-54-

258 32 12
                                    

IMBAS SEMULA
KEII

Bayang-bayang tinggi lelaki bertubuh kekar itu menutupi wajah Keii dan imej terakhir yang dilihat Keii adalah sebilah pedang yang diangkat tinggi melebihi paras kepala dan kemudian dihayun sepenuh tenaga tepat ke arah lehernya sebelum telinganya menangkap bunyi berdesing yang tajam dan nyaring  lalu segalanya bertukar gelap.Dia tidak mampu untuk mengelakkan libasan mata pedang tersebut sama sekali.

Namun penglihatan gelap yang membungkus penglihatannya itu perlahan-lahan bertukar kemerahan dan semakin terang dengan cahaya putih yang berkilauan sementara rasa sejuk yang merambati tubuhnya terasa mulai hangat lagi.Telinganya yang tadi hanya dipenuhi kesenyapan entah sejak bila mulai menangkap bunyi besi berlaga dan sorak-sorai yang sayup.Malahan tidak ada pula mata pedang yang menyinggahi mana-mana bahagian tubuhnya.

" Keii.."

Tangan yang hangat menepuk pipinya berkali-kali memaksanya kembali membuka mata dan seraut wajah tirus berambut perang sedang menatapnya dengan senyuman terkembang pada bibirnya.

Sementara pemuda itu melelapkan tangan pada luka-luka kecil di sekujur tubuh Keii,matanya menangkap tiga susuk tubuh lain di hadapan sana sedang menghunus senjata masing-masing.Aneh dan langsung tidak masuk akal bagaimana setiap kali tangan pemuda tersebut dilekapkan ke arah luka pada tubuhnya,setiap kali itu jugalah ada cahaya hijau yang terbit dari celah jari pemuda tersebut bersama rasa hangat yang nyaman.

Salah seorang daripadanya berambut hitam arang dan kelihatan sedang tunduk mengelakkan libasan potongan besi yang dihayunkan tidak teragak-agak kepadanya.Ada ketikanya dia menggolekkan diri ke tepi dan bingkas sepantas kilat lalu melibaskan pedang membuatkan penyerangnya kucar-kacir.Malahan bukan sekadar libasan pedangnya pantas bahkan tatkala dia melompat tinggi,tubuhnya ringan sahaja seolah-olah menafikan hukum tarikan graviti.

Di satu sudut yang lain,kelihatan pula seorang lelaki lain berambut hitam kemerahan yang tinggi lampai dan berkulit cerah sedang menghadapi serangan tiga orang lelaki sekaligus dengan tangan kosong.Dengan gerakan yang lincah,tepat dan tangkas-salah seorang daripada penyerangnya terlentang akibat menerima satu penumbuk tepat di bawah dagu.

Manakala lelaki terakhir yang dilihat Keii berambut hitam dengan tona keunguan itu walaupun tubuhnya nampak tidak setegap dua susuk tubuh yang lain,Keii tahu pemuda itu juga memiliki kemahiran mempertahankan diri yang cukup bagus.

Maka tidak sukar baginya untuk mengelakkan serangan lelaki bersenjatakan besi pendek ataupun kayu baseball yang jauh lebih tegap daripada tubuhnya sendiri.Pemuda itu kelihatan ringan meliang-liuk tetapi penumbuk dan penendangnya padu sekali membuatkan penyerangnya tumbang tertiarap ke atas permukaan jalan.

" Tunggu disini dan jangan bergerak ke mana-mana.."

Begitu kata pemuda berambut perang tersebut lalu berdiri sambil menyinsing lengan baju yang membalut tubuh tegapnya.Selepas berundur dua tiga tapak menjauhi Keii yang terbaring berlumuran darah,dia berdiri tegak dan mulai menggumamkan sesuatu dalam bahasa aneh yang tidak pernah didengari oleh Keii selama ini.Dan serta-merta tubuh Keii seperti dibaluti satu hawa suam dan kontra sekali dengan suhu dingin malam penghujung musim luruh ketika itu.

Sambil terbatuk,Keii bangun perlahan bertunjangkan sikunya yang berdarah dan dalam keadaan masih terpinga-pinga dengan kedatangan empat susuk tubuh pemuda dihadapannya itu,melalui sinaran lampu kenderaan dihadapannya-Keii dapat melihat bagaikan ada satu tabir tipis seperti buih sabun yang mengelilinginya dan melindunginya daripada asakan angin sejuk malam itu.Dan Keii tidak tahu bagaimana atau dari mana ia muncul.

LAST HUNTER II : VARTRAWhere stories live. Discover now