Part 29

8.9K 273 1
                                    

AZAN zohor berkemandang sayup-sayup dari masjid berdekatan ketika teksi yang dia naiki berhenti di hadapan rumah kayu itu. Sara tengok pintu dan tingkap terbuka luas. Bermakna ibu dan Muna ada di rumah.

Sara tarik nafas dalam-dalam dan dilepas perlahan. Mencari kekuatan untuk berdepan dengan ibunya. Dia buat keputusan untuk balik ke kampung selepas hampir dua jam bersendirian termenung di stesen bas. Mulanya dia mahu ke rumah sewa, tapi dia perlukan ibunya. Hanya ibu yang mampu mententeramkan emosinya. Dia sangat perlukan pelukan ibunya!

Keluar dari perut teksi bersama bagasi yang dibawa. Dia berdiri di depan tangga dan tak sampai sesaat ibunya muncul di muka pintu. Terkejut pada mulanya melihat dia tercegat di depan rumah. Namun, bibir tua itu menguntum senyum.

Sara tak mampu membendung emosi yang sejak tadi menghantar duka di hati. Sebaik terpandang wajah si ibu, perasaannya kembali terusik. Tak semena-mena air mata menitis. Dan, tangisannya terhambur kuat.

Mati senyuman yang mekar di bibir Mak Wan melihat air mata yang meluncur laju di pipi Sara. Apatah lagi tangisan dan esakan Sara yang kian meninggi. Terkocoh-kocoh Mak Wan menuruni tangga dan tubuh anaknya didakap erat. Tangisan Sara meruntun jiwanya.

"Kenapa ni, along?" soal Mak Wan. Tahan sebak yang meluap di dada. Sungguh, dia tak tahu kenapa Sara menangis. Tapi, dia dapat rasakan Sara ada masalah dengan Megat. Sebab Sara balik seorang diri.

Sara tidak membalas. Hanya mengongoi dalam pelukan ibunya. Teresak-esak menzahirkan duka yang ditanggung.

"Shhh, kenapa dengan anak ibu ni? Beritahu ibu, sayang..." Setitis air jernih jatuh di pipi. Turut rasa sakit mendengar tangisan Sara. Hatinya tercarik-carik setiap kali Sara teresak.

"Ibu, maafkan along!" Suara Sara serak dan berselang dengan esakan. Wajahnya yang basah masih tersembam di bahu ibunya. Tangan memaut erat tubuh wanita itu. Seakan-akan tak mahu dilepaskan lagi.

"Kenapa along nak minta maaf? Along tak buat salah dengan ibu. Along anak yang baik," pujuk Mak Wan. Usap belakang Sara penuh kasih. Masih tak dapat meneka apa masalah yang dihadapi oleh anak sulungnya itu.

Muna yang muncul dari biliknya memerhatikan kakak dan ibunya sedang berpelukan di laman rumah. Tersentuh hatinya melihat keadaan kakak kesayangannya. Sekejap saja air mata bergenang dan mengalir laju di pipi.

"Along dah buat salah dengan ibu. Along dah tipu ibu..." kata Sara perlahan, namun tetap mampu didengari oleh ibunya.

"Shhh, tak apa, sayang. Tak apa..." Mak Wan longgarkan pelukan. Tekap kedua-dua pipi Sara. Sapu wajah Sara yang basah dengan air mata. Rasa simpati menggunung di hati. Kesian Sara, rintihnya dalam hati.

Dia paut bahu Sara dan dipimpin tubuh yang lemah itu untuk naik ke atas rumah. Muna turun ambil bagasi kakaknya dan naik semula menyertai mereka yang baru saja duduk di atas kerusi di ruang tamu. Tangisan Sara masih tak kunjung senyap.

SEPI...

Hanya kedengaran bunyi kipas berputar ligat di siling. Masing-masing kelu. Tak tahu apa yang perlu dikatakan selepas mendengar apa yang diceritakan oleh Sara. Cerita sebenar tentang perkahwinan kontraknya dengan Megat. Dan, sekarang kontrak itu sudah berakhir termasuk perkahwinan mereka.

Allahu Rabbi!

Mak Wan usap dadanya yang bergetar kuat. Kalau bukan keluar dari mulut Sara sendiri, dia tak akan percaya! Ada rasa marah dengan apa yang Sara dah buat. Walaupun Sara lakukan demi nak menebus tanah pusaka arwah ayahnya, tapi niat tak pernah menghalalkan cara.

