Part 16

7.5K 264 0
                                    

SARA keluar dari bilik setelah selesai mengerjakan solat asar. Suara-suara yang saling bertingkah di belakang rumah menarik perhatiannya. Suara ibunya dan Muna berselang dengan suara Megat. Sesekali gelak tawa mereka memecah keheningan petang.

Sara melangkah ke dapur dan dia nampak Muna dan ibunya berdiri di tepi batas ubi kayu melalui daun pintu yang dibiarkan terbuka. Dia boleh dengar dengan jelas suara mereka bersatu mengajar seseorang tentang cara-cara nak cabut ubi kayu. Siapa lagi kalau bukan Megat! Pantas Sara bawa pandangan ke kiri mencari kelibat Megat.

Tak sampai sesaat dia nampak Megat yang terkial-kial nak mencabut ubi kayu. Selang beberapa meter daripada tempat mereka berdiri. Bersungguh benar dia sampai tertonggek-tonggek berusaha untuk dapatkan ubi kayu yang ditanam oleh ibunya.

Alamak! Sara tepuk dahi. Rasa bersalah menyelinap di hati melihat keadaan Megat yang lincah menyeka dahi. Walaupun berjarak beberapa meter, tapi dia boleh nampak T-Shirt yang dipakai oleh Megat sudah basah dek peluh.

"Kalau tak boleh jugak guna aje cangkul tu, abang!" laung Muna sambil terkekek-kekek ketawa. Lucu melihat Megat yang sudah beberapa kali tertonggeng gara-gara nak dapatkan ubi kayu yang dijanjikan. Tadi bukan main lagi Megat cakap dia boleh dapatkan 20 kilo ubi kayu untuk mereka. Bare hand katanya!

"Acu, kenapa suruh dia cabut ubi kayu tu?" Sara tampar bahu Muna sebaik sahaja berada di situ. Muna yang terkejut dengan tindakan itu berpaling ke arahnya. Menyeringai membalas renungannya yang garang.

"Mana ada acu suruh. Dia yang nak tolong tadi, kan ibu?" caras Muna sambil gosok bahu yang terasa perit gara-gara diserang hendap oleh Sara tadi.

"Dia mana biasa buat kerja macam tu." Sara garu kepala yang tak gatal. Sungguh, dia betul-betul rasa kesian melihat Megat dalam keadaan itu. Memanglah bukan kerja yang berat, tapi masalahnya lelaki itu tak pernah buat kerja-kerja kampung macam tu.

"Alah, bukan selalu pun. Biarlah sekali sekala dia merasa buat kerja-kerja kampung. Lagipun, memang patut dia tolong kita orang. Dia kena pandai ambik hati acu dengan ibu." Muna kerling kakaknya di sebelah. Gelisah benar dia melihat Megat yang masih gigih nak cabut ubi kayu. Eleh, mentang-mentanglah kekasih dia orang bandar! Omel Muna dalam hati.

"Memandai aje kau ni, acu. Lagi satu, siapa suruh acu panggil dia abang?" Sara menyoal lagi. Berbulu telinganya mendengar Muna memanggil Megat dengan panggilan abang. Nak saja dia ketuk kepala Muna dengan selipar. Mengada-ada!

"Dah tu, nak acu panggil apa? Dah sah-sah dia bakal jadi abang ipar acu dan menantu ibu. Takkanlah nak panggil dia adik pulak. Agak-agaklah..." protes Muna beriya. Nada sarkastik di hujung bicara.

Mak Wan yang turut berada di situ sekadar jadi pendengar. Tak berniat nak masuk campur perang mulut anak-anak daranya. Memerhatikan telatah Sara tanpa sepatah kata. Dari raut wajah Sara yang kelat, dia dapat rasakan ada sesuatu yang Sara sembunyikan daripada mereka.

"Bakal, okey? Dia belum lagi jadi abang ipar acu. Jangan pandai-pandai nak panggil dia abang. Nanti apa pulak kata dia." Sara menceceh lagi. Risau kalau Megat rasa terganggu atau rasa tak senang dengan panggilan itu.

"Dia yang bahasakan diri dia abang. Dan, kenapa dengan along ni? Salah ke along panggil dia abang?" Muna dah mula rasa sebal dengan fiil kakaknya. Sejak balik dari KL dua hari lepas, Sara asyik marah-marah bila mereka bercakap tentang Megat.

"Acu, pergi tolong Abang Megat. Jangan nak bertengkar petang-petang ni. Tak baik..." Mak Wan mencelah dalam nada lembut. Tak mahu pertengkaran anak-anaknya berlarutan.

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now