Part 1

30.6K 1.8K 79
                                    

"Abang, tolong belikan ni?" Bekas pencuci muka yang kosong diangkat pada muka Arash yang sedang menjamah biskut oreo sambil melayan filem aksi di televisyen.

"Apa?"

"Pencuci muka Isha dah habis! Abang tolong belikan yang baru." Digoncang goncang bekas pencuci muka sekali lagi.

"Beli sendiri lah?" Satu lagi biskut oreo dimasukkan ke dalam mulut.

"Abang tolonglah belikan!" Paha Arash ditampar kuat. Minta tolong pun susah.

"Yelah, yelah! Snap gambar, hantar dekat abang. Kalau sempat esok abang beli." Baru sahaja dia sambung menonton filem di skrin televisyen,  berduyun duyun gambar masuk ke telefon. Yang disua sua pada wajah dia tadi hanya satu barang, gambar yang diterima daripada Alisha berlambak lambak. "Isha, banyaknya?"

"Dah alang alang abang nak belikan, belikan lah semua!" Lebar senyuman pada wajah membalas jegilan daripada Arash.

••

Bunyi sahaja suara lelaki berborak di bahagian bawah bilik sewa, kelopak mata yang berat tadi terus ringan. Terkocoh kocoh Daisha keluar dari bilik, dari hujung anak mata dia perasan bayang bayang sekumpulan lelaki yang berjalan. Berjalan ke arah bilik dia untuk dijadikan pemuas nafsu serakah.

Dalam terburu buru dia cuba melarikan diri tanpa disedari sekumpulan lelaki tadi, langkah terlepas satu anak tangga, hendak ditahan dengan siku namun jatuh juga menyembah bumi. Bangun bagai tiada apa, Daisha meneruskan perjalanan berlari dalam keadaan menjongket. Pedih menahan sakit namun dalam kepedihan, dia bersyukur Allah sedarkan dia atas kehadiran lelaki lelaki tadi lebih awal dan diberi peluang untuk melepaskan diri.

••

Surat yang dihantar seminggu lepas sampai semula pada Daisha. Nafas dihela, sayu pandangan pada helaian surat di tangan.

"Return lagi?" Tangan sibuk mengelap meja yang ditinggalkan pelanggan, anak mata Kak Jiah memandang tepat pada susuk tubuh Daisha.

"Tak ada rezeki lagi, kak." Dilipat dua surat di tangan. Belum sempat dia mengambil langkah, disapa dengan suara lelaki.

"Kak, sirap limau ais bungkus." Arash ambil tempat pada salah satu kerusi kosong, telefon bimbit dibawa keluar dari kocek.

Sampai sahaja pesanan tadi ke dapur, Kak Jiah membuka topik perbualan dengan salah seorang pelanggan tetap di kedai makan ini. "Tak balik Ulu Kinta, Rash?"

Dengar sahaja Kak Jiah mengajak borak, telefon bimbit terus diletakkan atas meja tanda menyantuni. "Minggu ni Arash tak balik, kak. Hari-hari lah akak nampak muka ni order air sirap limau ais."

"Ibu sihat? Dah start kerja ke?"

"Sihat. Ibu tengah cuti lagi. Minggu depan baru masuk kerja." Jari Arash dibawa bercantum dan diletakkan atas meja, dikerling sesaat pada perempuan yang berdiri di bahagian kaunter bayaran.

Bukannya tidak perasan, dia sedar dari duduknya dia di kerusi, hingga dibawa dalam perbualan, terasa seakan ada yang memandang. Bila waktu Arash pula memandang, cepat sahaja perempuan tadi mematikan anak mata yang saling bertentang.

"Daisha.."

Dengar sahaja Pak Mat memanggil nama, terus kepala berpaling ke arah kanan. Jauh sangat menggelamun ni, Daisha. Entah berapa kali agaknya nama dia dipanggil Pak Mat sebelum dia sedar.

"Kamu nak hantarkan makanan ni ke? Bagi Ariff lah yang hantarkan. Kamu luka sana sini, larat ke?" Pandangan Pak Mat pada Raisha penuh dengan kerisauan.

Biarpun hanya pekerja, namun sayangnya dia pada Daisha tak tumpah bagaikan anak sendiri. Kerana itu jugalah dia tumpangkan Daisha di bilik sewa milik dia tanpa diminta satu sen bayaran. Pernah diajak tinggal di rumah dia, temankan orang rumah namun Daisha menolak. Segan, katanya. Itu pun, walaupun Pak Mat enggan menerima bayaran sewa dari Daisha, setiap bulan juga Daisha hulur duit. Katanya cukuplah sekadar diberi peluang pekerjaan dan bilik sewa yang dekat dengan kedai, dia tak sanggup tinggal tanpa membayar satu sen. Duit yang dihulur Daisha sebagai duit sewa tak diterima Pak Mat langsung. Semuanya dipulangkan pada Daisha dalam bentuk gaji manfaat.

Her ProtectorWhere stories live. Discover now