Sempat juga dua kali aku rosakkan masakan Ilya, kalau kali pertama aku masukkan garam tapi kali kedua pula aku lebihkan gula di dalam bubur kacang yang dimasaknya. Cukuplah setakat dua kali, kalau aku teruskan begini, pasti dia dapat mengesyaki perbuatanku. Cara kotor ini aku tinggalkan dan digantikan dengan cara halus melalui menukar penampilanku.
Cara hidupku yang sebelum ini agak bebas sudah lama aku tinggalkan semenjak aku bersumpah untuk memiliki Airil kembali. Perangaiku pula sudah ada sedikit perubahan yang menuju ke arah kebaikan, aku sudah tidak melawan lagi kata-kata papa dan aku tidak lagi menunjukkan perangaiku yang satu itu. Sekarang ini aku hanya perlu tukar penampilanku kepada yang lebih sopan.
"Rayqal sekarang..."
Fikiranku yang tadinya sibuk memikirkan tentang perubahan diri terus hilang apabila Tiara tiba-tiba sahaja menyebut nama Rayqal. Apa yang dia bebelkan dari awal perbualan kami melalui telefon aku hanya dengar dan sekadar memberi respon yang acuh tak acuh tapi bila nama itu disebut, aku tumpukan sepenuh perhatian terhadapnya.
"Dah tak macam dulu, I rasa dia banyak berubah. Tapi dia berubah ke arah kebaikan, I'm really happy for him."
Suara Tiara bercampur di antara gembira dan kecewa, dia gembira Rayqal sudah berubah ke arah itu dan dalam masa yang sama, aku tahu yang lelaki dia suka itu mengalami perubahan yang bercanggah dengan dirinya. Aku? Aku pula merasakan itu yang terbaik untuk Rayqal. Walaupun ada perasaan rindu buatnya, tapi aku selalu ingatkan yang kami berdua tidak sesuai untuk saling melengkapi. Aku berharap dia akan bertemu dengan perempuan yang jauh lebih baik dari aku.
"Tia, I ada kerja sikit. Kita cakap lain kali eh?"
Aku memutuskan untuk mematikan talian kerana Tiara sepertinya ingin meneruskan lagi ceritanya mengenai Rayqal. Sudah lama aku kuburkan perasaanku terhadapnya dan kalau Tiara berterusan bercerita mengenai Rayqal, aku takut aku akan terus teringatkan dia. Kisah kami biarlah tinggal sebagai kenangan sahaja.
Berbalik kepada perubahan diri yang aku maksudkan, tujuh puluh peratus sudah terlaksana. Perangai dan cara hidup aku yang tidak semenggah itu sudah lama aku tinggalkan, kini hanya penampilanku sahaja yang perlu di tukar. Aku harus tunjukkan aura yang positif kepada orang yang berada di dalam rumah ini terutama sekali Airil.
Aku memerhatikan Ilya yang sedang membetulkan tudung yang tersarung kemas menutupi mahkotanya. Dia merapikan jarum yang tersemat pada selendang yang dipakainya manakala dress muslimah yang tersarung pada badannya itu membuatkan kecantikannya menyerlah. Aku tidak boleh menafikan kenyataan itu, dia memang cantik.
"Ilya nak pergi mana?" Aku menegurnya yang sedang leka menyempurnakan penampilannya. Selepas makan tengah hari, aku pulang ke rumah. Alasan tidak sihat aku berikan kepada Iskandar padahal aku ingin lihat apa yang seteru utamaku ini lakukan di rumah.
"Nak keluar kejap, nak cari barang." Dia berkata dengan senyuman manis tapi itu adalah racun bagiku. Bahagia dia merupakan sengasara aku. Tidak lama lagi aku pasti yang senyuman itu tiada dan yang tinggal hanya lah air mata.
"Tak ada class ke hari ini?" Aku teruskan bertanya.
"Tak ada, cancel last minute."
Aku hanya mengangguk tanda faham. Sebenarnya bagus juga kalau dia berada di rumah ketika ini, senang sikit rancangan yang aku atur dengan Nadzhan. Langkah pertama adalah, temukan Ilya dan Nadzhan kembali. Pertemuan itu akan menjadi titik bermulanya kisah mereka.
"Teman akak pergi shopping?" Aku menghampirinya.
"Eh? Tadi Kak Sya kata tak sihat."
"Tu tadi, sekarang dah rasa okay. Rasa bosan pulak, lagi pun Ilya nak keluar kan?" Alasan aku cipta supaya dia bersetuju. Ketika aku ternampak Ilya berada di rumah sebentar tadi, aku menghubungi Nadzhan untuk menjalankan rancangan kami ini.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...