Part 32

10.2K 322 8
                                    

MAK WAN tatang dulang kecil berisi nasi berlauk kari ayam dan ikan selar goreng. Menghampiri Sara yang sedang termenung di beranda. Duduk berpeluk lutut berdekatan dengan tangga. Melempar pandangan jauh ke hadapan. Wajah yang pucat dan sugul itu menghantar pelbagai emosi di jiwanya. Seharian Sara tak menjamah apa-apa makanan. Hanya minum beberapa teguk air kosong.

Puas dia dan Muna memujuk, tapi Sara tetap berikan alasan dia tak ada selera nak makan. Sudah beberapa hari keadaan Sara macam tu. Hati ibu mana yang tak risau melihat anaknya dalam keadaan itu. Terbantut juga seleranya memikirkan Sara.

Mak Wan bersimpuh di sisi Sara. Dulang diletakkan di atas lantai. Sekilas Sara berpaling ke arahnya sebelum kembali menala pandangan ke luar. Mak Wan perasan mata Sara merah dan berair.

"Along..." Bahu Sara diusap dan digosok seraya bersuara lagi.

"Janganlah macam ni. Along kena makan jugak. Sikit pun jadilah. Tak baik biarkan perut tu kosong. Along tak kesian ke dekat anak dalam perut tu, hurm?" Lembut suara Mak Wan menyapa telinga.

Mereka dapat tahu yang Sara berbadan dua selepas pengsan di pasar beberapa hari lepas. Latip yang bawa Sara ke klinik dan hantar dia sampai ke rumah. Muna cakap Mak Piah memang menegah keras. Tak benarkan Latip menolong, tapi Latip buat tak endah saja. Dia cempung Sara yang tak sedarkan diri ke kereta dan terus memandu ke klinik.

Dia dan Muna gembira tak terkata saat mengetahui perkara itu. Tapi, reaksi dan penerimaan Sara tak sama dengan mereka. Langsung tak ada riak bahagia di wajahnya walaupun doktor memberitahu yang kandunganya berada dalam keadaan sihat. Dia faham perasaan Sara. Mungkin dia harapkan kehadiran Megat di sisi untuk berkongsi saat indah itu.

"Along tak laparlah, ibu. Along rasa kenyang..." Sara menggeleng perlahan. Memang betul dia tak ada selera. Tengok nasi pun dah tak lalu, apatah lagi nak disuap ke dalam mulut. Dia rasa loya.

"Along nak ibu telefon Megat?" soal Mak Wan sambil elus rambut ikal Sara yang dibiar lepas.

"Jangan, ibu. Dia tak boleh tahu pasal ni," tingkah Sara pantas. Tak berhajat untuk memberitahu Megat tentang kandungannya yang baru berusia enam minggu. Dia dah dibuang dan dia betul-betul tak mahu dikutip semula hanya kerana alasan itu. Dia boleh berdikari dan dia akan besarkan anaknya sendiri.

"Tapi, ibu rasa lebih baik kita beritahu dia. Dia berhak tahu, along. Anak dalam perut along tu anak dia. Nak dibinkan dengan nama dia..." balas Mak Wan. Berusaha untuk lembutkan hati Sara. Lagipun, dia dan Megat masih bergelar suami dan isteri. Megat masih belum melafazkan talak.

"Ibu, belum tentu dia akan terima anak dalam perut along ni. Dia tak cintakan along. Along bukan sesiapa dalam hidup dia." Suara Sara hampir tidak kedengaran. Rasa sakit dengan kata-kata sendiri. Perit dan pedih untuk ditelan. Sakit kerana bertepuk sebelah tangan dan perit kerana perasaan tulusnya dipandang sepi oleh Megat.

"Kenapa along nak menghukum sebelum dia tahu hal yang sebenar? Walau apa pun yang akan terjadi di antara along dengan Megat, hakikat tak akan berubah. Anak tu tetap anak dia," tegas Mak Wan lagi. Kedegilan Sara memang payah untuk dilentur. Kalau dia kata A, maka A lah jawabnya. Tak akan berubah jadi B!

Sara sedut nafas dalam-dalam lalu dihembus deras. Menzahirkan bebanan perasaan yang sedang ditanggung.

"Along tak patut mengandung kan, ibu? Keadaan jadi makin kusut sekarang. Kalau along tahu keadaan akan jadi macam ni, along tak akan biarkan hati along jatuh cinta dengan dia." Air mata merembes untuk kesekian kalinya.

"Along, tak baik cakap macam tu. Semua ni ketentuan Allah. Pasti ada hikmah yang kita tak tahu. Ibu yakin kalau jodoh along dengan Megat masih panjang, Allah akan tunjukkan jalan. Perancangan Allah jauh lebih baik dari perancangan kita."

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now