Part 28

8.8K 298 13
                                    

AIR MATA yang menitis laju di pipi diseka dengan hujung jari telunjuk. Lama juga dia berteleku di birai katil. Berfikir tentang keputusan yang baru saja meluncur dari mulut Megat. Dan, babak-babak mesra mereka asyik menempel di kotak fikiran. Menambah rasa sakit dan perit di hati. Senyuman, sentuhan dan kata-kata manis lelaki itu bagaikan racun yang menjalar di setiap saraf.

Sakitnya Ya Rabbi!

Tapi, dia tak boleh salahkan Megat. Lelaki itu tak pernah menjanjikan apa-apa kepadanya. Hanya sekadar akan menjaganya selagi mereka bergelar suami isteri. Dia yang tersalah menilai.

Sangkanya, Megat lakukan semua itu kerana ada rasa cinta di hati untuknya. Dan, dia yang bodoh sebenarnya sebab diam-diam menyimpan perasaan kepada Megat. Rasa cinta yang disimpan di hati. Tak tahu bagaimana mahu meluahkan. Syukurlah, perasaan masih kekal sebagai rahsia.

Namun, dia tak mampu tahan rasa sedih yang berkampung di jiwa. Dia tak mahu berpisah sebenarnya. Dia mahu terus menjadi isteri kepada Tan Sri Megat Geza. Bukan kerana pangkat atau pun harta, tapi kerana hatinya disapa rasa cinta. Cinta yang tulus!

Perasaan itu hadir tanpa dipaksa. Dia tak tahu sejak bila dia jatuh hati dengan Megat. Ketika dia sedar, perasaan itu sudah menapak kukuh di hati. Dan, saat itu dia sedar yang hanya bertepuk sebelah tangan.

Air mata bercucuran lagi saat wajah ibunya tiba-tiba saja muncul di pundak fikiran. Terbayangkan apa reaksi wanita itu seandainya tahu tentang perkara itu. Dia tahu ibunya meletakkan harapan yang tinggi terhadap Megat. Dia percayakan Megat sepenuhnya.

Kebuntuan kian membelit mengingatkan tahap kesihatan ibunya yang tidak menentu. Tapi, dia sedar yang dia tak boleh lari dari hakikat itu. Lambat laun ibunya akan tahu juga. Dia tak boleh sembunyikan hal itu dari pengetahuan ibunya sampai bila-bila.

Sara bangun dan bergegas ke ruang closet. Dia tak betah untuk terus tinggal di banglo itu. Dia dah tak diperlukan! Dia tak mahu jadi melukut di tepi gantang. Menagih kasih dari lelaki yang tak sudi mencintai. Dia nak keluar dari banglo itu secepat mungkin. Dia mahu ke rumah yang disewanya dahulu. Yakin Wani akan sentiasa sudi menerimanya.

Capai baju-bajunya yang tersangkut dan dimasukkan ke dalam bagasi. Mujurlah tak banyak sangat baju yang ada. Muat dalam satu bagasi! Keluar dari ruang closet dan melangkah ke pintu. Tapi, Megat tiba-tiba saja muncul di balik pintu.

Kerut dahi memandangnya yang berada di tengah ruang bilik. Mata melirik bagasi yang diheretnya dan serentak itu juga dahinya berkerut. "You nak pergi mana, Sara?"

"Nak pergi rumah sewa saya, Tan Sri." Sara cuba ukir senyum. Menahan esakan yang mencengkam. Mahu kelihatan tenang di mata lelaki itu.

"Rumah sewa?" Mulut Megat melopong. Terkejut mendengar jawapan Sara.

"Ya, Tan Sri. Saya dah beritahu Wani dan dia cakap bilik saya tu masih kosong. Jadi, saya boleh tinggal di situ semula." Sara mencipta alasan.

Dan, alasan itu hanya penipuan semata-mata. Biarlah! Asalkan dia boleh keluar dari banglo itu secepat mungkin. Dan, sejujurnya saat itu dia rasa macam nak rebah ke lantai dan dia nak meraung sekuat hati. Namun, akal masih waras dan dia masih mampu kawal perasaannya.

