Bab 27

361 6 0
                                    


MASUK sahaja ke kereta, sebelum sempat Harry menghidupkan enjin kereta, Qaseh sendengkan tubuhnya ke sebelah.

"Siapa tumbuk awak?"

"Ryan."

"Reason?"

"Ellise!" sepatah ditanya Qaseh, sepatah juga Harry menjawab. Lagi meninggalkan tanda-tanya buat Qaseh.

"Dah dua hari saya tak nampak Ellise. Ryan bawa dia lari ke mana pula kali ini?"

Dada Harry mula berdebar-debar. "Kita pergi makan dulu. Nanti saya cerita apa yang berlaku."

"Baiklah!" dengan jawapan Qaseh, Harry pulas stereng dan membawa Qaseh keluar dari kawasan perumahan Taman Bukit Maluri.

"Harith... kalau saya buat satu permintaan yang agak keterlaluan, boleh tak awak terima?"

Harry terkesima. Permintaan yang macam mana? "Apa dia? Awak nak saya jangan dekat dengan Ellise lagi? Awak cemburu?"

"Bukan setakat Ellise saja. Kalau boleh saya nak awak jangan lagi rapat dengan Ryan."

"Hah? I don't think so."

"Baru-baru ni saya dipinang keluarga ketua kampung. Abah saya nak jodohkan saya dengan bakal anaknya yang sedang belajar di Mesir. Bakal pensyarah fakulti Syariah dan Undang-Undang di UIA tak lama lagi."

Terkelu Harry seketika. Patutlah Qaseh beria-ria mahu mengajaknya keluar hari ini. Rupa-rupanya dia ada saingan. Saingannya pula, bukan calang-calang orang. Harry sedar, dia jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan calon menantu pilihan keluarga Qaseh. "Awak terima pilihan orangtua awak?" seketika, suasana romantis di Bora Asmara hilang seri. Beraneka lauk-pauk yang berada di depan mata juga sudah hilang enaknya.

"Saya beri tempoh seminggu pada Abah saya. Entahlah! Susah untuk saya menolak. Saya tahu, Abah tentu mahukan yang terbaik buat saya. Kalau saya bawa awak berjumpa Abah dengan pipi awak yang lebam tu, kemungkinan awak bakal di'pangkah' terus!"

"Apa ada dalam hati awak, Qaseh? Don't you love me?"

"Cinta? Saya takut nak memperjudikan cinta pada kaki pukul."

Harry tersentak. "Saya bukan kaki pukul. Saya cuba mempertahankan kawan baik awak. Ellise minta saya bantu dia keluar dari kondo Ryan. Salahkah saya tolong seorang kawan?"

"Habis tu, Ryan cemburu? Sebab tu dia tumbuk awak? Awak yang cari pasal dengan lelaki yang lebih tegap dan besar dari awak."

Tergeleng-geleng kepala Harry. Tak perlulah dia terangkan dengan terperinci apa yang sudah dilakukan Ryan terhadap Ellise. Tak mungkin Qaseh boleh terima perlakuan ganas Ryan.

"Fine! Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Terpulang pada awak untuk menilai. Kita berkenalan melalui Ellise. Dalam tempoh sebulan yang saya berikan pada awak, acapkali juga saya berjumpa Ellise. Samada jogging atau keluar makan. Saya mahu jujur dengan awak. Saya dan Ellise.... hanya setakat kawan baik."

"Saya tak percaya. Entah-entah awak pun sama macam Ryan. Tergoda dengan Ellise yang cantik,"

"Kalau begitu, awak terima ajelah bakal suami pilihan orangtua awak. Mungkin silap saya yang terburu-buru mahu memperisterikan gadis cantik dan sopan macam awak. Tapi saya tersilap. Lembut di luar, tak semestinya lembut di dalam."

Kali ini Qaseh pula tersentak bila dikecam. Dia sedar tersilap menyelar Harry berapi-api sebentar tadi. "Uzair Rahman mahu menikah secepat yang mugkin. Dan kemudian, saya harus ikut suami ke Mesir selama enam bulan sebelum kembali ke Malaysia semula." Perlahan suara Qaseh memberi kenyataan.

RYAN-ELLISE - Mungkinkah Ada Cinta?Where stories live. Discover now