-02-

657 39 13
                                    

Dengan kotak kecil bersaiz A4 yang sangat sedikit isinya hanya berupa dua tiga buah buku undang-undang, sticky note , buku nota berconteng semberono serta beberapa batang pen dan dua batang pen penanda, dia menapak perlahan-lahan.Masih bingung dan terkejut.Dua tiga orang yang berpapasan dengannya hanya mengerutkan kening dan ada pula menatapnya dengan raut wajah mencebik.

Dia tidak habis fikir apa kesilapan yang sudah dilakukannya sehingga dia ditukarkan serta-merta daripada Unit Jenayah 11 ke Unit Teknikal 6 .Tersalah tangkapkah dia? Rasanya tidak.

Ataupun pernahkah dia melepaskan tembakan dengan tidak mengikut prosedur operasi standard? Jauh sekali.Sepanjang dia bertugas di Unit Jenayah 11 itu, dia hanya pernah mengacu pistol nya tetapi memetik picu rasanya tidak ada kerana dia arif.Pistol dan melepaskan tembakan adalah pilihan terakhir yang dia ada itupun hanya apabila berhadapan dengan situasi antara hidup dan mati.

Melepaskan tembakan dengan tidak mengikut prosedur operasi standard hanya akan mengakibatkan dia terpaksa menulis surat penjelasan yang panjang berjela dan mengepilkan sekali laporan balistik yang rumit dan menyusahkan.Belum lagi mengambil kira risiko dibuang kerja atas tuduhan yang aneh-aneh.

Atau dia dipindahkan disebabkan rekod prestasi yang terlalu buruk kah? Apakah kejayaan Alfa Team membongkar satu sindiket pemerdagangan orang dengan penangkapan tiga pengendali premis serta menyelamatkan ratusan orang mangsa boleh dikategorikan sebagai buruk?

Hanya seminggu yang lepas Alfa Team yang diketuainya bersama lima anggota bawahannya itu berjaya menumpaskan sindiket tersebut setelah melakukan risikan dan siasatan hampir lima bulan.

Bukan imbalan insentif berupa berkeping-keping wang kertas atau sijil penghargaan dan jauh sekali pangkat mereka dinaikkan secara Medan Luarbiasa ( PML) , memadai jika usaha keras mereka selama berbulan-bulan dihargai namun sebaliknya-lihatlah apa yang mereka berenam dapat !

Mengenangkan wajah lelaki separuh usia yang hanya senyap dan bersandar nyaman dan tidak memperdulikan wajah terkejutnya ketika menyerahkan surat arahan penempatan itu, darahnya meruap hingga ke ubun-ubun.

Jika tidak memikirkan empat butir bintang berbucu lima yang tersemat di bahu lelaki itu, mahu sahaja dia meninju rahang pegawai atasannya itu walaupun dia adalah sahabat dari kecil ayahnya dulu.Terjengkang ke belakang sekalipun dia tidak perduli.

Hakikatnya-dia ditukarkan serta-merta tanpa alasan yang kukuh.Dan sebab yang didengarnya paling tidak masuk akal.Lelaki itu menukarkan dia semata-mata untuk melindunginya !

Wah...alasan sampah apakah??

Bukan itu sahaja.Lima lagi anggota Alfa Team di bawah jagaannya juga menerima nasib yang tidak jauh lebih baik daripadanya. Dua orang daripadanya di tukarkan ke Sektor 1 Pangea Barat. Seorang dipindahkan ke Unit Jenayah Lalulintas di Sektor 9 ,Pangea Tenggara.

Lebih malang baki dua orang pula ke Sektor 10 Pangea Timur yang terpencil hinggakan kaum jin sahaja barangkali berfikir lapan kali untuk membuang anak di sana !

Untuk sampai ke sana sahaja perlu menaiki bot menongkah arus ke hulu dengan kebarangkalian untuk bot itu terbalik sangat tinggi dan para penumpangnya berpeluang cerah ditelan mentah-mentah oleh buaya yang berumahtangga di dalam sungai itu sehingga membesar menyamai saiz tong.

Simpang-siur fikirannya berserta berkarung-karung kemarahan tidak terluah mati mendadak di hadapan sebuah pintu kaca paling hujung di blok bangunan tersebut.Papan kecil berwarna putih yang kusam dengan tulisan Unit Teknikal Dan Pendataan Statistik ( T 6) yang bertulis dengan tinta biru tua menyambut pandangan matanya.

Dengan lumut-lumut hijau tumbuh di atas beranda yang terkena simbahan air setiap kali hujan turun,pasu yang tidak berbunga mengapit pintunya serta daun pintu yang berhabuk begitu, dia semakin tahu apa yang bakal dihadapinya di unit tersebut.

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now