"Tapi, kenapa you tergesa-gesa? You boleh tinggal di sini sampai I dapat kunci apartment yang I dah beli untuk you. Tak lama pun, Sara. Dua minggu aje. Lagipun, kita masih suami isteri yang sah." Cuba memujuk. Hati rasa tak sedap nak biarkan Sara keluar dari rumah.

Sara masih lagi isterinya! Dan, menjadi tanggungjawabnya memastikan Sara selamat di luar sana.

"Tak apa, Tan Sri. Saya tak nak tinggal di apartment tu. Saya tak biasa tinggal sorang-sorang. Saya nak tinggal dengan Wani." Sara heret bagasi. Nak angkat kaki, tapi Megat menghalang. Beradu pandangan beberapa ketika sebelum suara Megat kedengaran bergetar.

"You nak pergi macam tu aje?"

"Tan Sri dah buat keputusan dan saya cuma patuh dengan keputusan Tan Sri. Saya dah terima bayaran dan saya tak hak untuk persoalkan keputusan Tan Sri. Saya faham yang...Kontrak kita dah berakhir," jawab Sara mendatar. Tak mahu mengungkit atau mempersoalkan apa-apa. Dia yang setuju dengan perjanjian itu dan dia perlu bersedia menghadapi detik itu.

"Sara, I faham you dah tak sabar nak tinggalkan rumah ni dan you dah tak sabar nak bebas dari kontrak mengarut ni, tapi I cuma minta you tinggal di sini sampai..." bicara Megat terhenti bila Sara menggeleng. Mahu dia berhenti mendesak.

"Tak boleh, Tan Sri. Tan Sri dah buat keputusan dan saya juga kena buat keputusan. Saya hormatkan keputusan Tan Sri dan saya rasa Tan Sri juga kena hormatkan keputusan saya."

"Ya, I faham maksud you. I sendiri tak suka memaksa. Kalau you nak keluar juga I tak akan menghalang. Tapi, biar I hantar you ke rumah Wani..." Megat nak ambil bagasi dari pegangan Sara, tapi tangannya ditepis kasar. Terkejut dengan tindakan itu buat mata hitamnya meliar di wajah Sara. Tak faham kenapa Sara bereaksi begitu. Dia cuma nak tolong!

Takkanlah secepat itu perasaan Sara berubah? Sebelum ini, Sara begitu mesra dan manja dengannya. Entah kenapa dia rasa saat itu Sara sedang membencinya seolah-olah tak ada satu pun kebaikan dalam dirinya.

"Tak perlu, Tan Sri. Saya boleh pergi sendiri. Tapi, sebelum tu saya nak Tan Sri tahu yang pada mulanya memang saya rasa perjanjian ni mengarut dan saya tak sabar nak bebas dari Tan Sri. Tapi..." Sara berhenti di situ. Teragak-agak untuk meneruskan bicara. Sebu yang mencengkam buat suaranya tersekat dikerongkong. Hela nafas dalam-dalam dan dihembus deras. Megat tak boleh tahu tentang hati dan perasaannya.

"Halalkan makan minum saya, tolong maafkan semua kesalahan saya sepanjang saya jadi isteri kontrak Tan Sri..." sua tangan untuk bersalam.

Megat bungkam melihat telatah Sara. Mati kata nak membalas kata-kata Sara. Otak terasa kosong dan lompong. Lambat-lambat dia hulur tangan kanan. Dan, sepantas kilat Sara menyambar tangannya. Digenggam kemas sebelum tunduk dan tangannya dikucup.

"Saya pergi dulu, Tan Sri..." Sara terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Dan, air mata yang bertakung dalam kolam mata berduyun-duyun jatuh di pipi. Sara lajukan langkah menuruni anak tangga dan menuju ke pintu.

Zaidi yang sedang mengelap cermin kereta memandangnya dengan bibir yang terkumat-kamit. Sara hanya pamit senyum dan bergegas ke pintu pagar. Tak tahu ke mana hala tuju yang pasti. Dia tak bersedia nak bertemu dengan Wani. Dan, dia juga belum ada kekuatan untuk berdepan dengan ibunya.

Allah, apa yang perlu dia buat?

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now