-37-

304 31 6
                                    

" Arrghhhhhhhhh...."

Suratkhabar di tangan Eiiden terpelanting lalu menangkup kepalanya sendiri manakala Ken yang menyertai Eiiden di halaman hadapan terlonjak berdiri sehinggakan selipar bertapak rata yang mendakap kakinya terlucut dan serentak kedua-duanya berlari menuju ke sisi kanan rumah tersebut apabila kelihatan ada asap yang mengepul dari tingkap dan suara Ara melengking tinggi bagaikan penggera amaran Tsunami.

Suara Ara yang menjerit dan bau api bukan sahaja mengejutkan Eiiden dan Ken di halaman hadapan malah Ryu,N dan Vixx yang berada di dalam bilik masing-masing berhimpitan menuruni tangga tanpa memperdulikan bahu masing-masing yang berlaga sesama sendiri .

N yang bertubuh kurus seperti tiang lampu terhuyung-hayang dilanggar bahu tegap Vixx tetapi tidak ada sesiapa yang perduli.Malahan Mark yang duduk menjulaikan kaki ke gigi air berlari seperti tidak cukup tanah mendengar suara jeritan yang cukup dikenalinya itu.

Rahang Ken seakan tergantung kaku dan dia tidak tahu sama ada hendak tertawa atau sekurang-kurangnya membekuk leher tiga makhluk perosak  ketenangan itu yang sempat membuatkan jantung Ken hampir tergolek jatuh ke kakinya sendiri.

Mark mengap-mengap menarik nafasnya sambil berpaut pada pintu sementara N,Vixx dan Ryu terkaku.Eiiden sudah memijat dahinya.Adegan itu terlalu kejam untuk ditertawakan tetapi ia seratus peratus kelihatan melucukan pada penglihatan mereka.

Di hadapan mereka ada ruangan dapur yang masih dipenuhi asap dengan bau hangus dan Ara yang berdiri seperti pahlawan mengacu muncung pemadam api ke arah Rein yang tegak dalam taburan serbuk putih tidak ubah seorang manusia salji sementara itu Aiiden mengacu sudip dengan satu tangannya pada pinggang dan wajahnya jengkel bukan kepalang.

Wajah Ara dan Rein sudah seperti wajah anak yang tahu akan dimarahi oleh ibunya akibat tertangkap mencuri buah mempelam tetangga sebelah manakala wajah Aiiden mirip dengan ibu  yang kelelahan mengurusi dua orang anak degil yang hanya tahu mendatangkan masalah dan sering mendapat rungutan daripada warga kejiranan akibat telatah hantu mereka.

Mark menepuk dahinya sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala.Ruangan dapur itu yang kelihatan kemas berubah seperti medan perang dan berantakan sekali.Pisau tergeletak di atas lantai.Ada sayur-sayuran di atas meja kabinet dan Ara serta Rein adalah imej paling teruk daripada seluruh kejadian.

Ara dengan rambutnya seperti baru disedut pembersih hampagas dengan wajah coreng-moreng  manakala Rein bertukar menjadi menara putih dan masih memegang satu kuali bertangkai pada tangannya dan kuali itu masih berasap.

Alat pemadam kebakaran automatik di atas siling  yang akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja ia mengesan asap tebal pada ukuran tertentu itu berputar-putar ligat sambil menyemburkan air dari muncungnya.

Maka di situlah mereka bertiga berdiri.Aiiden yang bercekak pinggang manakala rambut Ara semakin melepek di atas kepala dan debu putih daripada alat pemadam kebakaran ditangan Ara meleleh perlahan menuruni tubuh jenjang Rein bagaikan lilin yang terkena haba panas.

"Berapa kali aku dah cakap jangan usik apa-apa ?"

Aiiden mengacu sudip kearah Rein sementara Ara pula berjalan ke sebelah Rein dan menatap Aiiden yang naik angin itu dengan wajah minta dikasihani walaupun tangannya masih memegang  pemadam api.

" Aku cuummmaaaa..."

" Aku??"

Suara Aiiden naik setengah oktaf dan menjegil mata membuatkan Ara meraih lengan Rein tanpa sedar.Aiiden dalam keadaan biasa sudah cukup memperlihatkan aura intimidasi apatah lagi dalam keadaan dia sedang naik minyak begitu.

" Err...kamiii.." Ara menyahut dari celah ketiak Rein."Kami cuba untuk menyediakan makan malam tapi Rein buatkan kuali tu berasap dan ada api dan akuu pu..."

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now