Part 21

8K 276 11
                                    

PUAS dia kalih batang tubuh ke kiri dan kanan. Pejam mata dengan harapan lena akan datang menjemput. Walaupun tidurnya malam itu beralaskan tilam empuk, namun matanya masih berdegil. Tetap segar dan bugar!

Sudahnya dia kalih ke kanan. Merenung bantal di sebelahnya yang tidak terusik. Sepatutnya Megat ada di situ. Tapi, ruang itu kosong. Dia keseorangan terkebil-kebil dalam malap cahaya lampu meja di sisi katil.

Sebelum berbaring tadi berkali-kali dia pegang dan letak telefon. Separuh hati rasa nak menghubungi Megat bertanya tentang keberadaannya, tapi separuh lagi hatinya meningkah. Perang hati dan akalnya juga sering tercetus. Perang yang buat hatinya jadi keliru. Jiwanya juga bercelaru. Dia tak tahu sejauh mana dia boleh bertindak sebagai isteri kepada Megat.

Dia sepatutnya boleh tidur dengan lena sebab Megat tak ada di dalam bilik itu, Seharusnya dia boleh bersenang-senang dan bergembira kerana itu adalah kali pertama dia sendirian di dalam bilik selepas menjadi isteri kepada Megat. Tapi, urusan hati terlalu sukar untuk dimengertikan. Sementelah, suara dan gelak tawa Megat terngiang-ngiang di telinga.

Dia akui, saat itu ada rasa sedih bergayutan di hati. Rasa sakit kerana ditinggalkan. Terbayang di matanya sosok tinggi lampai Megat yang terkocoh-kocoh keluar dari rumah tanpa berpaling ke arahnya.

Dan, Megat masih belum pulang walaupun jam sudah melebih pukul 4.00 pagi. Ke mana Megat pergi? Dengan siapa? Apa yang membuatkan Megat lupa tentang isteri yang dia tinggalkan di rumah? Semua persoalan itu berlegar di fikiran tanpa jawapan.

Sara raup wajah dengan tapak tangan. Nafas di hela dan dihembus berulang kali. Mahu tenangkan emosinya yang tidak menentu. Dan, tanpa sengaja kata-kata Hana tadi melantun di fikiran. Tak ada satu pun yang tertinggal. Serentak itu juga dia buat keputusan drastik. Nekad!

Dan, dia tersentak saat terdengar tombol pintu dipulas. Beberapa saat kemudian, daun pintu dibuka dari luar. Semua lamunannya hilang bagai dibawa angin. Bawa pandangan ke pintu seraya bangun dari perbaringan. Turun dari katil. Berdiri tegak merenung Megat yang sedang melangkah masuk.

"Baru balik?"

Megat tersentak mendengar suara itu. Berpaling ke katil dan nampak Sara berdiri sambil berpeluk tubuh. Merenungnya tanpa secalit senyuman. Muka serius!

"You tak tidur lagi ke?" Urut dada yang berdebar dek sapaan tanpa mukaddimah Sara tadi.

"Belum. Tan Sri pergi mana?" Suara Sara tak tinggi, tak rendah. Senada...

"I jumpa kawan lama I tadi. Zandra..." Megat menjawab jujur. Dia ralit berbual sampai tak sedar waktu berlalu. "Dah lama kita orang tak jumpa sebab dia tinggal di Australia. Kebetulan dia datang ke Singapore atas urusan kerja. Jadi, dia singgah sekejap di KL untuk jumpa I. Kalau you nak tahu, dia salah seorang model terkenal di sana."

Ceria Megat berceloteh. Senyuman di bibir mekar setaman. Masih terbayangkan wajah cantik Zandra. Gadis itu langsung tak berubah. Tetap anggun dan menawan sama seperti dulu.

"Saya tak nak tahu pasal Zandra. Tak berminat! Saya cuma nak tahu kenapa Tan Sri balik lambat. Tan Sri dengan Zandra pergi mana?" soal Sara. Mendatar saja nadanya.

Bagai ada bara di hati saat mendengar Megat menyebut nama perempuan itu. Lebih menyakitkan ialah melihat senyuman yang tak lekang dari bibir Megat.

"Tak pergi mana. I cuma berbual aje dengan dia. Biasalah, dah lama tak jumpa, kan? Banyaklah yang kita orang bualkan." Megat bergerak ke ruang closet. Muncul semula selepas beberapa minit dengan tuala tersangkut di bahu.

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now