-70-

333 29 14
                                    

Keii bingkas bangun dengan mata membola apabila merasakan ada sesuatu yang hangat merayapi bahunya namun apa yang dilihatnya adalah wajah pucat Kiyo yang kelihatan sudah bersih sedang tunduk merapikan selimut pada bahunya.

Menyedari tindakannya membuatkan Keii terjaga daripada lena singkatnya setelah melalui satu malam yang terasa luar biasa panjang,Kiyo pantas meluruskan tubuhnya lalu melangkah setapak ke belakang dan menundukkan kepalanya sekilas.

Anak lelaki sulung Keluarga Artemis itu duduk semula seraya meregangkan lengan dan lehernya yang terasa sengal.

Pantas matanya melilau ke sudut kanan bilik tersebut di mana sekujur tubuh terbaring ditutupi selimut sehingga ke paras dada.Ada tiub-tiub halus tersambung pada lengannya mengalirkan cecair jernih dan merah pekat malahan ada pula bunyi bip yang memenuhi indera pendengarannya.

" Selamat pagi,Tuan Keii.."

" Kiyo." Keii bingkas dan selimut yang diserkupkan Kiyo ke bahunya diletakkan ke muka sofa dimana dia berbaring sepanjang malam." Kiyo tak apa-apa?"

Kiyo melayangkan senyuman sekilasnya lalu menguak langsir berat yang menutupi daun tingkap wad VVIP itu.Serta-merta cahaya matahari melimpah masuk dan membuatkan ruangan tersebut menjadi terang.

" Saya tak apa-apa,Tuan."

" Darius?"

Pemuda tersebut tidak segera menyahut tetapi sebaliknya mencapai selimut di muka sofa lalu dilipatkan kemas.Sambil melirik jam bertali perak yang melingkari lengannya dia menyahut.

" Lagi lima belas minit doktor akan melawat Tuan Besar.Sementara itu,Tuan boleh mandi dulu dan saya akan minta kakitangan pantri hospital sediakan sarapan."

" Macam mana dengan wartawan?"

" Saya sudah mengarahkan kepada Ketua Pengawal Keselamatan agar tidak membenarkan seorang pun wartawan memasuki hospital ini." Kiyo menyelak tabir lebih lebar seraya menjenguk ke bawah " Tapi,macam yang Tuan duga.Tengoklah."

Dengan langkah yang perlahan,Keii menapak menghampiri tingkap dan tunduk ke arah perkarangan hospital.Hari masih terlalu awal tetapi perkarangan hospital sudah riuh-rendah seperti pasar pagi.

Puluhan susuk tubuh dalam balutan kot tebal yang masing-masing menyandang kamera kelihatan berlegar-legar di perkarangan hospital tersebut dan Keii tahu mereka tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang serangan besar-besaran yang berlaku di Istana Templar.

Keii tidak perlu menghidupkan televisyen tetapi dia tahu serangan itu adalah topik paling hangat dan menjadi tajuk utama buletin pagi di semua stesen televisyen mahupun stesen radio seluruh Pangea dan menjadi tajuk tular dalam laman sosial.

Tepat ketika Keii selesai mandi dan keluar semula dari bilik mandi dengan pakaian bersih dan tampang lebih terurus,kedengaran bunyi bip panjang dan salah seorang daripada empat pengawal keselamatan yang berkawal mengapit pintu tersebut menegapkan diri sementara Kiyo meninjau sebentar siapa yang menekan loceng tersebut di sebalik pintu melalui kamera keselamatan khas.

Menyedari bahawa lima orang lelaki dalam balutan jubah doktor yang putih bersih tersebut adalah kumpulan doktor pakar yang ditugaskan khusus untuk menjaga Darius juga Tuan Zhenith,Kiyo menghampiri pintu lalu menekan kombinasi nombor pada peranti kekunci digital pintu tersebut dan serta-merta ada bunyi bip yang panjang kedengaran.

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now