Part 6

8.1K 288 17
                                    


MEGAT cepat-cepat duduk di atas kerusi ketika pintu pejabatnya diketuk tiga kali. Betul-betulkan kot, sikat rambut yang berjuntai di dahi dengan jari, senyum nampak gigi dan memberi kebenaran untuk masuk. Dia tahu siapa yang berada di luar ketika itu. Sara Medina!

Senyumannya kian melebar sebaik sahaja Sara melangkah masuk sambil membawa muk berisi minuman. Ada asap nipis keluar dari muk sederhana besar itu. Bertebaran di udara!

"Ini nescafe yang Tan Sri mintak..." Sara letakkan muk berwarna hijau itu di atas meja. Tak diendahkan Megat yang sedang memandangnya sambil tersengih-sengih. Rimas sungguh!

"Erm, you yang buatkan?" soal Megat. Sengaja nak panjangkan perbualan. Lagi lama Sara di situ, lagi bagus. Bolehlah dia teruskan misinya! Nescafe di atas meja dibiarkan tanpa disentuh. Alah, bukannya dia haus sangat pun. Nescafe tu cuma alasan saja.

"Ya, Tan Sri! Itu kan tugas saya..." Sara senyum tawar. Ikutkan hati, nak saja dia cucuk biji mata Megat dengan garpu. Biar jadi Kassim Selamat. Baru ada akal! Dah ramai perempuan yang jadi mangsanya, tapi masih tak puas-puas lagi nak menggatal.

"Kenapa Tan Sri tengok saya macam tu?" Sara dah tak boleh tahan melihat aksi Megat yang macam kucing gila nak mengawan. Terus dia tanya soalan itu. Lantaklah Megat nak fikir apa pun.

Erk? Megat terkesima. Berada dalam mod jeda beberapa saat sebelum berdeham dan bersuara lagi.

"Tak ada apa-apa. Mata I ni kadang-kadang kejang. Lebih-lebih lagi kalau tengok benda-benda indah macam you. Tengok ni, mata I tak boleh tutup..." Megat jegilkan matanya luas-luas. Tak sampai tiga saat, matanya rasa pedih dan mula berair. Haih, gigih pula dia!

"Mungkin saraf mata Tan Sri dah rosak sebab selalu sangat tengok benda-benda yang indah." Selamba jawapan Sara. Tak ada riak bersalah di wajahnya ketika itu walaupun roman Megat berubah mendengar jawapannya. Lantak! Siapa suruh gatal sangat?

Megat cuma ketawa. Pura-pura tak terasa dengan kata-kata gadis itu. Heh, dia tak adalah bodoh sampai tak boleh faham apa yang Sara maksudkan. Tapi, hati dan perasaannya tak penting. Yang penting, misinya harus berjaya tepat pada waktunya.

Megat bangkit dari kerusi. Masih ketawa seraya menapak mendekati Sara yang berdiri di tepi meja. Mata meliar memerhatikan wajah Sara dari sisi.

Ya, dia akui Sara Medina ada nilai-nilai kecantikan gadis Melayu. Berkulit sawo matang. Standart kulit orang Melayu. Hidungnya tidak terlalu mancung dan tidak terlalu kemek. Keningnya lebat dan runcing terbentuk semulajadi.

Dan, bibirnya... Sangat sempurna.

Megat angkat tangan kanan. Niatnya nak letak di bahu Sara, tapi ketika itu jugalah Sara berpaling dan suara Sara yang tegas membantutkan niatnya. Terus tangannya mengeras di udara.

"Kenapa dengan tangan Tan Sri?"

"Hah?" Mata hitam Megat tak duduk diam. Meliar di sekeliling sambil tersengih kerang.

"Tak ada apa-apa." Menggeleng sambil tangan kiri diangkat untuk mengampu tangan kanan.

"Kejang jugak ke?" Nada Sara sarkastik. Ada rasa geram dan ada rasa lucu dengan telatah lelaki itu. Kalau dah namanya playboy, ada saja akal nak menggatal.

"Mungkin sebab tangan Tan Sri tu banyak sangat rosakkan benda-benda indah. Sebab tulah kejang." Sara ketap bibir. Jujur, dia rasa nak ketawa kuat-kuat melihat wajah Megat ketika itu. Kelat semacam. Sahih rasa pedas dengan kata-katanya. Padan muka!

"Tak baik you cakap macam tu. Mana ada I rosakkan anak dara orang. Tak baik tau tuduh-tuduh. Allah marah. I lagilah marah..." Megat letak tangan di dada kiri. Memberi reaksi berjauh hati.

"Eh, mana ada saya cakap Tan Sri rosakkan anak dara orang. Saya cakap tadi Tan Sri rosakkan benda-benda indah. Tapi, orang kata siapa yang makan cili dia rasa pedasnya."

