Bab 45

50.5K 3.2K 402
                                    

Hai! 👀

Maaf gaisss lama tak update huhu 😂 tak sampai sebulan lagi en en en 😂 maaf kalau ada kekurangan pada bab ni 😇

"Kau pernah dengar tak orang kata hidup ini ibarat roda."

Aku menoleh ke arah suara yang menegurku. Sudah lama aku tidak mendengar suara yang lembut dan intonasinya sentiasa di jaga tetapi akan berubah apabila si empunya bercakap denganku. Ilya Humaira yang sedang sarat mengandung mengerling ke arahku sekilas sebelum memandang kembali ke arah dua figura di hadapan kami.

"Kau tak rasa ke apa yang kau buat pada aku berbalik semula kepada kau?" Dingin suaranya ketika melemparkan kata-kata itu kepadaku. Masih lagi belum hilang api kebenciannya terhadapku dan aku tidak pernah sekali pun rasa sesal atas perbuatanku terhadapnya, tiada sedikit pun perasaan itu datang mengetuk di dalam sanubari untuk memohon kemaafan. Untuk apa aku perlu lakukan semua itu? Memang salah mereka.

"Hari tu kau buat aku tapi hari ni, ada yang buat kau." Ilya terus berkata lagi untuk mencurahkan minyak yang panas ke atas api.

"Apa yang kau buat, kau akan dapat balik."

"Mereka cuma kawan." Aku akhirnya membuka mulut.

"The same thing you said to me before. Cuma kawan, rupanya lawan. Betul tak Farisya?" Dengan satu senyuman penuh makna dia berlalu pergi meninggalkanku.

Pandangan mataku kembali ke arah tadi, ke arah Zarif dan rakan-rakannya. Dalam kelompok itu ada dua orang perempuan dan semestinya Hadira adalah salah seorang daripadanya. Pada awalnya aku juga berada di situ ketika Zarif kenalkan aku kepada mereka tetapi tidak berpanjangan kerana aku bosan. Aku tidak kisah pada awalnya tetapi sekarang ini, aku rasa disisihkan. Apabila teringatkan Hadira berada di situ, aku jadi kisah dan aku mula rasa sakit hati apabila melihat mereka berdua yang kelihatan mesra.

Aku tahu yang Hadira sukakan Zarif namun dia hanya memendam. Tapi bagaimana pula dengan Zarif? Adakah dia merasai begitu juga? Betul ke Hadira sekadar rakannya? Aku jadi ragu-ragu, tambahan pula Zarif banyak berahsia.

"Aku nak balik. Rasa tak sedap badan pulak." Aku mula menitipkan pesanan ketika menghampiri Iskandar.

"Takkan dah ada isi kot." Qaisara yang berada berhampiran mula memandangku dari atas ke bawah selepas itu.

"Maybe." Iskandar turut melakukan perkara yang sama dan mataku mula membuntang memandang ke arah mereka berdua.

"Tak!" Aku terus membantah dengan keras selepas itu, kenyataan paling tidak masuk akal.

"Okay." Serentak kedua-duanya berkata. Aduh!

Sebenarnya aku sengaja ajak Qaisara ke sini semata-mata nak rapatkan dia dengan Iskandar. Tidak sangka pula sekepala. Aku rasakan sudah tiba masanya Iskandar membuka hatinya untuk menerima seseorang. Mungkin dibibirnya sering menzahirkan yang dia sudah menerima kematian Ayreen tetapi sebenarnya tidak. Sebelum tidur, bingkai gambar Ayreen di bawa ke dalam pelukan dan air mata rindu akan mengalir turun. Aku bukannya mahu Iskandar lupakan Ayreen tapi aku mahu dia teruskan hidupnya tanpa perlu menangis.

Setelah meminta diri, aku keluar dari tempat itu tanpa memberitahu Zarif. Cawangan butik Aunty Aliyah di ibu kota baru saja di buka dan dia adakan majlis kecil-kecilan untuk meraikannya. Aku datang ke sini dengan Zarif tadi dan telah menyusahkan aku untuk pulang ke rumah sekarang ini. Pandangan mataku melilau di kawasan berhampiran untuk mencari teksi.

Kaki mula mengatur langkah untuk melintas ke seberang jalan apabila aku ternampak sebuah teksi di situ. Tanpa memandang ke kiri dan ke kanan jalan, aku terus melintas kerana suasana agak lengang ketika itu. Baru beberapa tapak aku melangkah, ada satu cahaya memancar dari arah kanan membuatkan tanganku naik menutupi wajah kerana terlalu silau.

Bukan Untuk DimilikiWhere stories live. Discover now