Part 31

9.8K 297 4
                                    

KELAB malam yang terletak di ibu kota itu masih padat dengan pengunjung-pengunjung yang terdiri pelbagai kaum dan agama. Muzik yang terpasang berdentum-dentam menghentam anak telinga. Walaupun malam sudah larut, tapi kebanyakan pengunjung masih leka dengan perempuan, muzik dan alkohol.

Megat, Zaidi dan Rezza duduk di sebuah meja yang berada tidak jauh dari pintu masuk. Agak terasing dari meja-meja yang lain. Zaidi dan Megat saling berpandangan melihat keadaan Megat yang bersandar pada kerusi dan dongak memandang lampu berwarna-warni yang tergantung di tengah ruang. Termenung lagi...

"Tadi bukan main lagi kau ajak kita orang keluar. Nak tenangkan perasaan konon! Kalau kau nak termenung macam ni lebih baik kau balik rumah aje. Aku dengan Zaidi boleh membuta sampai pagi..." Rezza tepuk bahu Megat. Menggeleng saat Megat terpisat-pisat. Macam orang baru bangun tidur!

"Betul tu, bos. Bos ada masalah ke?" soal Zaidi. Terangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata Rezza tadi.

"Entahlah! Aku tak tahu apa dah jadi dengan aku. Apa yang aku buat serba tak kena. Hati aku rasa lain..." Lepas keluhan berat. Wajah yang sugul diraup dengan tapak tangan.

"Lain macam mana pulak?" Rezza terpaksa naikkan nada suara sebab DJ dah tukar muzik kepada muzik yang lebih rancak. Sikit hari lagi boleh pekak telinganya!

"Aku tak tahu..." Megat geleng kepala.

Dia tak tahu nak luahkan apa yang dia rasakan. Dunianya terasa sepi. Sepi yang tak boleh dia nak ungkapkan dengan kata-kata. Jiwanya seakan-akan mati. Adakala dia rasa sedih. Sedih yang mencengkam sanubari. Entahlah! Dia betul-betul tak tahu macam mana nak gambarkan perasaannya.

Rezza garu pelipis. Cuba untuk memahami perasaan temannya. Tapi, dia tak reti sangat hal-hal melibat hati dan perasaan. Dia pandang Zaidi seraya melirik ke arah Megat sambil ketap bibir. Suruh Zaidi katakan sesuatu. Sebab dia tahu Zaidi agak cerdik tentang perkara itu. Zaidi lebih pandai korek rahsia dan menyusun kata.

Zaidi faham erti pandangan Rezza. Cepat-cepat dia berdeham dan bersuara.

"Bos jangan salah faham. Aku cuma nak beritahu yang aku dah lama perasan bos banyak termenung sejak Puan Sri tak ada." Zaidi diam seketika. Mengamati reaksi Megat. Ternyata riak wajah yang muram itu berubah ketika nama Sara disebut.

"Dah, dah! Jangan nak putar belit fakta pulak. Aku rasa mungkin sebab aku tak ada mood..." Megat cuba menafikan. Tapi pada masa yang sama, hatinya bergetar hebat. Nama Sara menghantar resah di jiwa.

"Aku dah lama kenal bos tau. Sekilas ikan di air, aku dah tahu mana satu jantan dan mana satu betina. Tak payah nak temberanglah, bos. Aku tahu kau rindukan Puan Sri..." tokok Zaidi lagi tanpa waswas.

Sejak Sara keluar dari rumah itu, Megat dah jadi macam orang tak betul. Asyik tersasul nama Sara tak kira masa dan keadaan. Itu tak berapa serius lagi! Megat pernah mengigau dalam kereta ketika mereka dalam perjalanan ke Johor atas urusan kerja. Mengigau memanggil nama Sara berulang kali. Bila tersedar boleh pula dia tanya kenapa Sara tak ikut mereka sekali.

Tapi, Zaidi tak berani nak memandai-mandai. Hanya jadi pemerhati sebab Megat selalu mengelak setiap kali dia sebut nama Sara. Megat juga selalu cakap yang dia jadi macam tu mungkin sebab dah terbiasa hidup dengan Sara selama beberapa bulan. Simptom biasa katanya lagi.

"Rindu tu apa, Zaidi? Cuba kau beritahu aku..." tukas Megat. Senyum sinis sambil geleng kepala. Baginya, semua itu mengarut!

"Rindu tu apa yang bos rasakan sekarang. Apa yang ada dalam hati dan fikiran bos. Susah aku nak terangkan sebab rindu tak boleh dilihat. Hanya boleh dirasai. Bos faham tak?"

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now