawal reaksi wajahku. Airil pula aku pandang sekilas, wajahnya masam mencuka kerana mamanya menyebelahi aku.

Aku rasa dia sengaja mengelak dari berdua-duaan dengan aku. Selepas kejadian malam itu, kami tidak bercakap langsung. Sepanjang tempoh itu juga aku dan dia mengelak dari bertembung sehingga berlarutan selama seminggu. Tapi hari ini, aku muncul dengan sesuatu yang baru untuk mendapatkan cintanya semula.

Sepanjang perjalanan kami berdua memilih untuk berdiam diri, yang kedengaran hanya lah suara dj radio berceloteh. Airil fokus kepada pemanduannya manakala aku sibuk memandang ke sisi untuk memikirkan apa yang perlu aku lakukan sekarang. Ketika itu juga, telingaku mula menangkap bait lirik lagu yang dimainkan di corong radio.

Siapakan diriku sebenarnya dihatimu,
Atau sekadar sandaranmu.

Kerana banyak mengelamun, aku terlepas baris pertama yang dinyanyikan. Aku mula memberi perhatian yang sepenuhnya.

Saat ku mulai menyedari,
Perasaanku tak pernah dipeduli,
Salahkah diriku mengemis cinta darimu,
Apa ku tak punya harga.

Setiap bait lirik itu membawa aku ke dalam dunia yang penuh kisah silam aku dan Airil. Apa yang terjadi pada hari Airil memutuskan hubungan kami mula berlegar di ruang mindaku. Menyedari aku terleka mendengar lagu itu, Airil tiba-tiba saja memerlahankan volume.

"Apa ni Airil? I nak dengar," kataku seakan tidak berpuas hati. Aku menaikkan kembali, lagu tadi kembali kedengaran.

Segala apa yang telah ku berikan,
masih lagi tak memadai,
Hampir ku tersungkur menuntut janji,
darimu.

Memang kena sangat lirik lagu ni dengan aku. Orang kat sebelah ni terasa agaknya tadi, tu yang tiba-tiba saja memerlahankan volume. Mungkin sentap, dia pun macam nampak tak selesa sekarang ni.

"I tak nak dengar, ni kereta I ke kereta you?" Aku dia memandang ke arahku sekilas, tajam sekali renungannya. Airil mematikan radio.

Ewah, rumah yang dia duduk sekarang ni, rumah aku ke rumah dia?

"Airil, I think you're right. I patut lupakan you." Malas nak melayan rasa marah yang memuncak itu, aku mengingatkan dia kembali apa yang dikatakan pada malam itu. Aku perlu meneruskan rancanganku.

"You dah kahwin, dah ada isteri dan dah ada kehidupan sendiri. Maybe I patut buat benda yang sama." Aku mula berbohong bagi menyempurnakan apa yang dirancang. Untuk berbaik-baik dengan Airil, aku akan berpura-pura yang aku sudah melupakannya.

"I'm really happy to hear that," kata Airil.

"Maybe kita patut berkawan macam kita mula-mula kenal dulu?" Aku memandang ke arahnya, Airil kutumkan satu senyuman tanda bersetuju.

"Lagi pun kita dah jadi adik beradik tiri kan?" Aku menyatakan status hubungan kami ketika ini, Airil mengangguk tanda setuju.

Walaupun aku nampak ada rasa sangsi di wajahnya terhadapku tapi aku dapat merasakan ini permulaan yang akan merubah segalanya. Mungkin dia kata cintanya sudah beralih pada Ilya tapi aku akan pastikan semua itu tidak akan kekal. Aku akan hidupkan semula saki-baki perasaannya terhadapku.

Cintakah kau pada dia Farisya? Setelah apa yang dia lakukan? Persoalan ini selalu muncul, jawapannya aku tidak pasti. Cinta aku terhadap Airil sudah ternoda dan dikaburi oleh dendam. Dendam yang membuatkan aku inginkannya semula, aku ingin lihat dengan mataku sendiri mereka yang hancurkan kebahagiaanku tersungkur kerana cinta seperti yang aku alami.

Bukan Untuk DimilikiWhere stories live. Discover now