Bab 42

49.9K 3.8K 889
                                    

Aku tidak tahu berapa banyak air mataku mengalir semalam dan semuanya kerana Zarif. Agak lama aku berada di bilik mandi malam tadi, menangis dan terus menangis. Apabila melihatkan diriku yang menangis di hadapan cermin, aku rasakan rasanya lebih sakit berbanding ketika aku kecewa ditinggalkan Airil dulu. Aku sendiri tidak tahu kenapa tetapi aku terlalu lemah apabila berhadapan dengannya.

Apabila aku keluar dari bilik mandi, jam sudah menunjukkan jam satu pagi dan Zarif tiada di dalam bilik. Ketika aku ingin tidur, bayangnya masih lagi tidak kelihatan. Aku sudah memahami apa yang Aunty Aliyah katakan, Zarif akan menunjukkan sikapnya yang sebegitu kepada orang yang dia suka. Dia sukakan aku? Tetapi kenapa dia berperangai sebegitu?

Pagi ini, dia masih lagi tiada di bilik dan semalam dia tidur di tempat lain dan aku malas nak ambil tahu. Biarkan dia. Aku terus mengusir kejadian semalam dari mindaku sama seperti yang dia lakukan. Aku tidak berdendam cuma nak dia rasakan apa yang aku rasa.

"Farisya, breakfast sekali." Papa mengajakku untuk duduk semeja ketika aku lalu ke ruangan makan untuk ke dapur.

Disebabkan aku tengah lapar, aku hanya mengikut arahan darinya. Zarif turut ada di situ dan pandangan matanya ralit merenungku. Melihatkan tempat kosong ada di sisinya, aku terpaksa duduk di situ. Kalau aku duduk di tepi Iskandar, nantikan ada suara menegur kenapa tidak duduk disebelah suami, jauh pula tu.

Aku letakkan dua senduk bihun goreng di atas pinggan dan air coklat panas dituangkan ke dalam cawan. Tangan kananku yang memegang kemas garfu terlepas apabila Zarif tiba-tiba saja meraih tangan kiriku yang aku letakkan di atas peha, terlindung di sebalik meja.

Sepasang mata milikku merenung tajam ke arahnya yang mempamerkan riak tenang di wajah. Baru saja aku ingin lepaskan pegangan tangannya, Zarif lebih tangkas merantai jari-jemari kami dengan erat dan membawa ke ribanya. Makin mencerlung aku memandang ke arahnya.

Apa masalah dia? Aku nak makan pun tak boleh! Sedangkan dia sudah selesai bersarapan dan sedang menikmati air kopi. Tautan itu aku cuba rungkaikan namun dia semakin kuat mengenggamnya. Semakin buat aku menyampah, dia boleh tersenyum manis dengan lesung pipit dia kearah aku. Geramnya aku! Kau tengok apa yang aku nak buat. Rasanya dia tak kenal lagi Farisya ni macam mana. Aku balas kembali senyumannya dan terus menendang kakinya sekuat yang boleh.

"Auch!" Suaranya kedengaran mengaduh kesakitan kerana tendangan yang aku 'hadiah'kan.

"Kenapa?" Aunty Aliyah bertanya apabila melihat anaknya itu tiba-tiba saja terjerit.

"Tak ada apa-apa, ma. Tiba-tiba rasa kaki ni kejang." Senyuman paksa dia berikan kepada mamanya.

"Nanti biar Risya urutkan kaki abang ya?" Kata-kataku diakhiri dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat seraya memandang ke arahnya. Aku gerakkan bibir untuk menyebut perkataan 'lepas' namun dia geleng.

Dalam keadaan terpaksa, aku teruskan suapan yang tergendala tadi. Kali ini Zarif melonggarkan ibu jarinya yang tadi erat pada genggaman tangan dan mengubah sedikit kedudukan tetapi aku masih lagi tidak dapat rungkaikan tautan. Aku sekali lagi memandang ke arah Zarif apabila ibu jarinya mula mengusap tapak tanganku.

Apa yang dia cuba lakukan? Aku menarik nafas dengan perlahan supaya kelihatan tenang dan seolah-olah tiada apa yang terjadi. Raut wajah aku cuba kawan agar kelihatan seperti biasa. Tumpuanku beralih lagi ke arahnya apabila ibu jarinya itu bergerak di atas tapak tanganku dengan membentuk huruf 'S'.

Menyedari tumpuanku beralih kepadanya, Zarif meneruskan lagi dengan membentuk huruf 'O'. Aku terus menanti untuk mengetahui apa yang dia ingin katakan. Apabila huruf 'R' digandakan dua kali barulah aku tahu perkataan yang dilakarkan dengan ibu jarinya adalah 'SORRY'.

Bukan Untuk DimilikiWhere stories live. Discover now