Dia tak sangka Sara boleh bertindak sejauh itu. Dia dan arwah suaminya dah berikan pendidikan yang tinggi dan juga didikan agama yang cukup untuk Sara. Tapi, semua itu sia-sia kerana tak mampu menjadikan Sara seorang manusia yang sentiasa berfikir mengikut lunas akal.

"Kenapa Along sanggup buat macam ni, sayang? Ibu rela hilang tanah tu dari biarkan along terlibat dengan perkara-perkara macam ni. Allah tak suka, along tahu tak?" Mak Wan menggeleng perlahan. Rasa sedih, simpati dan marah bergumpal-gumpal di hati menjadi satu.

Ikutkan rasa marah, nak saja dia tampar pipi Sara kuat-kuat. Tapi, dia sedar kekerasan bukanlah penyelesaian yang terbaik. Walau apa pun yang dia buat tak akan mampu mengubah apa-apa. Nasi dah jadi bubur. Tak guna dia menggila atau mengamuk. Lagipun, dia tak mahu buat Sara bertambah sedih dan kusut. Dia hargai keberanian Sara. Dia tetap balik dan berterus terang walaupun dia tahu apa akibatnya.

"Maafkan along, ibu. Maafkan along. Along tak ada niat nak buat ibu sedih. Along cuma fikir nak dapatkan balik tanah arwah ayah dari mak long. Itu aje..." Berulang kali penjelasan itu meluncur dari mulutnya.

Itu saja satu-satunya alasan kenapa dia setuju dengan kontrak yang ditawarkan oleh Megat. Tak ada sekelumit niat pun di hati nak menggadai maruah diri. Tidak!

"Ibu tahu, along. Niat along baik. Ibu cuma terkilan sebab ibu tak mampu buat apa-apa. Sepatutnya ibu yang cari duit langsaikan hutang mak long. Bukannya along..." Teresak! Sedar yang dia juga ada khilaf. Dia tak boleh menyalahkan Sara seratus peratus. Beban itu terletak sepenuhnya di bahu Sara. Desakan dan ugutan daripada Mak Piah yang putus-putus buat Sara bertindak di luar batas akal.

"Jangan cakap macam tu, ibu. Along anak sulung dan memang along yang kena fikir semua tu..."

"Along, sudahlah tu! Jangan menangis lagi. Acu faham dan acu tak salahkan along. Along dah banyak berkorban untuk keluarga kita. Acu janji acu akan belajar rajin-rajin sampai ke universiti dan lepas tu, biar acu pulak yang jaga along dengan ibu." Muna menyampuk setelah agak lama menjadi pendengar.

Dia tidak akan sesekali menyalahkan kakaknya. Baginya, itu adalah satu pengorbanan yang tak akan mampu mereka balas. Kalau ada orang yang perlu disalahkan, maka dia memilih untuk salahkan mak longnya. Si pencekik darah yang selalu buat kehidupan mereka anak beranak jadi susah. Tak boleh terlewat bayar sikit, mulalah tambah harga. Zalim mengalahkan lintah darat! Sebab itu, mereka masih tak mampu menebus semula tanah itu walau dah bertahun-tahun lamanya.

"Terima kasih, acu. Along minta maaf sebab along dah tipu acu jugak." Perhatian Sara beralih kepada Muna yang duduk di atas kerusi berhadapan dengannya.

"Tak apa, along. Acu faham kenapa along buat semua tu. Acu akan selalu ada dengan along. Jangan risau," jawab Muna lembut. Bangun dan mendekati kakaknya. Tangan Sara diraih dan digenggam kemas. Menyalur kekuatan buat kakaknya. Tindakan itu buat Sara pamit senyum.

Mereka berpelukan dan becok mulut Muna menenangkan kakaknya. Mak Wan usap kepala Muna dan Sara silih berganti. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan ketabahan buat Sara untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang.

Mak Wan dapat rasakan cerita tentang Sara akan cepat berlegar di kalangan orang kampung. Cerita seperti semestinya menjadi topik kegemaran hampir semua orang di kampung itu. 

MY SWEET TAN SRIWhere stories live. Discover now