"Taklah! Saya tak rasa pedas pun." Megat capai muk di atas meja. Fuh, berbisa sungguh mulut Sara. Pusing konar kot mana pun dia juga yang terkena. Nescafe di dalam muk segera dicicip.

Amboi, sedapnya! Desisnya dalam hati sebaik sahaja minuman itu masuk ke dalam mulut. Inilah nescafe paling sedap yang pernah dibancuh oleh setiausahanya. Cukup lemak manisnya!

"You letak apa dalam nescafe ni, Sara?" Soalan telus berbaur kagum. Sengaja pula dia bua muka serius. Nak mengusik!

"Kenapa, Tan Sri?" cuak juga Sara mendengar soalan itu. Manalah tahu tak menepati piawaian. Tapi, rasanya dia dah gunakan sukatan yang betul.

"Sedap sangat..." puji Megat. Ikhlas dari hati yang paling dalam. Sebelum ini, setiausaha-setiausahanya gunakan nescafe dari jenama yang sama juga. Tapi, tak adalah sesedap ini rasanya.

Sara ketap gigi. Terasa dipermainkan. "Saya masukkan nescafe dan susu pekat, Tan Sri."

"Betullah tu! Kalau you masukkan milo dengan susu pekat jadi milo panas. Betul tak?" balas Megat bersahaja. Tak kisah sangat walaupun Sara berikan jawapan sinis. Kalau dia mengalah, dia akan kalah sebelum berjuang. Dia akan pastikan apa yang dia rancangkan berjaya.

"Betul, Tan Sri. Erm, kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu ya, Tan Sri. Jangan lupa pukul 2.00 nanti Tan Sri ada temujanji dengan Dato' Hasnan. Saya dah inform Rashwan sediakan semua dokumen penting yang diperlukan." Sara mengingatkan. Baru saja kaki mahu melangkah, suara Megat menjengah telinga.

"Oh, boleh tak you tukarkan tarikh. I ada hal penting petang ni..."

"Hal apa, Tan Sri?" Tajam mata Sara tunak merenung tampang Megat yang langsung tak nampak riak bersalah dengan keputusannya. Pada masa yang sama ternanti-nanti jawapan daripada lelaki itu.

"Hal peribadi..." Megat sengih nampak gigi. Terbayang wajah cantik Fiona sedang menantinya di hotel. Tak sabar!

"Tak boleh, Tan Sri. Waktu Tan Sri bermula jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang setiap hari bekerja adalah di bawah kawalan saya. Lagipun Stella cakap tadi Dato' Hasnan dah lama tunggu untuk temujanji ni," tegas Sara menyuarakan pendapatnya.

"Tapi, I ada hal peribadi yang penting petang nanti..." Megat garu kepalanya yang tak gatal.

"Kalau hal peribadi tu penting sangat, Tan Sri tukar aje waktunya pukul lima petang. Pastikan Tan Sri ada di bilik mesyuarat pukul dua nanti. Saya tak nak nanti Dato' Hasnan anggap pihak kita tak serius dalam projek ni."

Megat diam tidak terkutik. Rasa nak membantah tu ada, tapi lidah terasa kelu seperti diikat kejap. Lebih-lebih lagi renungan Sara tak ubah seperti renungan mak tiri yang jahat. Seram pun ya juga. Ah, parah macam ni!

"Ada apa-apa kemusykilan lagi, Tan Sri?" soal Sara melihat Megat yang diam seribu bahasa. Ada riak tak puas hati di wajah itu.

Tapi, Sara tak peduli. Hal kerja mana boleh tangguh-tangguh. Walaupun syarikat tu Megat yang punya, tapi sebagai seorang setiausaha dia ada hak untuk menegur kalau majikannya buat salah. Tak kisahlah walaupun Megat berada pada kedudukan tertinggi dalam hieraki syarikat.

"Tak ada. You boleh keluar sekarang..." Megat geleng kepala. Jari telunjuk ditala ke pintu.

"Terima kasih, Tan Sri..." Sara pamit senyum. Tunduk sedikit dan berpaling seraya menapak ke pintu.

Megat ketap gigi sambil buat gaya nak cekik-cekik Sara ketika gadis itu membelakangkannya. Siapa bos di syarikat tu? Dia atau Sara? Tak semena-mena soalan itu berlegar di kepala.

Sah-sahlah dia bos! Tapi, kenapa dia tak berani nak membantah cakap Sara? Kalau hari-hari macam ni habis jahanam hidupnya. Megat keluarkan telefon dari poket seluar. Masuk ruangan WhatsApp dan menghantar pesanan untuk ahli Grup Rahsia Kita.

Pukul 9.00 malam ni di tempat biasa. Penting!

Send...

Tak sampai seminit, ada notifikasi menandakan ahli grup membalas. Tapi, Megat dah tak ada mood nak melayan. Dia tengah kusut!

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now