Bab 39

358 7 0
                                    


PETANG Rabu, rutin Ellise bertugas di klinik lagi. Di hari yang lain semasa tiada lawatan doktor, Ellise membantu petugas rumah Nur Kasih menguruskan warga emas yang sudah uzur. Langsung tidak jijik memandikan mereka malah melayani kerenah orang-orang tua yang pelbagai dengan berhemah. Sarina sendiri kagum dengan adik angkatnya yang tidak pernah mengeluh dengan kerja-kerja seharian. Tidak seperti petugas yang dibayar gaji. Terlalu banyak komplen dan adakalanya kurang sabar. Sudah berpuluh pekerja bertukar ganti kerana tidak tahan bekerja dengan warga emas yang cerewet.

Dr. Farish masih di kerusi pemandu ketika dia dapat menangkap kelibat Lisa di dalam klinik yang sedang mencatatkkan sesuatu di meja. Tak jadi dia mematikan enjin. Dibiarkan sahaja penghawa dingin terpasang. Entah mengapa, ada sesuatu yang mengusik hatinya setiap kali dia terpandangkan raut wajah Lisa. Kata Sarina, Lisa bukan beragama Islam. Bila ditanyakan kenapa Lisa mengenakan shawl di kepala, Sarina tidak menjawab. Sebaliknya, dia disyorkan menanya pada empunya diri.

Ah! Sesuatu terbuku di jiwa. Sejak bertemu Lisa Sabtu lepas, hatinya terus sahaja tertarik pada gadis comel itu. Cantik! Akuinya tidak sudah-sudah.

Yang Lisa pula, seolah tidak terkesan langsung dengan wajah kacak yang dia punyai. Berkali-kali dia cuba merenung gadis itu, tapi Lisa buat bodoh sahaja. Terkilan juga dia dengan Sarina. Awal-awal lagi Sarina sudah mencanangkan mereka bakal bertunang. Maka, dia tak berpeluang mendekati si cantik itu.

"Hai Lisa..."

Ellise mendongak. Oh! Dr. Farish sudah sampai. Cepat-cepat dia bangun dari tempat kerusi yang sepatutnya diduduki Dr. Farish, bukannya dia.

"Maaf, doktor. Er.. sila duduk," Ellise meminggir ke sisi meja sambil memeluk buku rekod yang tebal.

"Awak sihat?" Dr. Farish mengutuk diri. Sebanyak-banyak soalan yang berlegar di kepala, itu saja yang keluar dari bibirnya?

"Sihat, macam yang doktor tengok saya sekarang." Dengan fasih, Ellise menjawab. Dr. Farish yang nampak keliru tidak dihiraukan.

"Er... hari ni tak ramai penghuni Nur Kasih yang perlu pemeriksaan. Cuma, ada seorang budak tak boleh bangun. Dia demam sejak semalam. Sekejap lagi, saya bawa doktor ke biliknya."

"Baiklah!" angguk Dr. Farish. Wajah Lisa yang cantik dengan shawl shifon berwarna biru lembut itu direnung.

Ellise serba-salah direnung sebegitu. Dia melangkah ke luar klinik. Menunggu abang Rahman yang sepatutnya datang membawa Pakcik Ishak, Pakcik Karim dan makcik Salwa ke klinik. Mana abang Rahman ni? Selalunya tak pernah lewat.

10 minit menunggu, barulah nampak abang Rahman yang mengiringi ketiga-tiganya. Ellise lega. Duduk berdua-duaan dengan Dr. Farish, dia rasa gusar. Cara Dr. Farish merenung dia tadi, agak menyeramkan. Kenapa hari ini Dr. Farish nampak lain?

Selesai tugas membantu Dr. Farish membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga warga emas tadi, Ellise ke bilik belakang. Sebentar lagi dia mahu bawa Dr. Farish melawat adik Khushairi di biliknya yang agak jauh nun di bangunan paling belakang.

Ellise mencuci tangan di singki. Sambil itu, dia menilik wajah sendiri di cermin. Cuaca yang membahang di luar tadi buat kulit mukanya berminyak-minyak. Terpaksalah dia mencuci muka dulu.

Tak mahu membasahkan shawl, Ellise leraikan pin tudungnya dan sangkut kain panjang ke palang berhampiran singki. Kemudian, wajahnya dibasahi dengan air bersih.

Ketika itu juga, Dr. Farish masuk ke ruang belakang untuk ke bilik air. Terkesima melihat Lisa yang terbongkok di singki dengan rambut ikal yang lebat. Berderau darah mudanya. MasyaALLAH, cantik sekali!

Bila Ellise mendongak, terbias arca Dr. Farish di cermin yang sedang merenung tubuhnya dari belakang. Terkejut, terus dia berpaling.

"Lisa, kenapa dengan pipi awak?"

RYAN-ELLISE - Mungkinkah Ada Cinta?Where stories live. Discover now