-52-

259 30 14
                                    

Darius berdiri tegak dan fikirannya seperti berhenti berfungsi secara waras apabila melihat seorang demi seorang pemuda berwajah bukan biasa-biasa itu muncul dari dalam beberapa buah kenderaan yang berbeza dan tempat di mana mereka berhenti juga kelihatan tersorok dipinggir sebuah tasik yang terpencil.Walaupun sinaran matahari tegak memacak ubun-ubun,namun oleh kerana pohon disekitar tasik tersebut rapat dan tinggi,keadaan sekitar menjadi redup dan sejuk.

Dia hanya mampu terkebil-kebil seperti orang dungu melihat van pengangkut kepunyaan Biro Keselamatan Persekutuan itu digerakkan secara mengundur menuruni pelantar salah sebuah treller panjang yang dipakirkan bersebelahan sebuah lagi treller lain yang bersaiz sama.

Seorang pemuda berambut hitam keunguan melompat keluar dari treller yang satu lagi dan diikuti oleh seorang lagi pemuda yang berwajah bulat dan menyenangkan untuk dipandang lama-lama dengan rambut cokelatnya yang disikat menutupi dahi malah sempat pula melambainya mesra dan melayangkan senyuman lebar.

Wajah pertama yang sayup-sayup hinggap dalam ingatan Darius adalah wajah lelaki berambut hitam kehijauan yang pernah dilihatnya lama dulu.Berkenalan secara tidak sengaja apabila lelaki itu menghantarkan Ara.Eiiden jika Darius tidak silap.Lelaki yang pernah menatapnya dengan pandangan menyelidik seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang tidak baik kepada Ara.

Eiiden dan lelaki berambut cokelat yang menghampiri warna karamel itu tidak perduli dengan berpasang-pasang mata yang ada disitu.Tanpa berkata sepatah pun,dalam pergerakan yang pantas mereka menanggalkan pakaian seragam pasukan keselamatan yang membalut tubuh tegap tinggi masing-masing dan menyisakan hanya seluar panjang hitam serta kasut bertapak getah tebal -kelengkapan khusus anggota pasukan keselamatan jika sedang melakukan kerja di luar pejabat.Pakaian seragam operasi begitu mereka menamakannya.

Pada satu sisi yang lain, dua orang lagi pemuda yang juga bertubuh tinggi dan segak kelihatan menanggalkan pakaian seragam yang membalut tubuh mereka.Seperti Eiiden,mereka juga bergerak dengan senyap tetapi pantas.Seorang daripada mereka mengenakan cermin mata dan seorang lagi luar biasa jinjang kakinya dan membiaskan nuansa aneh dengan warna rambutnya yang hitam bercampur warna ungu yang cerah.

Sementara empat susuk tubuh itu sibuk menanggalkan pakaian seragam pasukan keselamatan,ada pula dua orang pemuda lain keluar dari dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hitam berkilat.Pemuda berambut hitam kemerahan itu sepertinya adalah susuk tubuh paling tinggi antara mereka semua dan rakannya yang seorang lagi mirip sekali dengan wajah lelaki yang dikenali Darius sebagai Eiiden itu tetapi hanya dibezakan dengan warna rambutnya yang berwarna hitam abu-abu dengan sedikit tona yang menghampiri warna keperakan.Sambil menanggalkan baju yang dipakainya,pemuda itu kelihatan mengendus bau pada tubuhnya sendiri lalu meringis dengan riak jijik.

Selepas memastikan keempat-empat mereka yang sudah menanggalkan pakaian seragam itu dan menyumbatkan baju tersebut ke dalam perut van yang dinaiki oleh Darius sebentar tadi,tanpa bersuara satu susuk tubuh dengan rambut hitam bertona perang tua yang baru sahaja melompat turun dari salah sebuah treller panjang beroda dua belas yang dipakir di gigi jalan itu tampil ke hadapan.Senyap dan dengan mata ditutup,pemuda itu menggerak-gerakkan tangannya ke udara bagaikan sedang cuba menjangkau sesuatu yang tidak kelihatan.

Tiba-tiba sahaja ada angin kasar yang berhembus entah dari mana membuatkan spontan Darius terundur ke belakang dan terasa rahangnya terbuka tanpa sedar apabila melihat sendiri van dengan jata rasmi Biro Keselamatan Persekutuan itu terangkat hampir satu meter dari permukaan tanah bagaikan ditunjang oleh satu kekuatan yang tidak kelihatan dan perlahan-lahan van terapung itu bergerak ke tengah tasik.

Sebaik sahaja van tersebut berada di tengah tasik yang terpencil itu,pemuda berambut cokelat gelap yang menghampiri warna karamel yang tidak lagi menyarung seragam pasukan keselamatan itu pula maju kehadapan dan telinga Darius dapat menangkap butir-butir bicara dalam bahasa yang aneh.Dan kali ini Darius benar-benar terjajar ke belakang dan hampir tergelincir apabila tiba-tiba sahaja muncul api berwarna putih kebiruan dan menyelubungi kenderaan yang sedang terapung diudara itu.

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now